Thursday, December 4, 2008

Sejauh manakah para pelajar kita menguasai bacaan al.Quran.



Sejauh manakah para pelajar kita menguasai bacaan al.Quran.

Perkara ini sering bermain-main dan berlegar-legar di dalam pemikiran saya mengenangkan ramai di kalangan mereka yang tidak dapat membaca al.Quran dengan betul. Maksudnya membaca al.Quran dengan disepadukan sekali gus dengan tajwid, makhraj dan fasohah.

Berdasarkan pengalaman yang lalu para pelajar tingkatan 1 sehingga tingkatan 3 lebih kurang 30% sahaja yang boleh membaca pada tahap yang disebutkan tadi . Pelajar yang menguasai tajwid secara teori mungkin lebih ramai. Ini bererti sekiranya diadakan ujian bertulis terhadap para pelajar yang dimaksudkan tadi peratus kelulusan akan meningkat berbanding dengan ujian membaca ( Tilawah ) kerana mengetahui ilmu tajwid belum tentu seseorang itu dapat mempraktikkannya di dalam bacaan.

Kalau saudara, saudari berlapang masa mari kita bersembang-sembang mengenai perkara ini. Mungkin anda mempunyai apa-apa pandangan yang boleh kita kongsikan bersama. Saya akan mengambil giliran dahulu membuat sedikit mukaddimahnya di sini. Kita sering mendengar dan membaca di dada akhbar tentang berbagai ikhtiar untuk memajukan para pelajar dalam bidang ini sejak lama dahulu tetapi hasil usaha tersebut rasanya belum dapat dibuktikan lagi setakat ini . Mungkin anda tidak sependapat dengan saya dalam hal ini. Saya juga kurang pasti apa yang berlaku selepas tahun 2005. saya hanya yakin apa yang berlaku sebelum tahun 2005. Para pelajar sekarang mungkin tidak seperti yang saya gambarkan atau masih di tahap itu juga. wallahu aklam.

Apakah puncanya. Adakah disebabkan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang tidak sesuai ?
Pada zaman dahulu iaitu tahun –tahun sebelum merdeka sehingga akhir 60an kanak-kanak mempelajari al.Quran hanya dengan ibubapa atau guru-guru kampung sahaja, namun demikian mereka dapat membaca al.quran walaupun bacaan mereka tidak diserapkan dengan tajwid dan makhraj yang betul, tetapi, jika mereka telah dapat menguasai pada tahap tersebut pun telah memadai. Penguasaan pada tahap ini bermakna mereka telah bersedia untuk diperbetulkan bacaannya atau senanglah bagi guru bagi mentahsinkan tilawah mereka. Soalnya mengapakah remaja dahulu dapat menguasainya, malah mereka juga menguasai Bahasa Melayu bidang tulisan dan bacaan jawi. Jawabnya mereka mempunyai masa yang cukup bersama guru kerana bilangan mereka tidak ramai.

Saya membuat kesimpulan bahawa kegagalan tersebut bukan kerana guru dan kaedahnya tetapi kerana :

(1) Jumlah pelajar terlalu ramai bagi setiap guru menyebabkan guru tidak mampu mengawasi dan memberi perhatian sepenuhnya pada setiap pelajar. ( Kaedah pengajaran dan pembelajaran secara individu sukar dilaksanakan ).

(2) Masa yang diperuntukan tidak mencukupi . ( Masa sangat singkat berbanding dengan jumlah pelajar yang perlu diambil perhatian ).


Kaedah pengajaran dan pembelajaran al.Quran yang terbaik telah digunakan sejak dahulu kala lagi iaitu Membaca, Mendengar dan Melihat mulut guru ( Talaqqi, Tasmia’ dan Musyafahah ) dan diajar secara individu. Jika masa yang diperuntukan dan jumlah pelajar yang sesuai untuk seseorang guru, Insya Allah para pelajar akan dapat menguasainya.


MASALAHNYA:
Masalahnya sekarang bagaimanakah kita hendak menyelesaikannya, sedangkan masa yang Allah peruntukan sehari semalam hanya 24 jam dan seminggu hanya 7 hari sahaja.
Masa untuk Pendidikan Islam di sekolah menengah hanya 120 minit untuk kurikulum dan 80 minit untuk ko-kurikulum. Sedangkan kurikulumn atau sukatan yang hendak disampaikan sangat luas dan banyak. Selainnya tentulah peruntukan masa diberikan kepada matapelajaran yang lain yang masih banyak lagi yang hendak diajar di sekolah seperti matematik, sains, sejarah dan lain-lain yang wajib dipelajari oleh para pelajar.

Kita tidak boleh mengubah sistem yang terdapat di sekolah kerana itu bukan tanggungjawab kita secara langsung. Di negeri Johor dan Selangor terdapat sistem khas untuk Pendidikan Islam yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri. Adakah masyarakat mereka tidak menghadapi masalah ini ?. Kalau jawapannya mereka tiada masalah seperti ini. Maka kerajaan negeri yang lain perlu mencontohinya. Kalau mereka pun masih menghadapi masalah ini, apakah sebabnya pula ?.

Baiklah. Perkara di atas itu hanya sentuhan sahaja, bukan perkara yang hendak dibincangkan di sini. Perkara yang hendak dibincangkan di sini ialah apakah tindakan kita untuk mengatasi perkara ini supaya anak-anak kita dapat menguasai bacaan al.quran seperti yang disebutkan di awal tadi.

Nah saya telah memberi pandangan saya, apakah pula pandangan dan buah fikiran anda. Anda yang remaja, yang muda, yang dewasa dan yang tua dan berpengalaman.

Dan anda yang di sekolah rendah , menengah, sekolah khas dan sekolah swasta. Jika ada pandangan, silakan jangan teragak-agak, bukan untuk apa-apa, hanya untuk kebaikan generasi akan datang ketika itu kita sudah tiada lagi di dunia pinjaman ini.

Wallahu aklam bissowab. Wassalam.

No comments: