Tuesday, December 9, 2008

Tragedi Tanah Runtuh.



TRAGEDI TANAH RUNTUH DI BUKIT ANTARABANGSA.

Tarikh: 06/12/2008M bersamaan 08/12/1429H ( pagi )

Dipercayai 14 banglo tertimbus, 4 maut dan 93 dapat diselamatkan dan operasi pertolongan masih diteruskan demikian maklumat yang diperolehi.

Setiap kejadian yang berlaku di dunia ini tentu sekali mempunyai sebab dan penyebabnya. Hal ini terserahlah kepada yang bertanggungjawab untuk membuat siasatan yang adil dan bijaksana supaya kejadian seperti ini tidak berulang lagi. Manusia sepatutnya berlaku adil sesama manusia dan juga alam kerana mereka dilantik oleh Allah sebagai khalifah di atas muka bumi ini. Oleh itu mereka adalah pengatur dan pengurus gunung-ganang, bukit bukau, sungai, lautan , udara dan lain-lain.

Peristiwa ini tidak syak lagi ianya memaksa kita berasa sedih dan bercampur marah, tetapi sedih dan marah tidak akan menyelesaikan masalah, kejadian ini menuntut kita berubah sikap dan membuat anjakan pradigma ke arah pembenaan minda yang tamadun dan bertanggungjawab terutamanya mereka yang terlibat dalam hal yang berkaitan dengan membuat keputusan dan penguatkuasaan khasnya mengenai pembinaan perumahan di atas puncak bukit dan bekas lombong atau kawasan yang berisiko.

Masyarakat biasa telah sekian lama menjerit dari kaki bukit memohon keadilan dan kejujuran dari mereka yang berada di atas bukit yang mempunyai kuasa membuat keputusan. Jeritan ini berlaku sejak runtuhnya Highland Towers. Janganlah membiarkan masyarakat terpaksa menyimpan berbagai persoalan di dalam minda dan fikiran mereka. Marilah kita berusaha mewujudkan Kehidupan Bersih di mana ianya menuntut kebersihan rohani dan jasmani.

Apabila sesuatu tempat atau kampung ditimpa bala bencana kerana kecuaian orang yang tidak bertanggunjawab, orang yang tidak berdosa turut sama menerima akibatnya seperti kanak-kanak dan mereka yang taat Allah. Keadaan ini tentulah tidak adil bagi mereka. Jika kejadian berlaku tanpa pelanggaran terhadap sunnatullah, itu adalah suratan takdir yang tiada siapa pertikaikan.

Maka sebab itulah Islam menyuruh umatnya menyeru kepada kebaikan dan menyuruh membuat perkara makruf serta mencegah kemungkaran supaya masyarakat hidup di dalam keadaan aman dan sejahtera.

Maksud firman Allah Taala; ( Ayat 104 Surah Ali-Imran )

" Dan hendaklah ada di antara kamu satu umat ( golongan ) yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh dengan yang makruf ( yang Baik ) dan melarang yang mungkar dan mereka itulah orang-orang yang berjaya "

_____________________________________________________________

Cuba fikirkan bagaimana kalau peristiwa seperti ini menimpa diri kita dan keluarga kita sendiri ----- Ya Allah jauhilah dugaan yang besar seperti ini kerana kami tidak mampu menghadapinya,amin.

___________________________________________________________________

Kepada mangsa tragedi tersebut dan keluarga mereka Saya penulis blog Kehidupan Bersih mengucapkan takziah dan bersabarlah menghadapi dugaan Allah dan reda dengan apa yang telah berlaku kerana itulah suratan takdir, mungkin terselit hikmah di sebaliknya.

Pagi Sabtu (06/12/2008)

1 comment:

Leenoh said...

Kerosakan yang berlaku di atas muka bumi ini adalah hasil perbuatan manusia,manusialah yang merosakkan gunung-ganang dan bukit-bukau sebagai pasak bumi, merekalah juga yang mencemarkan udara, mencemarkan air di sungai dan seumpamanya.

Oleh itu manusia perlu dididik dengan akhlak yang mulia, kemudian barulah boleh hidup di dalam kehidupan yang bersih.

Wassalam.