Sunday, April 3, 2011

Mengenali dan memahami matlamat yang paling utama di dalam kehidupan dunia .

Salam semua.

Terdapat banyak doa-doa di dalam al.Quran yang boleh dijadikan contoh dan diamalkan atau sebagai wirid, doa-doa ini telah banyak disusun oleh mereka yang arif dan dibukukan untuk dimanfaatkan oleh orang awam. Doa yang dipetik dari ayat al.Quran yang telah disusun dan bercampur dengan berbagai doa boleh dibaca pada sepanjang masa walaupun di dalam keadaan berhadas besar .(seumpama wanita sedang dalam keadaan kedatangan haid).

___________________________________________

[201]
Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka”.

(Surah al.Baqarah)

_________________________________________________

Berdoa adalah senjata orang mukmin.

_________________________________________________

Tazkirah ringkas.

Setiap manusia yang hidup di dunia ini perlu mengetahui matlamat hidup yang utama dan hakiki tanpa mengenali dan memahami matlamat hidup tersebut akan sia-sialah kehidupan mereka di dunia ini.
_______________________________________________

Mengenali Wawasan Akhirat.
_______________________________________________

Allah dan Rasul-Nya telah menjelaskan kepada manusia bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah sementara, dunia juga merupakan tempat ujian sejauh mana tahap keimanan manusia terhadap Allah, mereka yang tinggi imannya akan lulus ujian dengan senang dan cemerlang.Mereka yang kufur dan syirik kepada Allah, perjalanan mereka ke tempat kebahagian hakiki akan terkandas dan terpesong,
di akhirat nanti mereka akan menerima azab yang amat pedih dan dahsyat sekali iaitulah azab api neraka. Orang yang beriman sentiasa berdoa supaya dijauhkan azab ini.

Selain daripada usaha dan amal ibadat yang perlu dilakukan sepanjang masa, kita juga dikehendaki sentiasa memohon atau berdoa.

Tiga perkara penting yang diperturunkan di bawah ini merupakan ibu segala doa.
(1) Berdoa memohon hasanah di dunia.
(2) Berdoa memohon hasanah di akhirat.
(3) Berdoa memohon dijauhkan azab api neraka.

Sekiranya diperolehi tiga perkara penting yang disenaraikan di atas itu bermakna terselamatlah kita di akhirat nanti dan bahagialah kita.Kekayaan dan kekuasaan belum tentu membawa seseorang itu ke arah tercapainya kebahagiaan, kepandaian juga belum tentu menjana kebahagiaan kerana kemungkinan sifat takbur akan tersirat di dalam kepandaian tersebut dan membawa manusia ke neraka.

Hasanah di dunia/Kebaikan di dunia.
Jika hasanah atau kebaikan hakiki dapat dinikmati sepenuhnya di dunia ini, itulah sebenarnya kebahagian, kebahagian itu dirasai di jantung hati (al.qalb - kalbu) bukan sahaja pada fizikal atau jasmani diri atau harta yang diperolehi .Ketika hasanah diperolehi tiada di sana kerisauan, kemurungan dan kesakitan, bersama kebahagiaan itu ialah kepuasan, kecukupan, keceriaan, rasa reda dan akrab dengan Allah. Hasanah tidak semestinya harta kekayaan, pangkat kebesaran atau kuasa penuh di tangan.

Hasanah di akhirat/Kebaikan di akhirat.
Hasanah di akhirat sudah tentunya membawa maksud manusia yang mendapat hasanah itu ditempatkan Allah di syorga abadi setelah segala dosanya diampunkan.Betapa beruntungnya manusia yang mendapat keampunan Allah

Dijauhkan azab api neraka.
Jauh dari azab api neraka bermakna tidak ditempatkan di neraka dan tidak diazab di dalamnya, situasi ini menunjukkan manusia itu dimasukkan ke dalam syorga.


Demikianlah isi pati yang terkandung di dalam ibu segala doa yang termaktub di dalam ayat 201 di dalam Surah al.Baqarah seperti tertera di atas. Doa ini biasanya akan dibaca atau disebut paling akhir, iaitu sebelum selawat dan memuji Allah ketika doa ditutup, doa-doa atau permohonan yang disebut sebelumnya menjadi sebagai ayat-ayat doa yang mencarakinkan ibu doa tersebut sahaja.Ibu doa telah mencakup keseluruhan keperluan doa atau keperluan manusia itu sendiri, iaitu tiga perkara penting yang telah disenaraikan di atas.

Doa seharusnya diikuti dengan usaha yang bersungguh-sungguh sebelum menyerah segala-segalanya kepada Allah.

Sekian... Wallahu aklam.

No comments: