Saturday, July 26, 2008

Kehidupan Bersih (5)



______________________________________


Semua manusia memerlukan bimbingan dan pendidikan, Adam dan Hawa mendapat didikan dan pertunjuk secara langsung dari Allah melalui wahyu (wahi) yang diterima baginda. Inilah panduan hidup utama mereka berdua tetapi malangnya kehidupan mereka yang sejahtera dan aman dirosakkan oleh iblis yang sombong dan ego akhlaknya. Akhirnya Adam.a.s bertaubat di atas keterlanjuran-Nya yang dipengaruhi iblis, taubat-Nya diterima Allah. Adam sebenarnya melakukan sesuatu yang dilarang di dalam syurga itu bukanlah perbuatan yang keji atau jahat kerana baginda melakukannya dalam keadaan terlupa. Inilah detik permulaan iblis merosakkan kehidupan manusia oleh itu manusia hendaklah mengambil ingatan bahawa " Iblis adalah musuh manusia yang terang dan nyata ". Iblis boleh hidup di dalam badan manusia sama ada dalam darah, daging dan angin.

Untuk menjauhi gangguan iblis manusia hendaklah sentiasa beribadat kepada Allah dan mengenal iblis itu sendiri melalui keterangan yang terdapat di dalam al.Quran dan al.Hadis. Sebelum itu sudah tentulah manusia terlebih dahulu wajib mengenal Allah ( auwaluddin makrifatullah - yang paling utama dalam agama Islam ialah mengenal Allah ). Iblis, jin dan syaitan adalah makhluk yang dijadikan oleh Allah, kuasa yang ada pada mereka sekadar kuasa yang diizinkan Allah sahaja dan mustahil mengatasi kuasa Allah. Manusia yang sukar diganggu iblis, jin dan syaitan ialah mereka yang menghayati Islam, Iman dan Ihsan di dalam kehidupan mereka sepanjang masa selari dengan denyut nadi di dalam badan mereka.


Ketika atau masa yang amat penting manusia mendapatkan pendidikan dan bimbingan ialah semasa mereka berada pada zaman kanak-kanak dan remaja tetapi unsur pendidikan sebenarnya telah diterapkan sejak janin dan bayi lagi. Pada zaman kanak-kanak dan remaja ibu bapa berkewajipan memberi pendidikan formal kepada mereka dengan cara menghantar mereka ke sekolah dan memastikan proses pendidikan terhadap anak-anak mereka berjalan dengan baik sama ada di rumah atau di sekolah. Ibu bapa juga berkewajipan memilih atau menentukan bidang pelajaran yang diikuti supaya dewasa kelak mereka mampu menjalani kehidupan yang bersih dan suci ( kehidupan yang diredai Allah ). Jika ditakdirkan mereka berjaya menjadi seorang doktor, jurutera, pendidik, ahli politik, peguam, pentadbir atau seumpamanya, masyarakat tidak bimbang lagi tentang berlakunya penyelewengan, salah guna kuasa, rasuah dan perkara buruk seumpamanya.

Untuk mencapai hasrat tersebut pihak yang berwajib hendaklah menyediakan prasarana, dasar pelajaran, kurikulum dan falsafah pendidikan yang menjurus ke arah tersebut ( untuk mereka yang bukan Islam sudah tentulah ada penyesuaian dengan menggantikan dengan nilai-nilai baik sejagat ) . >>> Semua perkara tersebut sebenarnya telah wujud di sekolah tetapi mengapakah kita gagal merealisasikannya, adakah kerana pelaksananya bercampur aduk dengan mereka yang bukan ahli dalam pendidikan atau kita hanya tumpu pada perkara kognitif sahaja - pandai menceritakan method berenang tetapi sebenarnya kita sendiri lemas bila berada di dalam air yang dalam. Sama-samalah kita fikirkan untuk membaiki keadaan dan ummah <<<. Sikap mementingkan pendidikan perlu dihayati oleh setiap ibu bapa, kerana ibu bapa adalah pemimpin rumahtangga sekiranya penghuni setiap rumahtangga menjalani kehidupan yang bersih tentulah wujud kampung, daerah, negeri dan negara yang penghuninya mempunyai akhlak yang sama, dengan itu wujudlah masyarakat yang mengamalkan kehidupan yang bersih dan suci. Masyarakat yang berakhlak mulia suara hati mereka memprotes dan menentang keburukan dan kejahatan. mereka juga menyanjungi pemimpin yang lebih baik daripada mereka khususnya dalam hal akhlak dan pendidikan. Cara inilah sahaja untuk mencapai negara yang makmur, berkat dan diampunkan Allah. ( Insya Allah bertemu lagi )

No comments: