Saturday, July 19, 2008

Kehidupan Bersih (1)



Assalamualaikum / Selamat sejahtera;

Saya memulakan ucapan dengan memulakan lafaz kesyukuran dan dipanjatkan kepada Yang Maha Pencipta yang mencipta sekalian alam ini dan selawat serta salam kepada junjungan kita Nabi Muhammad.s.a.w. Di atas keizinan Yang Maha Pencipta-lah juga saya dapat menulis dan meluahkan pandangan melalui laman ini, tujuan laman ini diwujdkan semata-mata untuk memenuhi masa lapang dan mengambil kesempatan untuk membuat kebaikan sekadar kemampuan sama ada dari segi tenaga atau ilmu pengetahuan. Diharap pembaca menerima laman ini seadanya.

Sabtu : 19. JULAI 2008
______________________________


BismillahirRahmanirRahim

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

______________________

1. Al-Fatihah

[1] Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

[2] Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

[3] Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

[4]Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat).

[5] Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.

[6] Tunjukilah kami jalan yang lurus.

[7] Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.


Tags: ,


___________________________


Kehidupan manusia.
Kehidupan manusia sebenarnya melalui berbagai peringkat tetapi kebanyakan daripada kita melupainya atau tidak mengetahuinya atau mempercayai mengikut agama masing-masing. Manusia dijadikan Allah bermula dengan alam roh; Alam roh adalah kehidupan
Peringkat Pertama yang dilalui oleh manusia. Pada peringkat inilah manusia, malaikat dan iblis berada dalam satu masyarakat yang mungkin boleh diistilahkan sebagai masyarakat majmuk. Perpecahan berlaku hanya setelah peristiwa Allah memerintahkan supaya malaikat dan iblis memberi penghormatan kepada Adam a.s. iblis enggan dan sombong, manakala malaikat patuh seperti yang diperintahkan.

Ingin disebutkan di sini secara ringkas bahawa sifat manusia kombinasi sifat malaikat dan iblis iaitu dalam dirinya ada sifat baik dan jahat. malaikat bersifat baik semata-mata manakala iblis pula jahat semata-mata, ini kelihatan jelas selepas peristiwa tersebut.

Manakala
Peringkat kedua ialah berada di dalam kandungan ibu seperti yang difirmankan Allah di dalam surah al.Mukminun.


Dalam surah Al.Mukminun ayat 12 sehingga 16 Allah berfirman bermaksud,
" Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada suatu saripati (berasal) daripada tanah. Kemudian Kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kukuh (rahim). Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka Maha Sucilah Allah, Pencipta Yang Paling Baik. Kemudian, sesudah itu, sesungguhnya kamu sekalian benar-benar akan mati. Kemudian, sesungguhnya kamu sekalian akan dibangkitkan (dari kuburmu) di hari kiamat."

Peringkat ketiga ialah setelah manusia itu dilahirkan ke dunia ini, pada ketika ini melalui kehidupan dunia di mana mereka perlu berladang untuk kehidupan dunia dan juga wajib berladang untuk bekalan ke akhirat. Peringkat keempat, manusia dimatikan dan kembali semula ke alam roh (alam barzah / alam kubur) di sini mereka berada dalam tempoh yang tertentu hanya Allah sahaja yang mengetahuinya, Peringkat kelima. Peringkat ini adalah peringkat selepas berada di dalam kubur, manusia kemudiannya akan dibangkitkan dan dikeluarkan dari kubur dan menuju ke tempat yang dikenali sebagai Padang Mahsyar. Tempat inilah tempat menghisab amalan, pertimbangan dan ujian, setelah melalui ujian dan pemeriksaan Allah. Mereka yang melalui kehidupan yang bersih dan suci yang diakui Allah dan mereka yang diampunkan dosa akan ditempatkan di syorga, manakala mereka yang melalui kehidupan yang kotor dan jahat mengikut penilaian Allah akan dimasukkan ke dalam api neraka; Dua tempat inilah tempat terakhir dan kekal selama-lamanya.

Bagi mereka yang beriman kepada Allah tetapi melakukan dosa dan tidak diampunkan akan berada di dalam neraka sekadar dosanya sahaja, kemudian akan dikeluarkan dan ditempatkan pula di syorga buat selama-lamanya. Berlainan situasi mereka yang kafir atau syirik dengan Allah semasa di dunia sepanjang hidupnya akan kekal menerima siksaan di neraka. Sama juga bagi mereka yang murtad atau kafir di akhir hayat sehingga ke saat kematiannya.

Untuk mendapatkan penyudah yang baik manusia perlu menjalani kehidupan yang suci dan bersih. tanpa ilmu manusia tidak akan selamat. Ilmu sahaja tidak mencukupi kerana ilmu itu sangat umum sifatnya sama ada ilmu dunia atau akhirat.

Ilmu yang dimaksudkan di sini ialah ilmu yang mencakup kehidupan dunia dan akhirat yang sejahtera ( bukan ilmu yang membawa keburukan di dunia atau di akhirat ). Manusia sebenarnya memerlukan Ilmu, Iman, Islam dan Ihsan untuk mencapai kehidupan yang bersih dan suci di sisi Allah.

Untuk membina keluarga dan masyarakat yang berkualiti seharusnya bermula sejak a berada di dalam kandungan ibu iaitu sejak janin lagi. ketika ini ibu yang hamil dan bapa juga perlu mengambil berat tentang janin tersebut khasnya mengenai pemakanan ibu yang memberi kesan kepada janin di dalam kandungan dan mereka suami isteri pula hendaklah sentiasa berakhlak mulia kerana tingkah laku mereka mempengaruhi anak mereka yang masih di dalam kandungan.

Ibu bapa hendaklah menambahkan pengetahuan mereka terutamanya mengenai pemakanan bayi mereka. Memahami dan mengetahui pemakanan seimbang adalah penting untuk membentuk atau membina keluarga yang berkualiti, disamping memiliki pengetahuan mengenai kesihatan dan ilmu pendidikan. Ajaran Islam adalah teras yang sentiasa bersepadu dalam semua hal supaya kehidupan kita berada di landasan yang betul dan benar.

Wallahu aklam ( Allah Maha Mengetahui ).

Wassalam.

Patrina, Shah Alam 2008
19.07.2008

No comments: