Thursday, July 24, 2008

Kehidupan Bersih (4).


______________________________________


Penjelasan dalam Kehidupan Bersih (1) dijelaskan tentang peringkat kejadian manusia (anak-anak Adam) dan seterusnya kejadian kita semua, di mana ia bermula dari kehidupan alam roh kemudian kejadian jasad dan roh di dalam kandungan ibu setelah sampai tempoh 9 bulan atau kurang kejadian tersebut dilahirkan sebagai bayi, kemudian manusia membesar menempuh berbagai zaman iaitu zaman kanak-kanak, remaja dan dewasa.

Untuk mencapai kehidupan yang bersih dan suci di atas muka bumi ini,menusia memerlukan pendidikan yang betul dan benar seperti yang dikehendaki Allah. Sejak dalam kandungan lagi seharusnya ibu bapa mengamalkan aktiviti yang positif dan mahmudah. di antara aktiviti atau sifat mahmudah yang dimaksudkan ialah amanah, ikhlas, makan makanan yang halal dan baik, mengamalkan makanan seimbang dan seumpamanya kerana akhlak ibu bapa mempengaruhi janin yang sedang membesar di dalam kandungan ibu.

Setiap ibu bapa bercita-cita menjadikan anak-anak mereka anak-anak yang baik dan cemerlang tetapi usaha yang dibuat ke arah itu kadang-kadang bertentangan dengan matlamatnya atau bercampur aduk dengan perkara-perkara yang akan menggagalkan matlamat, Bak kata orang tanam lalang mengharapkan hasilnya padi. Ini berlaku kerana kejahilan atau kekurangan ilmu atau mendapatkan ilmu dari sumber yang tidak tepat kerana mengabaikan al.Quran , al.Hadis d as.Sunnah, ijmak ulamak dan qias. Kehidupan yang bersih dan suci dapat diwujudkan hanya melalui pendidikan yang berteraskan al.Quran, al.Hadis, ijmak ulamak dan qias.

Apabila wujud ramai individu yang bersih maka dengan sendirinya wujud masyarakat yang bersih. Ketika itu kehidupan manusia menjadi aman dan damai. Inilah kehidupan yang dikehendaki dan dituntut oleh Allah. Sesungguhnya amat malang bagi rakyat sesebuah negara sekiranya jumlah orang jahat melebihi orang baik kerana kerosakan demi kerosakan akan berlaku, seterusnya rosaklah negara dan binasalah penghuninya. Adalah menjadi kewajipan setiap orang untuk berusaha ke arah kebaikan dan kebajikan kerana itulah sahaja cara untuk memelihara ketenteraman dan keamanan sama ada untuk kehidupan siang atau malam pada setiap masa dan sepanjang zaman.

Merujuk kepada surah Ali 'Imran ayat (104) Allah berfirman bermaksud; " Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung".

Sebenarnya saya utarakan mauduk ini semata-mata ingin menjadikannya sebagai sumber untuk kita sama-sama muhasabah diri, mungkin terdapat idea yang boleh dimanfaatkan, disamping memenuhi masa lapang saya dengan kerja-kerja yang berfaedah untuk diri sendiri dan masyarakat. Sekurang kurangnya dapat menghayati sepotong ayat al.Quran yang maksudnya dinyatakan di atas.

Wassalam.
( akan bersambung pada siri akan datang )

No comments: