Saturday, December 6, 2008

JOM. KITA ULANGKAJI CARA SOLAT AIDIL ADHA


JOM. KITA ULANGKAJI CARA SOLAT SUNAT AIDIL ADHA
Solat sunat Aidil Adha hukumnya sunat muakkad ( sunat yang dituntut )
Panduan ringkas:

(1) Takbiratul ihram ( Allahu akbar ) - Niat solat:
Lafaz niat. " Sahaja aku solat sunat Aidil Adha dua rakaat kerana Allah Taala" ( untuk solat seorang diri ).
" Sahaja aku solat sunat Aidil adha dua rakaat makmum kerana Allah Taala" (jika ikut imam).
" Sahaja aku solat sunat Aidil Adha dua rakaat jadi imam kerana Allah Taala" ( jika jadi imam).
Niat ini hendaklah dilakukan semasa takbiratul ihram iaitu sekadar lintasan di hati lafaz tersebut. Untuk memudahkan niat , sebelum takbitratul ihram kita hendaklah membuat lintasan terlebih dahulu di dalam hati akan lafaz niat itu.
(2) Membaca doa iftitah.
(3) Kemudian takbir 7 kali yang diselangselikan dengan tasbih sebanyak 6 kali.
(4) Membaca fatihah dan surah al. Akla.
(5) Rukuk dan sujud seperti biasa.
(6) Iktidal dan berdiri betul ( rakaat kedua ) takbir 5 kali yang diselangselikan dengan tasbih 4 kali.
(7) Membaca fatihah dan surah al.Ghasyiyah.
(8) Rukuk, sujud dan membaca tahiyat akhir seperti biasa.
(9) Memberi salam.
(10) Disunatkan takbir hari raya sebelum berdoa, ( Contoh takbir seperti di bawah )
(11) Membaca dua Khutbah. ( sekiranya bersolat secara berjamaah )






Peringatan:
(a) Kalau imam telah berhenti takbir/bertasbih makmum hendaklah berhenti, begitu juga kalau imam terlebih takbir, makmum tidak perlu ikut sebaliknya menunggu.
(b)Takbir Hari Raya Aidil Adha disunatkan mulai malam hari raya (10hb. Zulhijjah ) sehinggalah selepas solat Asar ( 13hb. Zulhijjah ).
(c) Bacaan surah al.Akla dan al.Ghasyiyah boleh diganti dengan surah lain, sekiranya tidak menghafaz ayat tersebut. ( tidak boleh buat semua, jangan tinggal semua )
(d) Orang yang terpaksa bertugas pada hari raya , disyorkan melaksanakan ibadat ini secara bersendirian, jangan biarkan ia berlalu begitu sahaja kerana ibadat ini hanya dapat dilakukan setahun dua kali sahaja. ( Aidil Fitri dan Aidil Adha )
Sekian... Wallahu aklam . Wassalam.


Friday, December 5, 2008

Pentadbiran dan Pengurusan PIBG ( 2 )



Pada kesempatan ini sekali lagi saya menulis mengenai Pentadbiran dan Pengurusan PIBG sebagai menyahut sambutan yang diberikan kepada penulisan yang telah lalu. Guru-guru dan ahli-ahli PIBG yang masih muda, mungkin mereka memerlukan makluman ini untuk mempermudahkan mereka membantu PIBG sekolah masing-masing.

Di bawah ini saya paparkan salinan Akta Pendidikan 1996 dan Peraturan-Peraturan Pendidikan ( Persatuan Ibubapa - Guru 1998 ) - ( Sub peraturan 7(2) - Perlembagaan Persatuan Ibu Bapa - Guru ( PIBG ). sebagai bahan rujukan mereka yang berminat dan memerlukannya dan sebelum itu saya sisipkan beberapa pengalaman saya berkaitan dengan pentadbiran dan pengurusan persatuan ini.

Beberapa peringatan yang perlu diambil perhatian:

( Sisipan pengalamanku )

(1) Agenda mesyuarat Jawatankuasa perlulah mendapat persetujuan pengetua atau guru besar terlebih dahulu, sebelum mesyuarat Yang Di Pertua atau Setiausaha hendaklah berunding terlebih dahulu dengan pengetua atau guru besar mengenai perkara tersebut.

(2) Setiausaha hendaklah mencatatkan minit mesyuarat dengan kemas dan mengikut format yang betul dan failkan dengan baik sehingga dapat diserahkan minit itu dengan baik kepada setiausaha baru, jika berlaku perlantikan baru sama ada selepas mesyuarat Agung atau sebab-sebab lain.

(3) Berdahari tidak layak mengeluarkan wang atau membuat perbelanjaan secara berseorangan melainkan setelah diluluskan oleh mesyuarat yang dihadiri oleh 2/3 kuorum.

(4) Dalam menguruskan mana-mana Mesyuarat Agung tidak perlu melantik Pengerusi Sementara kerana tugas mempengerusikan mesyuarat tersebut adalah tugas Yang Di Pertua yang sedia menjawat jawatan ketika itu, perkara ini dijelaskan di dalam perlembagaan.

(5) Pengetua atau guru besar tidak layak mengarahkan bendahari mengeluarkan wang atau membuat perbelanjaan tanpa mesyuarat.

(6) Pengetua atau guru besar dicatatkan sebagai Turut Hadir atau Hadir Bersama di dalam senarai kehadiran Ahli Jawatankuasa semasa mesyuarat.

(7) Semasa Mesyuarat AJK. Pengetua atau guru besar biasanya akan memberi ucapan ringkas selepas ucapan aluan pengerusi dan di sini pengetua atau guru besar bolehlah memberi pandangan atau mengemukakan harapan pihak sekolah untuk mangadakan projek mengumpul dana PIBG bagi membiayai aktiviti para pelajar ( sebagai contoh ). Salah seorang AJK.PIBG bolehlah mengambil pandangan itu dijadikan cadangan dan jika mendapat persetujuan ramai maka syor atau pandangan tersebut bolehlah dilaksanakan tetapi semasa mengundi pengtua atau guru besar tidak boleh terlibat atau tidak boleh mengundi, sekiranya perbincangan itu memerlukan undian./ atau pengetua atau guru besar menasihatkan supaya dimasukkan apa-apa agenda yang dihendakinya dan dibincangkannya di dalam mesyuarat.

(8) Sebelum Mesyuarat Agung, AJK hendaklah mengadakan mesyuarat khas Persediaan Mesyuarat Agung untuk meluluskan anggaran perbelanjaan mesyuarat agung dan membincangkan perkara-perkara seperti menyemak Penyata Kira-kira Kewangan yang berakhir pada 31 Disember dan menyemak minit mesyuarat agung yang telah lalu, laporan aktivit tahunan, tetamu khas, menyediakan buku laporan Mesyuarat Agung Tahunan, membentuk Jawatankuasa Pengelola dan lain-lain bertujuan melancarkan perjalanan mesyuarat tersebut.

(9) Penyata kira-kira Kewangan mulai 1hb. Januari tahun tersebut eloklah dilaporkan atau dibentangkan di dalam laporan Mesyuarat Agung untuk semakan dan makluman ahli kerana bahagian ini akan diteruskan oleh AJK yang akan menggantikan AJK lama, jika berlaku perubahan atau mungkin sebahagian AJK akan berlaku perlantikan baru.

(10) Bagi sekolah baru yang belum menubuhkan PIBG mereka boleh mendapatkan borang pentaftaran atau Perlembagaan PIBG dari Jabatan Pendidikan dan membuat penyesuaian berdasarkan sekolah masing-masing. Perkara ini boleh diuruskan oleh Jawatankuasa Penaja.

(11) Perlembagaan PIBG adalah kandungan amanah kerajaan dan ahli PIBG kepada AJK. PIBG oleh itu perlembagaan tersebut hendaklah dirujuk dan dipatuhi sepanjang masa.

___________________________________________________________________

AKTA PENDIDIKAN 1996


PERATURAN-PERATURAN PENDIDIKAN

(PERSATUAN IBU BAPA – GURU) 1998

[Sub peraturan 7(2)]

PERLEMBAGAAN PERSATUAN IBU BAPA-GURU (PIBG)


Tujuan-tujuan Persatuan

a) untuk mengadakan sesuatu forum dan perkhidmatan bagi kebajikan dan kemajuan murid-murid dalam Sekolah dalam meningkatkan imej Sekolah;

b) untuk membantu dan menambah usaha Sekolah dalam memenuhi kehendak dan keperluan kebendaan murid-murid dalam kegiatan mereka;

c) untuk membolehkan ibu bapa dan guru dalam Sekolah bertukar-tukar fikiran dan maklumat mengenai pendidikan;

d) untuk memberi peluang kepada ibu bapa dan guru dalam sekolah berunding antara satu sama lain dengan cara memperbaiki taraf pendidikan anak-anak mereka pada amnya; dan

e) untuk membolehkan ibu bapa dan guru dalam Sekolah untuk berusaha menambah kewangan Sekolah dan meningkatkan kemudahan fizikal bagi tujuan meningkatkan kemudahan pengajaran dan pembelajaran

Fungsi Persatuan

Fungsi Persatuan ialah untuk menjalankan aktiviti atau program bagi mencapai tujuan-tujuan persatuan yang dinyatakan di perenggan 3, seperti:

a) membantu dalam memajukan perkembangan murid dan menjaga kebajikan murid;

b) menambah sumber kewangan Sekolah bagi menambah dan meningkatkan kemudahan di Sekolah;

c) meningkatkan kemesraan dan menyediakan saluran komunikasi dan hubungan antara Sekolah dengan masyarakat setempat;

d) meningkatkan kecerian premis Sekolah supaya dapat mewujudkan suasana yang kondusif bagi menjayakan aktiviti dan program pendidikan

Keanggotaan Persatuan

Anggota Persatuan terdiri daripada:

a) semua guru di Sekolah;

b) ibu bapa kepada murid yang belajar dalam Sekolah; dan

c) warganegara Malaysia yang diluluskan permohonan untuk menjadi anggota Persatuan oleh Pegawai Pendidikan Daerah atau Pegawai Pendidikan Bahagian atau Pendaftar, mengikut mana yang berkenaan (seperti di Lampiran A); dan

Guru Besar atau Pengetua Sekolah hendaklah menjadi ex-officio dan Penasihat Persatuan.

Jawatankuasa Persatuan

Persatuan hendaklah diuruskan oleh suatu jawatankuasa yang dikenali sebagai "Jawatankuasa PIBG". Jawatankuasa PIBG hendaklah dilantik oleh anggota Persatuan pada setiap Mesyuarat Agung Tahunan.

Anggota Jawatankuasa PIBG hendaklah terdiri daripada warganegara Malaysia sahaja.

Keanggotaan Jawatankuasa PIBG adalah seperti berikut:

a) seorang Yang Di-Pertua;

b) seorang Naib Yang Di-Pertua;

c) seorang Setiausaha;

d) seorang Bendahari; dan

e) .......... orang Ahli Jawatankuasa

Bilangan ibu bapa dan guru yang menganggotai Jawatankuasa PIBG hendaklah, seboleh-bolehnya, seimbang.

Guru Besar atau Pengetua tidak boleh menganggotai Jawatankuasa PIBG dan hanya bertindak sebagai Penasihat Persatuan.

Bilangan Ahli Jawatankuasa PIBG di perenggan 9(e) hendaklah antara 1 hingga 11 orang.

Bilangan anggota Jawatankuasa PIBG di kalangan anggota Persatuan (bukan anggota guru di sekolah tersebut) yang tidak mempunyai anak di sekolah itu hendaklah tidak melebihi 1/5 daripada keseluruhan bilangan anggota Jawatankuasa PIBG berkenaan.

Tertakluk kepada perenggan 13 Perlembagaan ini dan subperaturan 6(4) hingga (6) Peraturan-Peraturan Pendidikan (Persatuan Ibu Bapa - Guru) 1998, Pegawai Pendidikan Daerah atau Pegawai Pendidikan Bahagian (mengikut mana yang berkenaan) boleh melantik tidak lebih daripada 2 orang yang bukan anggota Persatuan untuk menjadi anggota Jawatankuasa PIBG setelah mendapat kelulusan bertulis Pendaftar.

Tempoh memegang jawatan dalam Jawatankuasa PIBG adalah bermula dari tarikh pelantikan sehingga tarikh Mesyuarat Agung Tahunan pada tahun berikutnya atau sehingga suatu tempoh yang diluluskan oleh pendaftar.

Jika berlaku kekosongan jawatan dalam Jawatankuasa PIBG, Yang Di Pertua hendaklah melantik mana-mana anggota biasa Persatuan, berdasarkan undian terbanyak di kalangan anggota Jawatankuasa PIBG, untuk mengisi kekosongan jawatan itu.

Jawatankuasa PIBG hendaklah mengedarkan kepada anggota Persatuan senarai nama dan alamat pemegang jawatan dalam Jawatankuasa PIBG pada setiap tahun selewat-lewatnya 14 hari selepas tarikh Mesyuarat Agung Tahunan.

Fungsi Jawatankuasa PIBG

Fungsi Jawatankuasa PIBG ialah mengelola dan mengatur kegiatan Persatuan dan membuat keputusan atas perkara-perkara yang menyentuh perjalanan Persatuan, tanpa bercanggah dengan dasar umum yang ditetapkan oleh Mesyuarat Agung Tahunan, Perlembagaan ini dan Akta Pendidikan 1996 serta peraturan-peraturan yang dibuat di bawahnya.

a) Yang Di-Pertua

i) Menjadi Pengerusi dalam semua mesyuarat Jawatankuasa PIBG dan Mesyuarat Agung Tahunan dan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan mesyuarat.

ii) Mempunyai undi pemutus dan hendaklah menandatangani minit-minit mesyuarat apabila telah diluluskan.

iii) Bertanggungjawab mengawasi pentadbiran Persatuan serta memastikan bahawa peruntukan Perlembagaan dipatuhi oleh semua anggota Persatuan.

iv) Sentiasa mematuhi segala peruntukan Perlembagaan dalam menjalankan tugas sebagai Yang Di-Pertua.

v) Boleh memanggil mesyuarat Jawatankuasa PIBG pada bila-bila masa yang difikirkan perlu dengan persetujuan Guru Besar atau Pengetua.

vi) Menandatangani cek atau penyata pengeluaran wang Persatuan.

vii) Memastikan segala aktiviti dan program Persatuan dilaksanakan dengan sempurna dan teratur.

viii) Mendapatkan nasihat mengenai pengurusan Persatuan dari semasa ke semasa daripada Guru Besar atau Pengetua selaku Penasihat Persatuan.

b) Naib Yang Di-Pertua

i) Bertanggungjawab membantu Yang Di-Pertua dalam menjalankan fungsi-fungsi Yang Di-Pertua.

ii) Menjalankan tanggungjawab dan fungsi Yang Di-Pertua semasa ketiadaan Yang Di-Pertua .

c) Setiausaha

i) Menjalankan urusan Persatuan mengikut Perlembagaan Persatuan.

ii) Melaksanakan keputusan-keputusan Mesyuarat Agung Tahunan dan mesyuarat Jawatankuasa PIBG.

iii) Mencatat, menyedia dan menyimpan minit-minit mesyuarat Jawatankuasa PIBG dan Mesyuarat Agung Tahunan.

iv) Menyediakan laporan-laporan untuk dibentangkan kepada Mesyuarat Agung Tahunan serta minit-minit yang bersangkutan dengannya.

v) Menghantar segala laporan dan aktiviti Persatuan dan minit Mesyuarat Agung Tahunan kepada Pendaftar atau Pegawai Pendidikan Daerah atau Pegawai Pendidikan Bahagian, mengikut mana yang berkenaan, selepas Mesyuarat Agung Tahunan.

vi) Menandatangani cek atau penyata pengeluaran wang Persatuan, jika perlu.

d) Bendahari

i) Bertanggungjawab mengurus dan mengawal hal ehwal kewangan Persatuan dengan menyediakan dan menyimpan kira- kira kewangan yang kemas kini. Penyata kira-kira kewangan (1 Januari hingga 31 Disember) hendaklah disiapkan sebelum 1 Februari tahun berikutnya untuk diaudit. Penyata kira-kira yang telah diaudit hendaklah dikemukakan untuk kelulusan Mesyuarat Agung Tahunan. Satu salinan penyata yang telah diaudit dan diluluskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah dihantar kepada Pendaftar selepas Mesyuarat berkenaan.

ii) Menguruskan perbelanjaan wang Persatuan seperti yang diputuskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan atau mesyuarat Jawatankuasa PIBG.

iii) Menyimpan wang tunai tidak melebihi sesuatu jumlah yang ditetapkan dalam Perlembagaan pada sesuatu masa.

iv) Menerima bagi pihak Persatuan semua derma atau sumbangan daripada mana-mana anggota atau lain-lain sumber dan mengeluarkan resit akaun terima dan kreditkan ke dalam akaun Persatuan pada hari yang sama.

v) Menandatangani cek atau penyata pengeluaran wang Persatuan.

vi) Memastikan tiada berlaku terlebih pengeluaran wang dari akaun Persatuan dan akaun sentiasa berbaki kredit.

Lain-lain jawatan

Penasihat Persatuan

a) Guru Besar atau Pengetua Sekolah adalah anggota ex-officio Persatuan dan bertindak sebagai penasihat kepada Jawatankuasa PIBG dan Persatuan.
Antara tanggungjawab dan fungsi Guru Besar atau Pengetua adalah seperti berikut;

i) menghadiri mesyuarat Jawatankuasa PIBG, Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Agung Tergempar, tetapi tidak boleh mengundi;

ii) mewakili pihak Jabatan Pendidikan Negeri dan Kementerian Pendidikan Malaysia bagi mengawal dan menasihati Persatuan supaya segala aktiviti, kegiatan dan keputusan yang dibuat dalam mesyuarat-mesyuarat Persatuan tidak bercanggah dengan kepentingan perkhidmatan, dasar-dasar negara dan dasar-dasar mengenai pelajaran dan pendidikan serta hal-hal berkaitan dengan pentadbiran sekolah;

iii) berhak untuk menghenti dan menangguhkan mesyuarat Persatuan jika difikirkan wajar untuk kepentingan anggota Persatuan;

iv) meluluskan semua agenda mesyuarat dan perkara yang akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa PIBG dan Persatuan;

v) memberi penjelasan kepada sesuatu isu mengenai pengurusan dan perjalanan Sekolah dan akademik serta isu-isu yang berkaitan dengannya dalam mesyuarat persatuan;

vi) memastikan kegiatan persatuan selaras dengan tujuan dan fungsi Persatuan;

vii) memastikan sumbangan Persatuan yang diputuskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan tidak membebankan dan tidak mengandungi sebarang unsur paksaan; dan

viii) menentukan tetamu kehormat dan para jemputan yang menghadiri majlis anjuran Persatuan dilayan mengikut peraturan dan protokol yang ditetapkan oleh Kementerian.

b) Juru Audit Dalaman

i) Persatuan hendaklah melantik 2 orang juru audit dalaman dari kalangan anggota Persatuan yang tidak menjadi anggota Jawatankuasa PIBG pada mesyuarat Agung Tahunan.

ii) Tanggungjawab juru audit dalaman adalah seperti berikut:

aa) mengaudit akaun Persatuan pada setiap akhir tahun kewangan; dan

ab) menjalankan pengauditan secara berkala seperti mana yang diputuskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan.

Kuorum

Kuorum mesyuarat yang diadakan oleh Persatuan adalah seperti berikut:

a) Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah tidak kurang daripada 3 kali jumlah bilangan anggota Jawatankuasa PIBG; dan

b) Mesyuarat Jawatankuasa PIBG - hendaklah tidak kurang 2/3 daripada jumlah bilangan anggota Jawatankuasa PIBG.

Mesyuarat Agung Tahunan

Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah pada setiap tahun sebelum akhir bulan Mac.

Jika Mesyuarat Agung Tahunan tidak diadakan sebelum akhir bulan Mac, Jawatankuasa PIBG hendaklah mengemukakan alasan dan tarikh yang dicadangkan kepada Pendaftar, melalui Guru Besar atau Pengetua, sebelum 31 Mac.

Notis tarikh Mesyuarat Agung Tahunan diadakan hendaklah diberikan kepada anggota Persatuan selewat-lewatnya 14 hari sebelum tarikh Mesyuarat.

Sekiranya kuorum untuk mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan tidak mencukupi dalam tempoh 1 jam dari masa yang ditetapkan, Mesyuarat tersebut hendaklah dibatalkan dan Jawatankuasa PIBG hendaklah mengeluarkan notis bertulis kepada anggota Persatuan memaklumkan tarikh baru Mesyuarat Agung Tahunan dalam masa 30 hari dari tarikh asal tersebut.

Agenda Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah mengandungi perkara-perkara berikut;

a) ucapan Pengerusi;

b) membentang dan menerima Minit Mesyuarat Agung Tahunan yang lalu;

c) membentang dan menerima Laporan Tahunan;

d) membentang, menerima dan meluluskan Penyata Kewangan berakhir 31 Disember tahun sebelumnya;

e) membahaskan usul, jika ada;

f) pemilihan Jawatankuasa PIBG bagi tahun berkenaan;

g) pemilihan Juru Audit Dalaman;

h) ucapan penangguhan; dan

i) lain-lain hal.

Apa-apa usul bertulis hendaklah disampaikan kepada Jawatankuasa PIBG selewat-lewatnya 7 hari sebelum tarikh Mesyuarat Agung Tahunan diadakan. Jawatankuasa PIBG diberi kuasa untuk menapis usul-usul yang dikemukakan sebelum diluluskan untuk perbincangan dalam Mesyuarat Agung Tahunan.

Mesyuarat Agung Tahunan bertanggungjawab memilih pemegang-pemegang jawatan dalam Jawatankuasa PIBG serta menimbang lain-lain perkara yang menyentuh kemajuan dan kebajikan Persatuan. Pemilihan pemegang jawatan hendaklah dibuat seperti berikut:

a) anggota yang dicalonkan untuk memegang jawatan dalam Jawatankuasa PIBG hendaklah hadir dalam Mesyuarat;

b) setiap pencalonan hendaklah mempunyai pencadang dan penyokong; dan

c) pemilihan hendaklah dijalankan secara undian bagi jawatan yang ditandingi. Calon yang mendapat undi terbanyak dipilih menjawat jawatan yang dipertandingkan.

Mesyuarat Agung Tergempar

Mesyuarat Agung Tergempar boleh diadakan dalam keadaan-keadaan berikut:

a) apabila difikirkan perlu oleh Jawatankuasa PIBG;

b) atas permintaan bertulis sekurang-kurangnya 1/5 daripada jumlah anggota Persatuan; atau

c) atas arahan Pendaftar.

Mesyuarat Agung Tergempar hendaklah diadakan dalam tempoh 21 hari daripada tarikh keputusan Jawatankuasa PIBG atau tarikh penerimaan permintaan anggota Persatuan atau tarikh arahan Pendaftar, mengikut mana yang berkenaan. Notis bertulis mengenai Mesyuarat Agung Tergempar hendaklah dikemukakan kepada anggota Persatuan selewat-lewatnya 7 hari dari tarikh Mesyuarat hendak diadakan.

Urusan Mesyuarat Agung Tergempar hendaklah dihadkan kepada tujuan Mesyuarat itu diadakan.

Laporan Mesyuarat

Laporan Mesyuarat Agung Tahunan bersama-sama Penyata Kira-kira Kewangan Persatuan hendaklah dihantar kepada Pendaftar dan Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah atau Pegawai Pejabat Pendidikan Bahagian, mengikut mana yang berkenaan, dalam tempoh 30 hari selepas tarikh Mesyuarat.

Laporan Mesyuarat Agung Tergempar hendaklah dihantar kepada Pendaftar dan Pegawai Pendidikan Daerah atau Pegawai Pejabat Pendidikan Bahagian, mengikut mana yang berkenaan, dalam tempoh 30 hari selepas tarikh Mesyuarat.

Mesyuarat Jawatankuasa PIBG

Jawatankuasa PIBG hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya 3 kali dalam tempoh satu tahun persekolahan.

Notis panggilan mesyuarat hendaklah diberikan kepada anggota Jawatankuasa PIBG selewat-lewatnya 7 hari sebelum tarikh Mesyuarat.

Yang Di-Pertua, atau sekurang-kurangnya 3 orang anggota Jawatankuasa PIBG, boleh memanggil mesyuarat Jawatankuasa PIBG apabila difikirkan perlu dengan persetujuan Penasihat.

Setiap anggota Jawatankuasa PIBG yang tidak hadir mesyuarat sebanyak 2 kali tanpa sebab hendaklah digugurkan keanggotaan dalam jawatankuasa PIBG secara automatik dan Yang Di-Pertua hendaklah mengemukakan notis bertulis kepada anggota berkenaan sebaik sahaja keputusan itu dibuat.

Punca-Punca Pendapatan Persatuan

Punca-punca pendapatan Persatuan adalah terdiri daripada;

a) sumbangan anggota Persatuan (anggota Persatuan tidak boleh dipaksa memberi apa-apa sumbangan);

b) derma dan sumbangan daripada individu, organisasi dan badan-badan lain;

c) pendapatan yang diperolehi daripada aktiviti dan program unjuran Persatuan yang telah mendapat kelulusan Pendaftar

Jawatankuasa hendaklah membuka satu akaun di mana-mana bank tempatan yang berdaftar atas nama Persatuan.

Apa-apa wang yang diterima atau diperolehi oleh Persatuan hendaklah dikreditkan ke dalam akaun Persatuan pada hari wang diterima atau diperolehi. Walau apa pun peruntukan ini, Bendahari boleh menyimpan wang tunai yang tidak melebihi ........................ pada satu-satu masa.

Perbelanjaan wang Persatuan

Jawatankuasa PIBG diberi kuasa untuk membelanjakan wang Persatuan bagi perkara-perkara yang mendatangkan faedah kepada murid-murid Sekolah yang tidak bercanggah dengan tujuan-tujuan Persatuan.

Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang daripada akaun Persatuan hendaklah ditandatangan oleh Bendahari dan Yang Di-Pertua atau Setiausaha, semasa ketiadaan Yang Di-Pertua.

Bendahari dan Yang Di-Pertua hendaklah memastikan tiada berlaku terlebih pengeluaran wang dan akaun Persatuan sentiasa berbaki kredit.

Tahun kewangan Persatuan bermula pada 1 Januari hingga 31 Disember tahun semasa.

Penyimpanan akaun pendapatan dan perbelanjaan

Penyata Kira-kira Kewangan Persatuan yang telah diaudit hendaklah dibentangkan untuk diterima dan diluluskan oleh anggota Persatuan dalam Mesyuarat Agung Tahunan.

Satu salinan Penyata Kira-kira Kewangan yang telah diaudit serta diterima dan diluluskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah dihantar kepada Pendaftar dan Pegawai Pendidikan Daerah atau Pegawai Pendidikan Bahagian mengikut mana-mana yang berkenaan.

Pendaftar, Pegawai Pendidikan Daerah, Pegawai Pendidikan Bahagian, Pengetua atau Guru Besar adalah dibenarkan memeriksa akaun Persatuan pada bila-bila masa.

Harta Amanah Persatuan

Persatuan tidak boleh memegang apa-apa harta, sama ada harta alih atau harta tak alih, atas namanya sendiri. Apa-apa harta yang, sebelum dari tarikh Perlembagaan ini berkuat kuasa, diletakkan atas nama Persatuan hendaklah dialihkan kepada Kerajaan Malaysia, yang diwakili oleh Sekolah, sebagai harta yang diamanahkan oleh Persatuan untuk digunakan bagi faedah murid-murid Sekolah itu sahaja atau sebagaimana yang ditetapkan oleh Jawatankuasa PIBG dari masa ke semasa.

Apa-apa harta yang diamanahkan kepada Sekolah tidak boleh dipindah milik atau dilupuskan dengan apa cara sekali pun, melainkan dengan persetujuan anggota Persatuan yang diperolehi dalam Mesyuarat Agung Tahunan.

Pindaan Perlembagaan Persatuan

Apa-apa cadangan untuk meminda Perlembagaan Persatuan hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar, melalui Guru Besar atau Pengetua, untuk kelulusan terlebih dahulu.

Cadangan pindaan yang hendak dikemukakan kepada Pendaftar hendaklah dibentangkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan dan dipersetujui oleh sekurang-kurangnya 2/3 daripada anggota Persatuan yang hadir.

Pindaan kepada Perlembagaan hanya berkuat kuasa mulai daripada pindaan diluluskan oleh Pendaftar.

Pendaftar berhak meluluskan atau tidak sebarang pindaan yang dicadangkan oleh Persatuan.

Larangan

Persatuan tidak boleh memperluaskan bidang kuasanya untuk merangkumi perkara-perkara yang berkaitan dengan pentadbiran dan pengurusan sekolah, guru, kakitangan dan pekerja Sekolah dan syarat-syarat perkhidmatan guru dan kakitangan Sekolah.

Persatuan bukanlah suatu entiti undang-undang dan tidak mempunyai keupayaan juridikal untuk membuat kontrak, perjanjian atau memorandum persefahaman, atas namanya sendiri. Apa-apa program dan aktiviti yang hendak dibuat oleh Persatuan yang memerlukan apa-apa suratcara yang mengikat dari segi undang-undang hendaklah dirujuk kepada Pendaftar, melalui Guru Besar atau Pengetua, untuk kelulusan dan panduan.

Persatuan tidak boleh menjadi forum atau jentera bagi menyelesaikan sebarang pertikaian antara Persatuan dengan Guru Besar atau Pengetua, Pejabat Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Bahagian, Jabatan Pendidikan Negeri, Kementerian Pendidikan, Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan.

Persatuan tidak boleh bergabung dengan persatuan ibu bapa-guru di sekolah- sekolah lain, parti politik, kesatuan sekerja, pertubuhan bukan kerajaan atau lain-lain organisasi, pertubuhan atau persatuan, sama ada yang ditubuhkan atau berdaftar di bawah mana-mana undang-undang bertulis atau tidak.

Tafsiran

Sebarang kekeliruan atau pertikaian yang timbul daripada Perlembagaan ini hendaklah dirujuk kepada Pendaftar melalui Guru Besar atau Pengetua.

Pembubaran

Persatuan hanya boleh dibubarkan dalam keadaan berikut:

a) atas arahan bertulis daripada Pendaftar; atau

b) Sekolah berhenti beroperasi

Apa-apa wang dalam akaun Persatuan hendaklah digunakan sebagaimana yang ditetapkan oleh Pendaftar dan kegunaannya hendaklah bagi memanfaatkan pendidikan kanak-kanak di kawasan di mana Sekolah itu berada. Apa-apa harta alih dan tak alih yang telah diamanahkan kepada Sekolah hendaklah dilupuskan mengikut cara yang ditetapkan oleh Pendaftar.

Guru Besar atau Pengetua hendaklah memulangkan Sijil Pendaftaran Persatuan kepada Pendaftar apabila Persatuan dibubarkan.

___________________________________________________________________

Sekian, Wallahu aklam bissowab. Wassalam.

Thursday, December 4, 2008

Sejauh manakah para pelajar kita menguasai bacaan al.Quran.



Sejauh manakah para pelajar kita menguasai bacaan al.Quran.

Perkara ini sering bermain-main dan berlegar-legar di dalam pemikiran saya mengenangkan ramai di kalangan mereka yang tidak dapat membaca al.Quran dengan betul. Maksudnya membaca al.Quran dengan disepadukan sekali gus dengan tajwid, makhraj dan fasohah.

Berdasarkan pengalaman yang lalu para pelajar tingkatan 1 sehingga tingkatan 3 lebih kurang 30% sahaja yang boleh membaca pada tahap yang disebutkan tadi . Pelajar yang menguasai tajwid secara teori mungkin lebih ramai. Ini bererti sekiranya diadakan ujian bertulis terhadap para pelajar yang dimaksudkan tadi peratus kelulusan akan meningkat berbanding dengan ujian membaca ( Tilawah ) kerana mengetahui ilmu tajwid belum tentu seseorang itu dapat mempraktikkannya di dalam bacaan.

Kalau saudara, saudari berlapang masa mari kita bersembang-sembang mengenai perkara ini. Mungkin anda mempunyai apa-apa pandangan yang boleh kita kongsikan bersama. Saya akan mengambil giliran dahulu membuat sedikit mukaddimahnya di sini. Kita sering mendengar dan membaca di dada akhbar tentang berbagai ikhtiar untuk memajukan para pelajar dalam bidang ini sejak lama dahulu tetapi hasil usaha tersebut rasanya belum dapat dibuktikan lagi setakat ini . Mungkin anda tidak sependapat dengan saya dalam hal ini. Saya juga kurang pasti apa yang berlaku selepas tahun 2005. saya hanya yakin apa yang berlaku sebelum tahun 2005. Para pelajar sekarang mungkin tidak seperti yang saya gambarkan atau masih di tahap itu juga. wallahu aklam.

Apakah puncanya. Adakah disebabkan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang tidak sesuai ?
Pada zaman dahulu iaitu tahun –tahun sebelum merdeka sehingga akhir 60an kanak-kanak mempelajari al.Quran hanya dengan ibubapa atau guru-guru kampung sahaja, namun demikian mereka dapat membaca al.quran walaupun bacaan mereka tidak diserapkan dengan tajwid dan makhraj yang betul, tetapi, jika mereka telah dapat menguasai pada tahap tersebut pun telah memadai. Penguasaan pada tahap ini bermakna mereka telah bersedia untuk diperbetulkan bacaannya atau senanglah bagi guru bagi mentahsinkan tilawah mereka. Soalnya mengapakah remaja dahulu dapat menguasainya, malah mereka juga menguasai Bahasa Melayu bidang tulisan dan bacaan jawi. Jawabnya mereka mempunyai masa yang cukup bersama guru kerana bilangan mereka tidak ramai.

Saya membuat kesimpulan bahawa kegagalan tersebut bukan kerana guru dan kaedahnya tetapi kerana :

(1) Jumlah pelajar terlalu ramai bagi setiap guru menyebabkan guru tidak mampu mengawasi dan memberi perhatian sepenuhnya pada setiap pelajar. ( Kaedah pengajaran dan pembelajaran secara individu sukar dilaksanakan ).

(2) Masa yang diperuntukan tidak mencukupi . ( Masa sangat singkat berbanding dengan jumlah pelajar yang perlu diambil perhatian ).


Kaedah pengajaran dan pembelajaran al.Quran yang terbaik telah digunakan sejak dahulu kala lagi iaitu Membaca, Mendengar dan Melihat mulut guru ( Talaqqi, Tasmia’ dan Musyafahah ) dan diajar secara individu. Jika masa yang diperuntukan dan jumlah pelajar yang sesuai untuk seseorang guru, Insya Allah para pelajar akan dapat menguasainya.


MASALAHNYA:
Masalahnya sekarang bagaimanakah kita hendak menyelesaikannya, sedangkan masa yang Allah peruntukan sehari semalam hanya 24 jam dan seminggu hanya 7 hari sahaja.
Masa untuk Pendidikan Islam di sekolah menengah hanya 120 minit untuk kurikulum dan 80 minit untuk ko-kurikulum. Sedangkan kurikulumn atau sukatan yang hendak disampaikan sangat luas dan banyak. Selainnya tentulah peruntukan masa diberikan kepada matapelajaran yang lain yang masih banyak lagi yang hendak diajar di sekolah seperti matematik, sains, sejarah dan lain-lain yang wajib dipelajari oleh para pelajar.

Kita tidak boleh mengubah sistem yang terdapat di sekolah kerana itu bukan tanggungjawab kita secara langsung. Di negeri Johor dan Selangor terdapat sistem khas untuk Pendidikan Islam yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri. Adakah masyarakat mereka tidak menghadapi masalah ini ?. Kalau jawapannya mereka tiada masalah seperti ini. Maka kerajaan negeri yang lain perlu mencontohinya. Kalau mereka pun masih menghadapi masalah ini, apakah sebabnya pula ?.

Baiklah. Perkara di atas itu hanya sentuhan sahaja, bukan perkara yang hendak dibincangkan di sini. Perkara yang hendak dibincangkan di sini ialah apakah tindakan kita untuk mengatasi perkara ini supaya anak-anak kita dapat menguasai bacaan al.quran seperti yang disebutkan di awal tadi.

Nah saya telah memberi pandangan saya, apakah pula pandangan dan buah fikiran anda. Anda yang remaja, yang muda, yang dewasa dan yang tua dan berpengalaman.

Dan anda yang di sekolah rendah , menengah, sekolah khas dan sekolah swasta. Jika ada pandangan, silakan jangan teragak-agak, bukan untuk apa-apa, hanya untuk kebaikan generasi akan datang ketika itu kita sudah tiada lagi di dunia pinjaman ini.

Wallahu aklam bissowab. Wassalam.

Tuesday, December 2, 2008

WARKAH UNTUK ANDA SAHABATKU


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ

Warkah kepada kawan-kawan yang singgah di blog ini.

Rasional saya menulis blog ini:
Saya mempunyai masa lapang yang boleh dimanfaatkan dengan menulis sesuatu yang baik untuk masyarakat, khasnya untuk orang-orang muda, mereka ini sudah tentunya kurang berpengalaman kerana jarak perjalanan yang mereka lalui belum menempuhi cabaran seperti orang dewasa.

Kepada mereka elok diberikan pengetahuan supaya pengetahuan mereka berada di hadapan pengalaman. Ibarat seseorang yang belum mati seperti kita ini tetapi mengetahui terlebih dahulu perkara-perkara yang akan dilalui oleh orang yang telah mati. Maka orang yang hidup tentulah akan mesediakan sesuatu untuk menghadapi kehidupan selepas kematian. Saya tidak memperkenalkan diri secara langsung kepada anda kerana saya ingin membiarkan anda mengenalinya melalui tulisan yang anda baca.

Kalau anda mengharapkan saya seorang yang berkelulusan tinggi dalam bidang yang diperkatakan ini maka jawapannya harapan anda tidak tercapai tetapi jika anda mengharapkan saya seorang yang berpengalaman, mungkin itulah sahaja yang ada dan menambahkan keberanian saya menulis blog ini.

"AKU ADALAH AKU" .
Saya tidak mampu menyusun bahasa yang indah dan bersastera tinggi kerana saya sendiri jahil dalam bidang tersebut, yang penting bagi saya ialah tercapai maksud dan objektif atau apa yang ditulis itu difahami pembaca. Walau bagaimanapun penggunaan bahasa Melayu secara baku akan diamal dan dipertahankan ke tahap 70% atau 80%, selebihnya bahasa rojak atau bahasa pasar akan berperanan bersama-sama dengan kelemahan penggunaan bahasa yang saya warisi.
Kata orang, kalau tidak mampu membuat semua, jangan tinggalkan semua. Kita buat sekadar kemampuan masing-masing. Insya Allah sedikit demi sedikit, lama-lama menjadi bukit.

Ruang maya yang sangat luas ini perlulah dimanfaatkan dan dipenuhi supaya ruang itu tidak menjadi sia-sia, kalau ditulis sesuatu yang baik ribuan manusia di seluruh dunia akan membacanya. Kalau kita menulis yang karut marut pun boleh mengisi masa lapang tetapi perbuatan seperti itu tentulah sia-sia.

Objektif blog ini
Diharapkan pembaca dan pelawat blog dapat:

>Meningkatkan pengetahuan Islam dan menyerapkan fikrah Islam dalam diri mereka sehingga memahami dan mampu menghayati kehidupan Islam yang sebenarnya.

>Bagi mereka yang bukan Islam akan berpeluang memahami Islam melalui blog ini selain pembacaan yang lain.

>Menyingkirkan adat-adat khurafat ( karut) yang masih diamalkan di dalam masyarakat kerana kejahilan mereka terhadap aqidah Islam.

>Menjana minda Islam dan menjadikan Islam sebagai teras di dalam kehidupan keluarga dan masyarakat.

>Menjana kehidupan yang bersih dan suci di dalam semua bidang sama ada oleh individu, keluarga dan masyarakat.

>Memahami kehidupan dunia dan akhirat yang sepatutnya atau yang hakiki seperti yang dianjurkan oleh Islam.

>Mengelakkan diri dari menjadi orang Islam taqlid( pak turut ) tanpa ilmu dan pengetahuan.

Kumpulan Sasaran:

>Masyarakat berilmu Islam kelas pertengahan, iaitu mereka yang kurang memahami Islam, pertengahan yang dimaksudkan di sini pertengahan dalam penguasaan ilmu Islam, bukan pertengahan dalam aspek lain.

>Orang bukan Islam yang ingin mengetahui hakikat Islam yang sebenar dan memerlukan sumber yang betul.

>Generasi muda yang sememangnya telah ramai menjadi penulis blog atau sekurang-kurangnya yang melayari blog.

( Objektif dan sasaran di atas merupakan harapan bersama anda tanpa anda harapan akan tinggal harapan sahaja )

Oleh itu saya sangat memerlukan bantuan dan sumbangan anda (muslimin dan muslimat) penulis-penulis blog atau pengulas-pengulas blog . Berdakwah akan berkesan sekiranya dilakukan secara berjamaah, sebab itu penulis blog
Kehidupan Bersih biasanya akan memberi ulasan secara ringkas di dalam mana-mana blog yang ia lawati tetapi setiap ulasan akan disisipkan dengan mesej yang islamik kerana blog Kehidupan bersih akan membawa identitinya ke mana-mana blog yang ia singgah.

