Wednesday, August 6, 2008

Pengurusan Masjid.



Assalamualaikum wa Rahmatullahi Wa Barakatuh/Selamat sejahtera.


Masjid merupakan institusi penting dalam masyarakatIslam di mana sahaja mereka berada. Persoalannya sekarang adakah masjid diuruskan seperti yang sewajarnya oleh mereka yang diamanahkan. Apakah tanggapan masyarakat terhadap peranan dan fungsi masjid itu telah mencapai tahap kualiti atau piawaian yang dikehendaki oleh Islam itu sendiri atau masih ditahap fahaman Melayu yang disaluti adat yang berbagai cabang ianya berlaku sama ada di kampung atau di bandar. Di mana kadang-kadang dikuasai fikrah Melayu mengatasi fikrah Islam atau kadang-kadang sebaliknya. Manusia memang lumrahnya begitu ,adakah dasar pentadbirannya pun begitu. atau adakah pentadbirnya sahaja begitu kerana tidak menguasai ilmu pengetahuan yang sepatutnya mereka kuasai. Jika menyedari hakikat ini mengapakah tidak diserahkan sahaja kepada orang lain. Bukankah masjid itu institusi amat penting seperti yang disebutkan tadi.

Masjid sebenarnya Institusi Pendidikan Terawal di kalangan masyarakat Islam. Pendiddikan di masjid sewajarnya meliputi dan mencakupi keseluruhan ajaran Islam yang dibawa oleh junjungan kita Nabi Muhammad.s.a.w tanpa tapis untuk mengurangkannya dan tanpa tambah untuk menyelewengkannya. Penyampaiannya meliputi semua perkara mengenai Aqidah,Ibadat,Muamalat,Munakahat,Jenayat,Sirah Nabawiyah . (semua perkara yang terkandung di dalam al.Quran dan al.Hadis) dan seumpamanya.

Ahli Jawatankuasa Masjid (Pentadbir Masjid) dan mereka yang berkenaan seharusnya terdiri dari mereka yang benar-benar mengetahui dengan mendalam tentang objektif dan fokus masjid serta berminat dan berazam untuk memajukannya disamping bertekad memakmurkannya.
Mereka juga seharusnya berpengalaman dalam pentadbiran persatuan, di mana setiap persatuan semestinya terdapat peraturan kecil atau perlembagaan yang wajib dipatuhi manakala masjid terdapat peraturannya yang tersendiri. Peraturan tersebut merupakan amanah yang diserahkan oleh Ahli Qariah kepada pentadbir masjid. Jika amanah itu diabaikan bermakna pentadbir melaksanakan tugas seperti hak kepunyaan mereka sendiri tanpa terikat dengan apa-apa peraturan . Sebagai contoh membelanjakan wang tanpa mesyuarat atau meluluskan perbelanjaan dalam mesyuarat yang kuromnya tidak mencukupi seperti yang telah ditetapkan di dalam peraturan persatuan. Jika ini berlaku tentulah menyedihkan kita kerana wang dan harta yang dikendalikan bukan sedikit nilainya. Kita harap perkara ini tidak berlaku kalau berlaku pun disebabkan kekurangan ilmu dan pengalaman.

Masjid adalah tempat yang paling mulia di sesuatu qariah ( kampung ). Bagaimanakah kita menilai ianya mulia kalau di sana terdapat kekurangan dan kelemahan . Sebenarnya ianya memang mulia tetapi kekurangan dan kelemahan berlaku kerana keadaan ( modal insan ) tidak sempurna oleh itu perkara tersebut akhirnya berlaku tanpa disengajakan atau sebaliknya kerana kepentingan diri. Peraturan yang baik sebenarnya telah disediakan .Walau pun kereta baru tetapi pemandunya tidak cekap akhirnya tidak selamat juga. Masjid tempat yang mulia biarlah ditadbirkan oleh orang yang mulia . Sekiranya ini boleh dilakukan barulah masyarakat kita menjadi masyarakat hadari yang mampu menghayati Islam sepenuhnya di dalam kehidupan diri,keluarga,masyarakat dan negara.

Apakah tugas kita supaya institusi masjid kembali bertenaga dan berfungsi sewajarnya, apakah kelemahan-kelemahan yang perlu disingkirkan, apakah kekuatan-kekuatan yang sedia ada, apakah perkara yang boleh dilakukan untuk tambah baikkan. Perancangan dan program yang telah disediakan oleh pihak berkuasa telah memadai walau pun masih ada ruang untuk dimajukan lagi. Penglibatan semua lapisan masyarakat nescaya kita berupaya memakmurkan institusi masjid seperti selayaknya seperti masjid-masjid yang cemerlang yang sememang wujud di dalam negara kita, apa yang diperkatakan di sini ialah sebahagian besarnya berada di tahap sederhana dan lemah. Penulis bukanlah seorang yang pakar dalam hal ini, apa yang disebutkan di sini cuma hasil pemerhatian dan pengalaman sebagai ahli jamaah yang masih dalam bentuk teori di dalam minda, penulis merasakan resipinya memang memadai walau pun tidak lengkap tetapi masakannya masih tersasar, mungkin tulisan ini dapat mencetuskan percambahan minda anda yang lebih kehadapan dan terkini.

Pujian dan insentif perlu diberikan kepada pentadbir dan ahli qariah yang tidak jemu-jemu memakmurkam masjid kerana merekalah tuntutan fardu kifayah tertunai akhirnya dan ahli qariah yang tidak terlibat menumpang teduh di bawah naungan mereka. Merekalah juga yang menghidupkan solat jamaah lima waktu di masjid yang sangat-sangat dituntut bagi tiap-tiap qariah. Sebahagian besar dari mereka bertugas atau menjalankan aktiviti tanpa apa-apa bayaran.

Untuk kemajuan masjid kita seharusnya meneliti dan mengkaji kelemahan dan kesilapan yang berlaku di masjid dan disusuli dengan tindakan untuk memperbaikinya . Tentulah kelebihan yang sedia ada dikekalkan serta diteruskan dan dijadikan tradisi yang baik untuk masyarakat setempat.

Wallahu aklam;


Wassalam.

Kehidupan Bersih (6)




Kehidupan yang bersih dan suci yang dimaksudkan di sini ialah kehidupan yang dilalui oleh manusia , di mana cara hidupnya bersih dan suci dari segi rohani, jasmani dan persekitarannya. Untuk mencapai tujuan tersebut selain dari yang telah disebutkan pada siri yang lepas. Manusia hendaklah menyedari bahawa sebagai orang Islam, mereka wajib mematuhi atau menyedari bahawa kita tidak akan terlepas dari pemerhatian dan hukum Allah iaitu sama ada wajib,sunat,haram, mubah dan makruh. Ini bermakna manusia tidak dapat elak dari hukum Allah, setiap perbuatan yang dilakukan akan disabitkan sama ada sunat,haram,mubah,makruh atau wajib. Sebagai contoh makan>mubah, mengumpat>haram, makan makanan hasil rasuah>haram, memberi pertolongan dalam hal kebaikan>sunat.

Kesimpulannya setiap perbuatan manusia tiada yang terhenti di dunia sahaja atau akhirat sahaja, setiap perbuatan melibatkan dunia dan akhirat sebagai contoh memberi pertolongan kepada orang, menyara keluarga, menunaikan solat atau bersedekah, perbuatan tersebut dilakukan di dunia dan mendapat syorga di akhirat (dunia/akhirat). Mencuri, memberi atau menerima rasuah,memfitnah atau mengumpat, semua perbuatan ini juga berlaku di dunia tetapi menerima azab neraka di akhirat (dunia/akhirat). Tegasnya setiap perbuatan yang dilakukan di dunia ini ada ganjaran atau balasannya di akhirat nanti. Sama ada kita seorang pendidik, ahli politik, petani, peniaga,penjawat awam,nelayan atau sebagainya, oleh itu bekerjalah seolah-olah kita sedang melihat Allah atau sesungguhnya Allah sedang melihat kita. (ihsan).

Rasionalnya kita perlulah berada di dalam lengkongan persekitaran yang kehidupannya bergerak selari dan selaras dengan perintah Allah. Kiranya ini dijadikan panduan di dalam kehidupan manusia, insya Allah kita akan mencapai matlamat yang dikehendaki.

Kebelakangan ini kadang-kadang kita terfikir atau merasai seolah-olah masyarakat iblis,jin dan syaitan sedang berpesta merayakan kemenangan mereka ke atas menusia . Ini merujuk kepada peristiwa-peristiwa buruk dan jahat yang berlaku di persekitaran kita berdasarkan berita benar dan palsu yang diterima dari berbagai sumber.

Cerita mengenai anak muda berlumba motorsikal secara haram, rompakan, rogol, penagihan dadah yang semakin bertambah dan keruntuhan rumahtangga, kecurian dan seumpamanya sering dipaparkan di dada akhbar. Jika telahan ini benar bermakna laluan kehidupan yang kita lalui terdapat kekotoran dan kejahatan yang berkemungkinan bila-bila masa sahaja boleh menyusahkan kita, keadaan ini nampaknya menyarankan kita supaya mengubah pradigma yang tidak betul yang dihayati selama ini sama ada oleh anak muda atau diri kita sendiri kepada suatu cara hidup yang dianjurkan oleh Islam secara berhikmah dan bermaruah.

Kalau ada usaha insya Allah kita akan berjaya mengubah kehidupan kita yang kurang baik ini kepada kehidupan yang lebih baik lagi. Kita tidak boleh lagi hidup mementingkan diri sendiri tanpa mempedulikan kehidupan orang lain sebab kehidupan orang lain antaranya mengancam kehidupan kita dan ada yang membantu kehidupan kita. sebenarnya kehidupan ini sering bergantung antara satu sama lain dan mempengaruhi antara satu sama lain. Dengan itu masyarakat berkewajipan mewujudkan kehidupan yang bersih dan suci supaya semua orang dapat hidup dalam keadaan harmoni.

" Membersihkan permukaan meja yang kotor memerlukan tuala yang bersih dan suci"

wassalam.

>>> Insya Allah kita bertemu lagi <<<

Saturday, July 26, 2008

Kehidupan Bersih (5)



______________________________________


Semua manusia memerlukan bimbingan dan pendidikan, Adam dan Hawa mendapat didikan dan pertunjuk secara langsung dari Allah melalui wahyu (wahi) yang diterima baginda. Inilah panduan hidup utama mereka berdua tetapi malangnya kehidupan mereka yang sejahtera dan aman dirosakkan oleh iblis yang sombong dan ego akhlaknya. Akhirnya Adam.a.s bertaubat di atas keterlanjuran-Nya yang dipengaruhi iblis, taubat-Nya diterima Allah. Adam sebenarnya melakukan sesuatu yang dilarang di dalam syurga itu bukanlah perbuatan yang keji atau jahat kerana baginda melakukannya dalam keadaan terlupa. Inilah detik permulaan iblis merosakkan kehidupan manusia oleh itu manusia hendaklah mengambil ingatan bahawa " Iblis adalah musuh manusia yang terang dan nyata ". Iblis boleh hidup di dalam badan manusia sama ada dalam darah, daging dan angin.

Untuk menjauhi gangguan iblis manusia hendaklah sentiasa beribadat kepada Allah dan mengenal iblis itu sendiri melalui keterangan yang terdapat di dalam al.Quran dan al.Hadis. Sebelum itu sudah tentulah manusia terlebih dahulu wajib mengenal Allah ( auwaluddin makrifatullah - yang paling utama dalam agama Islam ialah mengenal Allah ). Iblis, jin dan syaitan adalah makhluk yang dijadikan oleh Allah, kuasa yang ada pada mereka sekadar kuasa yang diizinkan Allah sahaja dan mustahil mengatasi kuasa Allah. Manusia yang sukar diganggu iblis, jin dan syaitan ialah mereka yang menghayati Islam, Iman dan Ihsan di dalam kehidupan mereka sepanjang masa selari dengan denyut nadi di dalam badan mereka.


Ketika atau masa yang amat penting manusia mendapatkan pendidikan dan bimbingan ialah semasa mereka berada pada zaman kanak-kanak dan remaja tetapi unsur pendidikan sebenarnya telah diterapkan sejak janin dan bayi lagi. Pada zaman kanak-kanak dan remaja ibu bapa berkewajipan memberi pendidikan formal kepada mereka dengan cara menghantar mereka ke sekolah dan memastikan proses pendidikan terhadap anak-anak mereka berjalan dengan baik sama ada di rumah atau di sekolah. Ibu bapa juga berkewajipan memilih atau menentukan bidang pelajaran yang diikuti supaya dewasa kelak mereka mampu menjalani kehidupan yang bersih dan suci ( kehidupan yang diredai Allah ). Jika ditakdirkan mereka berjaya menjadi seorang doktor, jurutera, pendidik, ahli politik, peguam, pentadbir atau seumpamanya, masyarakat tidak bimbang lagi tentang berlakunya penyelewengan, salah guna kuasa, rasuah dan perkara buruk seumpamanya.

Untuk mencapai hasrat tersebut pihak yang berwajib hendaklah menyediakan prasarana, dasar pelajaran, kurikulum dan falsafah pendidikan yang menjurus ke arah tersebut ( untuk mereka yang bukan Islam sudah tentulah ada penyesuaian dengan menggantikan dengan nilai-nilai baik sejagat ) . >>> Semua perkara tersebut sebenarnya telah wujud di sekolah tetapi mengapakah kita gagal merealisasikannya, adakah kerana pelaksananya bercampur aduk dengan mereka yang bukan ahli dalam pendidikan atau kita hanya tumpu pada perkara kognitif sahaja - pandai menceritakan method berenang tetapi sebenarnya kita sendiri lemas bila berada di dalam air yang dalam. Sama-samalah kita fikirkan untuk membaiki keadaan dan ummah <<<. Sikap mementingkan pendidikan perlu dihayati oleh setiap ibu bapa, kerana ibu bapa adalah pemimpin rumahtangga sekiranya penghuni setiap rumahtangga menjalani kehidupan yang bersih tentulah wujud kampung, daerah, negeri dan negara yang penghuninya mempunyai akhlak yang sama, dengan itu wujudlah masyarakat yang mengamalkan kehidupan yang bersih dan suci. Masyarakat yang berakhlak mulia suara hati mereka memprotes dan menentang keburukan dan kejahatan. mereka juga menyanjungi pemimpin yang lebih baik daripada mereka khususnya dalam hal akhlak dan pendidikan. Cara inilah sahaja untuk mencapai negara yang makmur, berkat dan diampunkan Allah. ( Insya Allah bertemu lagi )

Thursday, July 24, 2008

Kehidupan Bersih (4).


______________________________________


Penjelasan dalam Kehidupan Bersih (1) dijelaskan tentang peringkat kejadian manusia (anak-anak Adam) dan seterusnya kejadian kita semua, di mana ia bermula dari kehidupan alam roh kemudian kejadian jasad dan roh di dalam kandungan ibu setelah sampai tempoh 9 bulan atau kurang kejadian tersebut dilahirkan sebagai bayi, kemudian manusia membesar menempuh berbagai zaman iaitu zaman kanak-kanak, remaja dan dewasa.

Untuk mencapai kehidupan yang bersih dan suci di atas muka bumi ini,menusia memerlukan pendidikan yang betul dan benar seperti yang dikehendaki Allah. Sejak dalam kandungan lagi seharusnya ibu bapa mengamalkan aktiviti yang positif dan mahmudah. di antara aktiviti atau sifat mahmudah yang dimaksudkan ialah amanah, ikhlas, makan makanan yang halal dan baik, mengamalkan makanan seimbang dan seumpamanya kerana akhlak ibu bapa mempengaruhi janin yang sedang membesar di dalam kandungan ibu.

Setiap ibu bapa bercita-cita menjadikan anak-anak mereka anak-anak yang baik dan cemerlang tetapi usaha yang dibuat ke arah itu kadang-kadang bertentangan dengan matlamatnya atau bercampur aduk dengan perkara-perkara yang akan menggagalkan matlamat, Bak kata orang tanam lalang mengharapkan hasilnya padi. Ini berlaku kerana kejahilan atau kekurangan ilmu atau mendapatkan ilmu dari sumber yang tidak tepat kerana mengabaikan al.Quran , al.Hadis d as.Sunnah, ijmak ulamak dan qias. Kehidupan yang bersih dan suci dapat diwujudkan hanya melalui pendidikan yang berteraskan al.Quran, al.Hadis, ijmak ulamak dan qias.

Apabila wujud ramai individu yang bersih maka dengan sendirinya wujud masyarakat yang bersih. Ketika itu kehidupan manusia menjadi aman dan damai. Inilah kehidupan yang dikehendaki dan dituntut oleh Allah. Sesungguhnya amat malang bagi rakyat sesebuah negara sekiranya jumlah orang jahat melebihi orang baik kerana kerosakan demi kerosakan akan berlaku, seterusnya rosaklah negara dan binasalah penghuninya. Adalah menjadi kewajipan setiap orang untuk berusaha ke arah kebaikan dan kebajikan kerana itulah sahaja cara untuk memelihara ketenteraman dan keamanan sama ada untuk kehidupan siang atau malam pada setiap masa dan sepanjang zaman.

Merujuk kepada surah Ali 'Imran ayat (104) Allah berfirman bermaksud; " Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung".

Sebenarnya saya utarakan mauduk ini semata-mata ingin menjadikannya sebagai sumber untuk kita sama-sama muhasabah diri, mungkin terdapat idea yang boleh dimanfaatkan, disamping memenuhi masa lapang saya dengan kerja-kerja yang berfaedah untuk diri sendiri dan masyarakat. Sekurang kurangnya dapat menghayati sepotong ayat al.Quran yang maksudnya dinyatakan di atas.

Wassalam.
( akan bersambung pada siri akan datang )

Tuesday, July 22, 2008

Kehidupan Bersih (3)



Dalam pertemuan ini saya ingin menjelaskan secara mendatar sahaja tentang beberapa konsep yang telah disebutkan, untuk mendapatkan secara lebih mendalam pembaca perlulah merujuk kepada kitab-kitab yang berkaitan. Ilmu membawa maksud mengetahui sesuatu sama ada secara kognitif sahaja atau melebar kepada afiktif, psikomotor, analisis, penghayatan dan lain-lain. manakala iman bermaksud percaya dengan yakin, menyebutkannya dengan lidah, melaksanakannya dengan anggota badan terhadap perintah Allah dan meninggalkan larangan- Nya.

Islam bermakna selamat (sejahtera), merujuk kepada orang Islam pula ialah mereka yang mengaku bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan mengakui bahawa Nabi Muhammad s.a.w itu pesuruh Allah. Orang Islam yang baik dan bersih ( tidak fasik, tidak munafik, tidak syirik ) semestinya mereka melaksanakan serta mematuhi semua prinsip rukun iman dan rukun Islam.

Walau pun tuntutan iman dan Islam telah disempurnakan tetapi manusia masih memiliki sifat mazmumah ( nagetif ) atau bercampuraduk antara mahmudah dam mazmumah sebenarnya kita masih ada lagi tuntutan yang perlu diamalkan dan dihayati iaitu ihsan. Apakah ihsan ?. Mengenai Ihsan Nabi Muhammad.s.a.w menjelaskan melalui sabda baginda bermaksud, " Hendaklah engkau beribadat seolah-olah engkau melihat Allah maka apabila engkau tidak melihat-Nya sesungguhnya Dia melihat engkau ".

Jika manusia yang beriman menyedari bahawa Allah membuat penilaian terhadap dirinya sepanjang masa sudah tentulah tidak berlaku perbuatan mazmumah (buruk) di dalam kehidupan mereka maka inilah yang dikatakan Kehidupan Bersih dan Suci. Ihsan berteraskan ikhlas. Ikhlas bermaksud melakukan sesuatu semata-mata kerana Allah. (Kadang-kadang kita menggunakan perkataan "ikhlas" ini tidak kena pada tempatnya yang sewajar ). Sebagai contoh kerja yang dilakukanya adalah jenis pekerjaan yang bertentangan dengan ajaran Islam tetapi dinyatakan bahawa ianya dibuat dengan ikhlas. Jika merujuk kepada istilah syariat Islam kenyataan seperti itu tidak tepat.


Adakah kepatuhan kepada iman, Islam dan ihsan itu terjamin 100% untuk mencapai kehidupan bersih dan suci. walau apa pun manusia tetap tidak maksum seperti manusia yang dilantik menjadi nabi dan rasul. Jin, syaitan dan iblis sentiasa berusaha dan menyusup masuk ke dalam darah daging manusia serta mempengaruhi mereka supaya menjalani kehidupan yang kotor dan kufur seperti mereka. Tetapi kita masih bernasib baik kerana kaedah untuk menyelamatkan diri masih ada iaitu dengan cara sentiasa berdoa , bertawakkal serta bertaubat kepada Allah. Wassalam

(bertemu lagi pada kesempatan yang lain ).