Tuesday, December 9, 2008

BUKIT PUN MARAH, BAS JUGA MARAH


Bukit pun marah, bas juga marah

Bila telah berlaku jaripun menuding,
Sebelum berlaku telahpun berunding.
Pendapat pakar tiada tanding,
Orang berkuasa jangan ditanding.

Rasuah itu memberanakkan kejahatan,
Rasuah itu memberanakkan kemungkaran,
Rasuah itu memberanakkan kerosakan,
Rasuah itu membiakkan kezaliman,
Rasuah itu membiakkan segala keburukan,
Rasuah itu menghapuskan kesejahteraan.

Akhirnya diri sendiri kesengsaraan.

Orang tamak selalunya tidak beruntung,
Orang tamak menyusahkan orang.
orang tamak melanggar yang dilarang,
orang tamak sentiasa mahu untung,
Orang tamak hidupnya kera sumbang.
Orang tamak makanpun seorang.

Akhirnya di dalam api menjadi puntung.

Orang tamak dilaknat Tuhan.
Orang tamak dijauhi kawan,
Orang tamak tidak berjiran,
Orang tamak berjiwa syaitan.

Akhirnya muflis keakhiratan.

Rasuah dan tamak penyakit hati,
Bila membarah sukar diubati,
Tunggulah negara hilang jati,
Segala urusan sukar dipercayai.

Lihatlah bukit pun marah,
Bas di lebuhraya juga marah,
Mati beramai-ramai menjadi lumrah,
Yang selamat luka parah.

Peristiwa berlaku membawa padah,
Akibat urusan buat mudah,
Segala rungutan tidak diindah,
Setelah terantuk baru tengadah.
Tidak yakinkah pada keimanan,
Tidak percayakah pada firman,
Dunia ini hanya pinjaman,
Ladang akhirat sedia bekalan.

Pada diri sendiri aku berperi,
mengingatkan hati muhasabah diri,
Agar peristiwa tidak berulang lagi,
Peristiwa tragedi minta dijauhi.

Ayuh mari ke pangkal jalan.
Kepada Allah serah perhambaan,
Membuat amalan, patuh suruhan,
Rasuah dan tamak kita singkirkan.


Wallahu aklam.

Shah Alam: 09.12.2008

2 comments:

Mohd Fauzi said...

bila nafsu menguasai diri
akal dicampak nun jauh
bila haloba duniawi menjadi impian
amalan ukhrawi dan amalan brbakti pada insan dilupakan..
inilah manusia akhir zaman

Leenoh said...

Marilah kita sama-sama berusaha dan berdoa agar masyarakat kita berkualiti seperti yang dikehendaki oleh syariat Islam.

Wassalam.