Ilmu pengetahuan yang anda miliki jangan disimpan kerana ilmu yang disimpan itu akan mengalami kerosakan dan kemerosotan. Ilmu yang ada jika disebarkan ia akan bertambah luas dan akan menjadi semakin segar dan subur. Ilmu ibarat cahaya tanpa cahaya kita tidak akan dapat melihat apa-apa walaupun kita memiliki mata yang sihat.

Cahaya tidak akan berkurangan walaupun penggunanya ramai. Sebuah bilik yang lampunya terbuka jika diduduki oleh seorang penghuni cahayanya terang dan sekiranya bilik tersebut ditambah dengan beberapa orang lagi . Bilik tersebut masih memiliki cahaya terang yang masih sama kualitinya seperti sebelumnya.

Maka begitulah juga sifat ilmu, lagi banyak kita memberikan kepada orang lain, lagi banyaklah ilmu seseorang itu bertambah. Menyampaikan ilmu kepada orang lain ibarat mensedekahkan sesuatu kepada orang lain. Sedekah adalah membuat kebaikan dan kebajikan, melakukan satu kebajikan atau kebaikan akan digandakan sepuluh pahala, pahala atau kebaikan tersebut berkembang seperti kita menanam atau menyemai biji-bijian .

Sebiji disemai akan tumbuh sebatang pokok dan sebatang pokok itu akan berkembang kepada beberapa ranting kecil dan di dalam ranting kecil tadi wujud pula beberapa tangkai dan dalam setiap tangkai tadi mengeluarkan sejumlah buah yang banyak.

Demikianlah kebaikan bersedekah dan begitulah juga kebaikan menyebarkan ilmu yang baik kepada manusia. Saya mengajak anda semua untuk bersama-sama saya menjana kehidupan bersih dan suci sama ada melalui sumbangan tulisan atas mauduk tertentu atau memberi ulasan yang membena dan berfaedah kepada pembaca yang singgah membaca tulisan anda.

Pada pendapat saya kebanyakan pelawat blog tidak membaca tulisan di dalam sesuatu blog itu dengan penuh perhatian, sebaliknya mereka hanya meninjau-meninjau dan melihat-melihat sahaja dan kebanyakan tulisan yang ringkas-ringkas atau sederhana panjang sahaja yang berjaya memerangkap mereka.

Sekiranya anda berminat untuk memindahkan mana-mana mauduk atau topik ke dalam blog anda saya akan mengizinkannya dengan mudah setelah permohonan dibuat kerana blog ini sememangnya bersifat dakwah atau menyebarkan ilmu Allah bukan berbentuk bisnes atau mencari keuntungan di dunia dengan syarat nama blog ini hendaklah dicatatkan bersama, Blog ini ingin mengajak anda untuk sama-sama berusaha menyampaikan ilmu Islam kepada mereka yang memerlukan supaya kita dapat sama-sama menjalani hidup bahagia di dunia dan di akhirat.

Wallahu aklam bissowab. WASSALAM.

Monday, December 1, 2008

RENUNGAN DAN MUHASABAH DIRI.



Paparan maksud ayat 11, 12 dan 13 ( surah al.Hujuraat ) untuk kurenungi bersama kawan-kawan dan diharapkan ianya dapat memberi tasauwur ( pandangan & gambaran ) yang betul terhadap kehidupan manusia sejagat.

Ayat 11.
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kaum lelaki menghina kaum lelaki ( yang lain ), kerana boleh jadi kaum yang dihina itu, lebih baik dari kaum yang menghina, dan janganlah kaum perempuan ( menghina ) kaum perempuan ( yang lain ), kerana boleh jadi perempuan yang dihinakan itu, lebih baik dari perempuan yang menghina. Jangan kamu mencela sesamamu dan pula memanggil dengan gelaran ( yang tidak baik ). seburuk-buruk nama ialah fasik sesudah beriman. Barangsiapa yang tidak bertaubat, maka merekalah orang-orang yang zalim.

Ayat 12.
Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan sangkaan ( terhadap sesama muslim ), kerana sebahagian sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari aib orang dan janganlah pula setengah kamu mengumpat yang lain. Sukakah salah seorang kamu , bahawa dia memakan daging saudaranya yang telah mati ( bangkai ) ?. Maka tentu kamu benci untuk memakannya. Takutlah kamu kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.

Ayat 13.
Wahai manusia, sesungguhnya Kami menjadikan kamu dari lelaki dan perempuan ( bapa dan ibu ) dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa ( berbagai umat ) dan bersuku-suku, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya orang termulia di antaramu di sisi Allah, ialah orang yang paling bertaqwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam PengetahuanNya.

SURAH AL.HUJURAAT ( ayat 11, 12 dan 13 )

Di antara intisari maksud ayat di atas:
(1) Allah SWT melarang manusia menghina di antara satu sama lain kerana mungkin yang dihina itu lebih mulia di sisiNya.

(2) Di dalam ayat di atas juga menyatakan larangan mencela orang lain dengan memanggil dengan gelaran yang tidak baik, seperti panggilan fasik dan seumpamanya.
(3) Jika perbuatan buruk itu kita pernah melakukannya maka hendaklah bertaubat kerana perbuatan seperti itu dianggap perbuatan yang zalim.
(4) Kita hendaklah bersangka baik di antara orang Islam dan dilarang mencari aib orang lain serta dilarang membuka rahsianya. Juga dilarang mengumpat sesama orang Islam.
(5) Mengumpat itu diibaratkan seperti memakan daging saudara kita sendiri yang telah mati, begitulah hinanya perbuatan mengumpat itu. Kita diingatkan supaya takut kepada Allah dan Allah Maha Penerima taubat.
(6) Allah SWT menjadikan manusia di atas muka bumi ini berbagai bangsa atau suku kaum supaya manusia berkenalan di antara satu sama lain dan bergaul dengan baik sesama mereka.
(7) Orang yang paling baik di kalangan kita di sisi Allah ialah orang yang bertakwa.

Wallahu aklam bissowab. Wassalam.