Orang Melayu kebanyakannya begitu mengambil berat dalam perkara-perkara yang berhubung dengan adat istiadat, sehingga ada pepatah Melayu yang menyatakan " Biar Mati Anak Jangan Mati Adat ". Pepatah ini menunjukkan betapa kuat dan kukuhnya pegangan orang-orang Melayu tentang adat istiadat mereka. Persoalannya golongan manakah yang mengada dan memperkenalkan adat istiadat dan perkara khurafat tersebut dan sejak bilakah mulanya adat istiadat dan perkara khurafat itu telah bertapak dalam masyarakat Melayu ? Persoalan yang lebih besar dan penting ialah adakah adat-istiadat yang diamalkan oleh orang-orang Melayu itu bertepatan dan selari dengan Hukum Syarak atau bertentangan sama sekali dengan Hukum Syarak? Amalan Khurafat ialah perbuatan atau perkara-perkara yang menyalahi hukum syarak yang masih terdapat dalam aktiviti masyarakat Melayu moden sehingga ke hari ini. Kepercayaan yang telah kuat bertapak dan berakar umbi dalam masyarakat Melayu itu seolah-olah telah menjadi satu pegangan atau tradisi yang mesti dilakukan dalam majlis-majlis atau perayaan tertentu. Sebenarnya banyak perkara Khurafat yang dilakukan oleh masyarakat Melayu antara contohnya ialah apabila ada majlis perkahwinan dengan upacara persandingan yang seolah-olah satu kewajipan, sedangkan persandingan itu merupakan adat Hindu yang mengagung-agungkan Dewa Rama dan Dewi Sita. Begitu juga apabila ada sesuatu kematian, dan selepas kematian mesti diadakan kenduri masuk kubur, 3 hari (makan serabai ), kenduri pecah perut pada hari ke 7, kenduri 40 hari iaitu ruh berpisah dengan waris dan kenduri 100 hari iaitu turun batu nisan dan bagi ruh itu memasuki dalam jemaahnya sebagai ahli kubur. Kebiasaannya orang yang menghidup dan memainkan peranan utama dalam hal ehwal adat istiadat Masyarakat Melayu dan perkara-perkara Khurafat yang menyeleweng dan bertentangan dengan Syariat Islam ini adalah terdiri daripada Bomoh, Pawang, Bidan, Dukun, Guru latihan pertahanan diri, Mak Andam dan seumpamanya. Peranan mereka dalam menghidupkan adat istiadat dan perkara Khurafat ini bergantung kepada bidang masing-masing. Antara Contoh-contoh adat istiadat dan perkara Khurafat yang sering dilakukan oleh orang-orang Melayu sampai sekarang antaranya ialah seperti :- a. Mendirikan Rumah Baru. b. Upacara Menurunkan Perahu / Kapal yang baru ke laut. c. Kenduri Tolak Bala. d. Upacara Persandingan. e. Mengandung / Kelahiran bayi f. Adat meninggal dunia dan selepas kematian. g. Upacara membuka gelanggang latihan pertahanan diri. h. Membuang Air Kecil/Besar. |
Hj.Ahmad b. Hj.Che Din.
No comments:
Post a Comment