Tuesday, December 2, 2008

WARKAH UNTUK ANDA SAHABATKU


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ

Warkah kepada kawan-kawan yang singgah di blog ini.

Rasional saya menulis blog ini:
Saya mempunyai masa lapang yang boleh dimanfaatkan dengan menulis sesuatu yang baik untuk masyarakat, khasnya untuk orang-orang muda, mereka ini sudah tentunya kurang berpengalaman kerana jarak perjalanan yang mereka lalui belum menempuhi cabaran seperti orang dewasa.

Kepada mereka elok diberikan pengetahuan supaya pengetahuan mereka berada di hadapan pengalaman. Ibarat seseorang yang belum mati seperti kita ini tetapi mengetahui terlebih dahulu perkara-perkara yang akan dilalui oleh orang yang telah mati. Maka orang yang hidup tentulah akan mesediakan sesuatu untuk menghadapi kehidupan selepas kematian. Saya tidak memperkenalkan diri secara langsung kepada anda kerana saya ingin membiarkan anda mengenalinya melalui tulisan yang anda baca.

Kalau anda mengharapkan saya seorang yang berkelulusan tinggi dalam bidang yang diperkatakan ini maka jawapannya harapan anda tidak tercapai tetapi jika anda mengharapkan saya seorang yang berpengalaman, mungkin itulah sahaja yang ada dan menambahkan keberanian saya menulis blog ini.

"AKU ADALAH AKU" .
Saya tidak mampu menyusun bahasa yang indah dan bersastera tinggi kerana saya sendiri jahil dalam bidang tersebut, yang penting bagi saya ialah tercapai maksud dan objektif atau apa yang ditulis itu difahami pembaca. Walau bagaimanapun penggunaan bahasa Melayu secara baku akan diamal dan dipertahankan ke tahap 70% atau 80%, selebihnya bahasa rojak atau bahasa pasar akan berperanan bersama-sama dengan kelemahan penggunaan bahasa yang saya warisi.
Kata orang, kalau tidak mampu membuat semua, jangan tinggalkan semua. Kita buat sekadar kemampuan masing-masing. Insya Allah sedikit demi sedikit, lama-lama menjadi bukit.

Ruang maya yang sangat luas ini perlulah dimanfaatkan dan dipenuhi supaya ruang itu tidak menjadi sia-sia, kalau ditulis sesuatu yang baik ribuan manusia di seluruh dunia akan membacanya. Kalau kita menulis yang karut marut pun boleh mengisi masa lapang tetapi perbuatan seperti itu tentulah sia-sia.

Objektif blog ini
Diharapkan pembaca dan pelawat blog dapat:

>Meningkatkan pengetahuan Islam dan menyerapkan fikrah Islam dalam diri mereka sehingga memahami dan mampu menghayati kehidupan Islam yang sebenarnya.

>Bagi mereka yang bukan Islam akan berpeluang memahami Islam melalui blog ini selain pembacaan yang lain.

>Menyingkirkan adat-adat khurafat ( karut) yang masih diamalkan di dalam masyarakat kerana kejahilan mereka terhadap aqidah Islam.

>Menjana minda Islam dan menjadikan Islam sebagai teras di dalam kehidupan keluarga dan masyarakat.

>Menjana kehidupan yang bersih dan suci di dalam semua bidang sama ada oleh individu, keluarga dan masyarakat.

>Memahami kehidupan dunia dan akhirat yang sepatutnya atau yang hakiki seperti yang dianjurkan oleh Islam.

>Mengelakkan diri dari menjadi orang Islam taqlid( pak turut ) tanpa ilmu dan pengetahuan.

Kumpulan Sasaran:

>Masyarakat berilmu Islam kelas pertengahan, iaitu mereka yang kurang memahami Islam, pertengahan yang dimaksudkan di sini pertengahan dalam penguasaan ilmu Islam, bukan pertengahan dalam aspek lain.

>Orang bukan Islam yang ingin mengetahui hakikat Islam yang sebenar dan memerlukan sumber yang betul.

>Generasi muda yang sememangnya telah ramai menjadi penulis blog atau sekurang-kurangnya yang melayari blog.

( Objektif dan sasaran di atas merupakan harapan bersama anda tanpa anda harapan akan tinggal harapan sahaja )

Oleh itu saya sangat memerlukan bantuan dan sumbangan anda (muslimin dan muslimat) penulis-penulis blog atau pengulas-pengulas blog . Berdakwah akan berkesan sekiranya dilakukan secara berjamaah, sebab itu penulis blog
Kehidupan Bersih biasanya akan memberi ulasan secara ringkas di dalam mana-mana blog yang ia lawati tetapi setiap ulasan akan disisipkan dengan mesej yang islamik kerana blog Kehidupan bersih akan membawa identitinya ke mana-mana blog yang ia singgah.

Ilmu pengetahuan yang anda miliki jangan disimpan kerana ilmu yang disimpan itu akan mengalami kerosakan dan kemerosotan. Ilmu yang ada jika disebarkan ia akan bertambah luas dan akan menjadi semakin segar dan subur. Ilmu ibarat cahaya tanpa cahaya kita tidak akan dapat melihat apa-apa walaupun kita memiliki mata yang sihat.

Cahaya tidak akan berkurangan walaupun penggunanya ramai. Sebuah bilik yang lampunya terbuka jika diduduki oleh seorang penghuni cahayanya terang dan sekiranya bilik tersebut ditambah dengan beberapa orang lagi . Bilik tersebut masih memiliki cahaya terang yang masih sama kualitinya seperti sebelumnya.

Maka begitulah juga sifat ilmu, lagi banyak kita memberikan kepada orang lain, lagi banyaklah ilmu seseorang itu bertambah. Menyampaikan ilmu kepada orang lain ibarat mensedekahkan sesuatu kepada orang lain. Sedekah adalah membuat kebaikan dan kebajikan, melakukan satu kebajikan atau kebaikan akan digandakan sepuluh pahala, pahala atau kebaikan tersebut berkembang seperti kita menanam atau menyemai biji-bijian .

Sebiji disemai akan tumbuh sebatang pokok dan sebatang pokok itu akan berkembang kepada beberapa ranting kecil dan di dalam ranting kecil tadi wujud pula beberapa tangkai dan dalam setiap tangkai tadi mengeluarkan sejumlah buah yang banyak.

Demikianlah kebaikan bersedekah dan begitulah juga kebaikan menyebarkan ilmu yang baik kepada manusia. Saya mengajak anda semua untuk bersama-sama saya menjana kehidupan bersih dan suci sama ada melalui sumbangan tulisan atas mauduk tertentu atau memberi ulasan yang membena dan berfaedah kepada pembaca yang singgah membaca tulisan anda.

Pada pendapat saya kebanyakan pelawat blog tidak membaca tulisan di dalam sesuatu blog itu dengan penuh perhatian, sebaliknya mereka hanya meninjau-meninjau dan melihat-melihat sahaja dan kebanyakan tulisan yang ringkas-ringkas atau sederhana panjang sahaja yang berjaya memerangkap mereka.

Sekiranya anda berminat untuk memindahkan mana-mana mauduk atau topik ke dalam blog anda saya akan mengizinkannya dengan mudah setelah permohonan dibuat kerana blog ini sememangnya bersifat dakwah atau menyebarkan ilmu Allah bukan berbentuk bisnes atau mencari keuntungan di dunia dengan syarat nama blog ini hendaklah dicatatkan bersama, Blog ini ingin mengajak anda untuk sama-sama berusaha menyampaikan ilmu Islam kepada mereka yang memerlukan supaya kita dapat sama-sama menjalani hidup bahagia di dunia dan di akhirat.

Wallahu aklam bissowab. WASSALAM.

2 comments:

ezzati said...

Hi..thanks..sy pon dh lawat blog awk

Leenoh said...

Terima kasih Ezzati,
Kalau anda mendapat sesuatu yang baik, sebarkan kebaikan itu kepada orang lain.

Insya Allah kebaikan yang anda perolehi akan bertambah.

Wassalam.