Thursday, December 25, 2008

BERKEMPEN PILIHANRAYA BUKAN SEPERTI MENYERTAI PERTANDINGAN BERPIDATO



__________________________




Bau aroma Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu (KT) telah bermula, angin dan makhluk lain yang menggunakan ruang maya telah membawa berita ke seluruh Malaysia, malah sehingga ke luar sempadan negara. Pada kesempatan ini penulis ingin meluah dan melepaskan makhluk
ghaib yang bersemadi di dalam minda dengan harapan mendapatkan kelegaan kerana telah melunaskan kewajiban yang sewajarnya sebagai rakyat negara yang tercinta ini.

Sebagai orang Islam kita berkewajiban menjaga dan mematuhi hukum hakam yang telah ditetapkan oleh Allah. Sama ada dalam bidang percakapan atau tingkah laku yang lain. Berlebih-lebih lagi kempen pilihanraya sama ada di hadapan khalayak atau bersama media bukanlah seperti murid-murid membuat karangan untuk diperiksa oleh guru. Murid-murid yang terlibat dengan tugasan membuat karangan akan membaca soalan dengan teliti sehingga faham, kemudian mulalah mereka mencari isi untuk dikembangkan. Isi rekaan tersebut dikembangkan sehingga mencapai kehendak soalan dan menepati jumlah perkataan yang dikehendaki, disamping menjaga gaya bahasa dan perenggan yang sesuai dengan tahap atau tingkatan mereka.

Sekiranya karangan tersebut dikhayal dan dikarangkan oleh mereka sendiri (bukan meniru), insya Allah karangan tersebut akan mempunyai nilai yang tinggi dan akan mendapat markah yang tinggi dan cemerlang. Walau pun isi karangan tersebut hanya khayalan dan pembohongan sahaja kerana sememangnya itulah sebenarnya yang hendak dilihat dan disuruh pamer.

Demikianlah juga di dalam pertandingan berpidato, cuma selain daripada isi mereka perlulah mahir berpidato dengan gaya penyampaian yang menarik dan berkesan serta mematuhi syarat-syaratnya, insya Allah akan berjaya di dalam pertandingan.


Tetapi kempen pilihanraya situasinya bukan seperti itu, kempen pilihanraya bukan karangan, bukan khayalan dan bukan juga lakonan. Kempen pilihanraya adalah realiti yang berada di dalam kehidupan sebenar dan di bawah naungan hukum Allah. Ianya tidak terkecuali daripada hukum haram, halal, wajib, sunat dan harus (mubah).

Petugas dan pelapor media juga berada di dalam dunia yang sama, semuanya menjurus ke arah dan destinasi yang sama, iaitu destinasi yang semua orang Islam sedia maklum, penulis juga berada di dalam situasi yang tidak terkecuali. Ingat mengingat adalah suruhan yang terkandung di dalam syariat.

Sering disebut " Kalau tidak dapat membuat semua, jangan ditinggalkan semuanya", mungkin kita tidak mampu mematuhi semuanya tetapi sebahagian besar daripadanya mampu dipatuhi. Sengaja merempuhnya itulah yang dikesali.

Oleh itu orang yang terlibat dengan kempen pilihanraya khususnya perlulah berhujah secara jujur dan ikhlas bukan rekaan seperti murid sekolah membuat karangan untuk mendapat markah yang tinggi atau menyertai pertandingan berpidato untuk mendapat kemenangan seperti yang telah dinyatakan . Hujah dalam kempen pilihanraya akan didengari oleh khalayak ramai dan juga sampai ke telinga rakyat yang mungkin sedang mengharapkan kejujuran pemimpin kecil dan besar yang turun ke bawah dan berdepan dengan mereka. Berlebih-lebih lagi hujah yang dikemukakan berkaitan dengan pentadbiran negara dan memegang amanah rakyat. Hendaklah sentiasa diingat mereka adalah pemimpin dan bakal menjadi pemimpin yang lebih besar. Negara adalah hak bersama dan Malaysia adalah hak kita bersama. Rakyat berhak benci kepada pemimpin yang jahat dan berhak menyanjungi pemimpin yang baik dan menjaga kepentingan negara.

" ALLAH SENTIASA MELIHAT PERBUATAN KITA SAMBIL MEMBUAT PENILAIANNYA "

Wallahu aklam bissowab. Wassalam.

No comments: