Wednesday, June 1, 2011

Orang di atas pagar.

Orang di atas pagar.

Kini orang di atas pagar semakin kerap memalingkan muka mereka ke kanan dan ke kiri.

Peribahasa baru " Orang di atas pagar" , pagar merupakan sempadan di antara sesuatu kawasan, pagar didirikan untuk membezakan sesuatu kawasan dengan kawasan yang lain, selain dari itu berperanan untuk menghalang daripada orang atau binatang masuk atau keluar dari sesuatu kawasan tertentu. Pagar boleh dikelaskan sebagai penjaga, penjaga pula jika tidak beramanah diibaratkan pula sebagai harapkan pagar, pagar makan padi.

Orang di atas pagar tercetus dari penilaian atau gelaran yang diberi kepada sikap seseorang terhadap politik, sama ada orang tersebut menjadi ahli parti politik tertentu atau tidak menjadi ahli mana-mana parti, mereka yang tidak menjadi ahli mana-mana parti politik inilah yang diibaratkan sebagai orang di atas pagar. Orang di atas pagar tidak pernah menghadiri mana-mana mesyuarat parti politik sama ada di peringkat ranting, cabang, cawangan atau bahagian. Mereka mungkin menjadi penyokong sesuatu parti yang serasi dengan mereka pada sesuatu ketika dan mungkin juga pada suatu ketika yang lain akan berubah, perubahan akan berlaku di hati mereka apabila perkembangan parti tersebut menjadi tidak relevan pada penilaian mereka.

Orang di atas pagar bukan berarti mereka tidak aktif di dalam politik dan tidak perdulikan perkembangan politik atau tidak fikir hal politik negara, kekadang mereka ini mindanya lebih ligat daripada orang yang menyertai sesuatu parti politik, berada di atas pagar berarti mereka dapat melihat lebih jelas perkembangan politik semasa, dengan berada di atas pagar mereka boleh pandang kanan dan kiri dengan bebas, pagar adalah sesuatu yang tinggi sudah tentu mereka yang berada di atas pagar dapat melihat dengan senang akan mereka yang berada di bawah pagar. Pergerakan orang di padang politik dapat dilihat dengan jelas dan juga dapat membuat penilaian yang adil.

Sekiranya penonton bola sepak berada di atas pagar seolah-olah mereka berada di atas anak tangga stadium, dapat melihat kedua-dua pasukan itu dengan baik, malah lebih menyeluruh berbanding dengan pengadil yang terpaksa berlari ke sana dan ke mari untuk melihat dan mengetahui situasi permainan.

Kini mereka yang di atas pagar semakin kerap memalingkan muka mereka ke kanan dan ke kiri kerana permainan yang ditonton semakin rancak dan hilang kewarasan tanpa memperdulikan lagi peraturan dan peradaban manusia, mereka yang menguasai kawasan permainan seolah-olah menjadi pengadil sendiri. Mereka berani melambungkan bola menyembuyikan tangan walau di depan pengadil sekali pun.

Bagi mereka yang di atas pagar tetap mempunyai kuasanya yang tersendiri tanpa digugatkan oleh sesiapa, mereka tetap memberi sorakan kepada permainan yang baik , adil dan berkualiti. Jika kedua-dua pasukan itu sedang bertarung untuk mewakili negara, mereka yang di atas pagar tetap mengundi pasukan yang terbaik dan tidak terpengaruh dengan mana-mana pasukan seperti mereka yang mempunyai pasukan dan menjadi penyokong setianya, walaupun pasukan mereka telah memamerkan permainan yang ganas dan mengabaikan peraturan yang sepatutnya dipatuhi. Mereka akan tetap menyokong pasukannya dan akibatnya pasukan mereka semakin menjadi corot dalam memamerkan permainan pada masa akan datang.

Artikel ini hanya untuk diri sendiri, mungkin anda sukar memahaminya.

Monday, May 30, 2011

Aku telah matang (puisi)

Salam semua.

Negara ini bukan negara kamu.
Negara ini bukan negara keluarga kamu.
Negara ini negara semua rakyat Malaysia.
Kamu jangan anggap aku rakyat tiri Malaysia.
Aku rakyat tulen Malaysia sejak Persekutuan Tanah Melayu.
Sama usianya dengan kamu.

Oleh itu,
kamu yang perlu faham,

Kamu yang perlu bangun dari tidur sebelum dibangunkan.

Kalau kamu telah membebel bermacam-macam.
Kalau kamu telah memporak-perandakan rakyat.
Kalau kamu telah meracuni fikiran rakyat.
Kalau kamu sahaja yang bercakap di dalam corong radio, Tv dan segalanya, memburukkan diri aku.
Mengapa aku tidak boleh menjelaskan dan membetulkannya...???.

Hanya satu jam pun kamu takut memberi ruang.
Agaknya kamu kini terlalu takut. terlalu gelisah.
Kamu tiada langsung sifat kekitaan.
dan ingin terus mencelarukan minda rakyat.

Rakyat ingin penjelasan,
penjelasan dua pihak.
inginkan kebenaran.

Jika takut dan gelisah, itu adalah ciptaan kamu sendiri.
Kamu terlalu penting diri sendiri.
Dulu kamu kata aku Lebai kampung,
jaguh kampung.

Kini anak-anak aku telah dewasa.
Mempelajari berbagai jurusan ilmu.
Ada jurutera,doktor,peguam,ulamak,akaunten dan berbagai-bagai lagi.

Anak-anak aku juga berhak memerintah negara ini.
Bukan anak-anak kamu sahaja.
Aku akan pastikan anak-anak aku memerintah dengan telus dan adil.
Kerana aku faham bahawa telus dan adil itu suruhan Allah.

Allah adalah Tuhan pencipta sekalian makhluk ini.
Itu adalah kepercayaan aku dan anak-anak aku.

Tidakkah kamu melihat rumahtangga aku.
Rumah aku telah diperbesarkan.
Mempunyai jiran yang ramai dan berketrampilan.
Penghuninya bertekat mencegah kemungkaran.
Aku bukan seperti dulu lagi.
Aku telah matang.

Sekian...wallahu aklam.

Saturday, May 28, 2011

Bersederhana (puisi)

Salam semua.

Tujuh hari jumlah hari seminggu.
Tiga puluh hari sepurnama.
Sampai pula di hujung minggu.
Hari cuti merehatkan minda.

kalau anda memang berkemampuan.
Bawalah keluarga menjana keceriaan.
Tetapi harus berhati-hati dijalanan.
Agar selamat sampai ke hujung jalan.

Mengayuh perahu arah ke selatan.
Membawa pengantin dara dan teruna.
Menyesal dahulu adalah pendapatan.
Menyesal kemudian tidak berguna.

Apabila gopoh memberi keputusan.
Persis menyerupai tabiat syaitan.
Ingatlah selalu pesanan junjungan.
Bersederhana itu sebaik-baik pekerjaan.

Manusia itu gelarannya 'pelupa'.
'Annas' sabda Allah Taala.
Ingat-mengingat supaya berwaspada.
Amalan ini berpahala jua.

Diri sendiri mesti diutama.
Ingatkan diri, kemudian orang lain.
Itulah cara suruhan Allah Taala.
Marilah kita jadikan amalan.

Sekian...wallahu aklam.

Thursday, May 26, 2011

Alamat kiamat.(puisi)

Salam semua.

Ulamak dicerca sudah berulangkali.
Mati beramai-ramai sering disaksi.
Fitnah memfitnah setiap hari.
Bukankah ini alamat kiamat lagi.

Hanya untuk muhasabah di pagi hari.
Supaya kita sentiasa berhati-hati.
Agar senang selepas mati.
Muhasabah didahulukan diri sendiri.

Lampu padam dipasang lilin.
Tiada daya menahan keruntuhan.
Memuji diri memburukkan orang lain.
Kononnya hero memberi pertolongan.

Tanah runtuh menimpa pokok palas.
Sebahagian bangunan ranap rebah.
Berilah pertolongan dengan ikhlas.
Ikhlas bermaksud kerana Allah.

Sekian...wallahu aklam.

Friday, May 20, 2011

Bertindak bertentangan dengan doa harian.

Salam semua.
Sekadar muhasabah di hari mulia.
Memberi maaf kepada semua,
memohon maaf dari semua.
Tidak kira muda atau tua.



Muhasabah - Bertindak bertentangan dengan doa harian.
Muhasabah ini sekadar ingin mengingatkan diri sendiri dan bersama mereka yang ingin berkongsi. Sebagai seorang Islam kita berdoa setiap hari, sekurang-kurangnya lima kali sehari (lihat ayat di atas ) mulai kalimah "Rabbana aatina fiddunya hasanah....sehingga akhirnya" matan ayat tersebut telah dihafaz oleh hampir semua orang Islam di dunia ini, iaitu ibu bagi segala doa di mana kandungan doanya lengkap meliputi kebaikan di dunia dan di akhirat bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi untuk semua saudara Islam di seluruh pelusuk dunia, ditambah lagi sebelumnya dengan doa " Allahum maghfir lil muslimin wal muslimat wal mukminin wal mukminat...................." - "Ya Allah ampunkanlah sekalian orang muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat sama ada yang masih hidup atau yang telah mati".

Persoalannya.
Jika kita merujuk kepada doa di atas, rasionalnya orang Islam tiada persengketaan, tiada pergaduhan, tiada perbuatan pulau memulau atau meninggalkan saudaranya kerana benci atau bergaduh...Kalau kita amati dan muhasabah kandungan doa tersebut, insya Allah kita tidak sampai hati untuk meninggalkan saudara kita atau bertindak bertentangan dengannya, terutamanya mereka yang mempunyai ikatan persaudaraan dekat, malah dengan semua orang Islam di dunia ini.

Catatan:
Jika telah terlanjur bergaduh dan bersengketa bersegeralah berdamai dan mereka yang berwibawa sewajarnya membantu untuk mempercepatkan berlakunya kebaikan tersebut. Percayalah bahawa ikatan kekeluargaan dan persaudaraan itu mempunyai nilai berkat yang tinggi dan mampu menghilangkan kerunsingan serta berjaya menggantikan dengan kebahagiaan sejati serta menyemat dan memaku kukuh kebahagiaan itu di hati.

Sekian...Wallahu aklam.