Saturday, December 6, 2008

BALIK KAMPUNG


Assalamualaikum.

Pagi tadi (Sabtu 6/12/2008) lebih kurang jam 9.00 pagi saya bersama keluarga mula bertolak dari rumah menuju ke Bandaraya Shah Alam sebelum meneruskan perjalanan balik kampung. Kami singgah di Pasar raya Giants untuk bersarapan, kurang lebih satu setengah jam kami menghabiskan masa di sini sambil bersarapan kalau masih boleh dikatakan sarapan atau mungkin bahasa yang betulnya ialah kudapan dan berlepak-lepak di Medan Selera (Food Court).

Jam 10.30 pagi kami pun mula bertolak dari Pasar raya Giants menuju ke utara melalui Lebuhraya Guhtrie, tidak berapa lama setelah kami melalui lebuhraya tersebut maka tibalah pula di lebuhraya Utara-Selatan, sampai sahaja di kawasan trolak kenderaan kelihatan bertali arus seperti itik pulang petang. Perjalanan tersekat-sekat dan kekadang terpaksa berhenti, mereka yang kurang sabar berjalan lancar menggunakan laluan motorsikal, Yang saya hairan tu,bukan kereta biasa ni, kereta besar-besar, agaknya mereka itu orang pandai-pandai, pandai gelengtung orang, pandai potong rezeki orang lain, pandai menyusahkan orang lain, kalau mereka potong orang lain dan terus pergi , tiada siapa ambil peduli, tetapi, apabila sampai di depan sana mereka potong barisan menjadikan kami yang ikut peraturan seolah-olah semakin undur ke belakang. nasib baik harga petrol telah turun, kalau tidak darah pun naik.

Keadaan menjadi lega apabila perjalanan telah hampir sampai Tol Simpang Pulai. Nasib baik setiap kali sampai tol keadaannya menjadi selesa. Keadaan itu membuatkan kami kehairanan, apakah punca kesesakan jalanraya begitu rupa, sehingga sampai ke destinasi pun kami masih tidak mengetahui sebab berlaku kesesakan tersebut. hanya, jika kita berada di atas udara baru boleh mengesan puncanya.

Perjalanan di antara Simpang Pulai sehingga Tol Jelapang perjalanan agak selesa tetapi kesesakan berlaku semula apabila kami mula mendaki bukit selepas tol Jelapang sehinggalah ke R&R Sg.Perak. Kami bercadang berhenti rehat, makan dan solat Zohor dan Asar secara jamak takdim di R&R tersebut tetapi apabila tiba di Sg.Perak kenderaan kelihatan bersesak di laluan masuknya, akhirnya mengambil keputusan meneruskan perjalanan, kesesakan masih terasa sehinggalah kami sampai di R&R Bkt.Gantang, di sini pun keadaan lalu lintas masih serupa, kami hanya berhenti solat dan membeli buah-buahan yang sedia dipotong yang telah diisi di dalam plastik, tindakan ini untuk mengelakkan perut dimasuki angin, kalau ini berlaku keadaan kami akan menjadi semakin rumit.

Kami meneruskan perjalanan sehingga simpang Taiping utara barulah keadaan perjalanan agak lebih lancar sehingga selepas Tol Juru, kemudian keadaan sesak semula apabila sampai Butterworth di sini mengalami kesesakan biasa sahaja. selepas itu perjalanan berjalan lancar sehingga ke Bandara Raya Alor Star. Kami sampai di sini jam 4.30 petang dan singgah makan Nasi lemak Hj.Ali Jalan Pegawai.

Bersyukur kepada Allah kerana kami telah selamat sampai di Taman Malaysia , Alor Merah, Alor Star. Kedah Darul Aman tepat jam 6.00 petang. Ada sedikit lagi perjalanan untuk sampai di Kg. Alor Tebuan Dalam / Kg. Alor China yang disebut di dalam puisi yang telah lalu. Kelewatan ini bukan kerana kesesakan jalan raya semata-mata tetapi juga kerana mengambil masa yang lama melepak di kedai makan Zefee yang ditumpangi Nasi lemak Hj.Ali. ( Kalau bawa bekal lagi baik he he he ).

Kg.Alor China

Pada Isnin 8/12/2008 jam 10.00 pagi selepas balik dari Masjid Alor Merah, saya bersama keluarga sekali lagi berangkat pulang ke Kampung Alor china iaitu kampung halaman di mana saya dibesarkan, lebih kurang jam 1o.30 pagi kami pun sampai di kampung.

Jam 5.00 petang bertolak balik ke Taman Malaysia dan selamat sampai jam 5.25 petang dan malam ini nampaknya kami akan bermalam di sini, esok mungkin ada aktiviti lain yang akan mengisi ruang perjalanan kami.

Saya berdoa dan berharap kepada anda dan saya sendiri yang ingin balik kampung untuk menyambut Aidil Adha pada tahun ini membuat perancangan perjalanan yang betul dan memandu dengan berhemah.

Semoga anda selamat berangkat dan selamat sampai ke destinasi.

Sekian. Wassalam.

2 comments:

Faisal Admar said...

Perkara yang paling menduga iman saya ialah traffic jam! Allergic betol.

Leenoh said...

Traffic jam, selain daripada sebab banyak kenderaan, juga disumbangkan oleh pengguna jalanraya yang kurang patuh peraturan,

Apa pun kita sama2lah berdoa agar kita sentiasa selamat.
Wassalam.