Sunday, December 14, 2008

MARI KITA BERSIHKAN MINDA



Saya sengaja meletakkan tajuk yang tertera di atas sebagai ajakan dan pujukan kepada anda untuk sama-sama mengulangkaji tajuk " PENGERTIAN DAN KONSEP IBADAT " sebagai pembersihan minda. Sekiranya sebelum ini memahami konsep ibadat berdasar fahaman awam atau bukan fahaman seperti yang dikehendaki oleh Islam. Tetapi, Jika sebelum ini memang telah memahaminya anggaplah ini sebagai ulangkaji. Saya menulis tajuk ini kerana beranggapan ramai lagi di luar sana tidak memahami konsep ibadat yang sebenarnya, termasuk konsep amal kebajikan yang disarankan oleh Islam.

Apa yang hendak disampaikan di sini ialah konsep dari segi istilah ilmu Fikah, bukan sebutan atau fahaman dari segi bahasa, kekadang sesuatu yang bukan ibadat dan amalan kebajikan dikatakan kebajikan, maka ini akan mengelirukan mereka yang kurang pengetahuan Islam. Bagi saya kalau masyarakat masih ramai tidak faham perkara-perkara asas mengenai Islam maka tidak perlu kita sogokkan subjek yang lebih tinggi dan susah kerana cara demikian tidak mengikut ketertiban menuntut ilmu. Tidak kira siapa orangnya kalau belum mengetahui perkara asas di dalam sesuatu ilmu itu, mereka hendaklah memulakannya daripada asas atau akar umbinya sebelum pergi ke pucuk atau puncaknya. Sukatan pelajaran perlulah sesuai dengan sasarannya.

Firman Allah bermaksud;
" Dan Aku tidak jadikan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah Aku ( beribadat )
( Ayat 56 surah az.Zariyat )

Pengertian dan Konsep Ibadat.

Pengertian Ibadat;
Ibadat ialah memperhambakan diri atau mengabdikan diri kepada Allah melalui aktiviti atau amalan yang diperintahNya dan meninggalkan yang dilarangNya dalam semua aktiviti dan aspek kehidupan.

ATAU

Menurut istilah syarak: Taat, patuh dan merendahkan diri sepenuhnya kepada Allah. mengikut peraturan dan suruhan Allah sebagaimana ditetapkan di dalam al-Quran dan as.Sunnah Rasulullah s.a.w. Kepatuhan ini hendaklah dilakukan secara berterusan setiap masa sehingga ke akhir hayat. Ia merangkumi makna tunduk dan cinta kepada Allah.

Ibadat terbahagi kepada dua bahagian;
Iaitu Ibadat Khusus (khas) dan Ibadat Umum (am).

(1) Ibadat Khusus:
Ibadat Khusus terbahagi kepada dua bahagian iaitu wajib dan sunat.

Ibadat Wajib dan Ibadat Sunat;
Ibadat wajib ialah ibadat yang wajib ditunaikan atau wajib dilaksanakan kerana ia merupakan rukun Islam, jika ditinggalkan hukumnya berdosa, ibadat-ibadat itu seperti mengucapkan dua kalimah syahadah, solat fardu, puasa Ramadan, mengeluarkan zakat dan menunaikan fardu Haji serta meninggalkan larangan Allah.

Manakala ibadat Sunat ialah ibadat yang digalakkan atau mendapat pahala berkali ganda jika dilakuknya tetapi tidak berdosa jika ditinggalkan. seperti solat sunat, puasa sunat, membaca al.Quran dan seumpamanya.


(2) Ibadat Umum:
Ibadat Umum ialah segala aktiviti atau amalan selain daripada ibadat khusus, di mana aktiviti tersebut tidak bertentangan dengan perintah Allah, ibadat ini mempunyai banyak pilihan seperti makan gaji, berniaga, bertani, menjadi nelayan dan seumpamanya.

Aktiviti ini tidak akan dikira ibadat sekiranya mengabaikan suruhan dan larangan Allah, seperti berniaga melibatkan riba, kerja makan gaji tetapi ponteng atau curi tulang atau mengamalkan rasuah dan seumpamanya.

Demikianlah huraian secara ringkas mengenai ibadat iaitu merangkumi ibadat khusus dan ibadat umum, diharap penerangan yang ringkas ini dapat membantu individu tertentu bagi meningkatkan kefahaman Islam dalam menuju ke arah Kehidupan Bersih.


Kerja Amal Kebajikan.

Kerja atau aktiviti yang dianggap atau dikira amal kebajikan atau yang mendapat pahala ialah kerja atau aktiviti yang tidak melibatkan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah. Islam tidak menghalalkan cara. Sesuatu yang dianggap atau diakui baik ialah sesuatu yang dilakukan itu sememangnya diiktiraf baik oleh Islam dan cara pelaksanaannya pun baik iaitu menurut syariat Islam.

Mencuri atau menerima rasuah bertujuan untuk disedekahkan kepada orang fakir dan miskin, tujuannya baik tetapi cara dan kaedahnya tidak baik. Maka Islam menilai perbuatan itu adalah jahat atau maksiat, perbuatan seperti itu umpama mengorek di sesuatu tempat untuk menutup lubang di tempat yang lain, akhirnya wujud lubang yang baru, oleh itu tujuan hendak menyelesaikan masalah tidak berjaya dan sebaliknya dalam waktu yang sama tanpa disedari mewujudkan pula masalah yang baru. Ini menggambarkan akal manusia mempunyai kemampuan terhad, oleh itu akal manusia perlu disepadukan dengan wahyu Allah yang dibawa oleh RasulNya. sekiranya kita ingin menyelesaikan berbagai masalah masyarakat atau penyakit masyarakat yang mana pada masa sekarang sedang dialami di mana-mana dan setiap masa.


Wallahu aklam bissowab. Wassalam.

1 comment:

Leenoh said...

Islam dikenali sebagai agama sesuai dari segi bahasa sahaja, kalau dari segi takrif yang tepat, Islam adalah Addin iaitu suatu cara hidup yang mencakup dunia dan akhirat.

Cara hidup tersebut dituntut oleh Allah untuk kita laksanakan sepenuhnya dalam semua aspek kehidupan, Itulah sebenarnya jalan ke syorga oleh itu jadikanlah " watani Jannati"

Wassalam.