Wednesday, April 20, 2011

Orang Melayu tiada titik pertemuan selain melalui Islam.

Salam semua.

Orang Melayu tiada titik pertemuan yang lebih baik selain melalui Islam.

Manusia sentiasa sahaja mencari kawan dan rakan kongsi bukan sahaja di dalam bidang perniagaan, malah mereka memerlukan rakan untuk bantu-membantu di dalam melayari kehidupan harian mereka. Manusia yang baik semuanya sukakan perpaduan dan perdamaian, mereka juga bencikan kejahatan dan semua perkara yang buruk. Manusia yang jahat tidak dinamakan atau dipanggil jahat kalau mereka sukakan kebaikan dan kesejahteraan sejagat.

Pada amnya, jika dilihat dan diperhatikan semua manusia mempunyai keinginan untuk hidup bersatu padu dalam suatu perpaduan bangsa ataupun berbagai bangsa dan negara, demikianlah orang Melayu mereka juga mempunyai keinginan yang sama tetapi bagaimanakah cara orang Melayu merealisasikannya dalam keadaan mereka mempunyai perbezaan fahaman atau idealogi politik serta perbezaan cara hidup atau gambaran terhadap kehidupan.

Setiap pemimpin mempunyai pengikut setianya masing-masing. Dalam pada mereka menganuti idealogi berbeza dalam persoalan dan cara berpolitik serta pandangan hidup tetapi mereka masih menganuti agama yang sama iaitu agama Islam. Islam itulah sebenarnya titik persamaan dan perpaduan mereka.

Oleh sebab Islam itu
tidak diambil sepenuhnya sebagai cara hidup, maka berlakulah perbezaan ketara dalam pandangan hidup. Khasnya dalam hal menjauhkan atau menolak perkara haram di dalam kehidupan mereka. Di satu pihak kelihatan bersungguh-sungguh mencegah dan satu pihak lagi seolah-olah membiarkanya sahaja, malah ada yang turut serta mengamalkannya dengan selesa apa-apa yang dilarang seperti mengamalkan sistem riba, memajukan perjudian.menyuburkan hiburan yang melampau dan lain-lain aspek yang dilarang oleh Islam.

Terdapat di satu pihak yang sentiasa mendalami dan mempelajari ajaran Islam seperti mana yang dituntut oleh Islam, maka jadilah mereka itu mahir dan pakar dalam bidang ini serta ingin menghayatinya bersungguh-sungguh dan mengajak orang lain turut serta menghayatinya bukan sahaja di dalam kehidupan individu tetapi juga di dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, manakala di pihak yang lain pula sebahagiannya kurang berminat untuk mendalaminya atau kurang minat menghayatinya. Malah yang lebih dahsyat lagi ada juga yang menentang usaha ke arah penghayatan Islam sama ada
secara terus terang atau halus.

Itulah dua pokok penting yang memisah dan menyukarkan masyarakat Melayu untuk mencapai perpaduan dan kesatuan fikrah. Ditambah pula dengan masing-masing mengembangkan pula idealogi itu kepada masyarakat dengan berbagai cara . Maka bersainglah mereka di tengah-tengah masyarakat dan ditonton serta diikuti oleh semua orang Melayu dan lain-lain, masing-masing membuat penilaian, bagi yang memahami Islam secara mendalam sudah tentulah dapat menilainya dengan baik dan ikhlas serta tepat seperti yang dikehendaki agama anutan mereka iaitu Islam atau dalam perkataan lain selari dengan keimanan dan keislaman yang sepatutnya menjadi teras kehidupan .
_____________________________________

Firman Allah bermaksud;
"Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak termasuk dari orang-orang yang rugi".
( Surah Ali.Imran : 85 )


"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata".
(
Surah al.Baqarah : 208 )


"Dan sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah (dengan sebab pilihannya yang benar), maka tidak ada sesiapapun yang dapat menyesatkannya. Bukankah Allah Maha Kuasa, lagi berhak membalas dengan azab seksa (kepada golongan yang bersalah)?"

( Surah Az.Zumar :37 )


_________________________________________

Orang Melayu telah pun menganut Islam sejak ratusan tahun dahulu. di mana pilihan mereka itu adalah tepat dan diterima Allah seperti yang disebut di dalam ayat 85 dalam Surah Ali-Imran yang tertera di atas. Soalnya adakah pengambilan dan anutan kita hanya sekadar separuh masak dan dibiarkan ianya berlarutan sehingga sekarang.

Sekiranya semua orang Melayu atau sebahagian besarnya memahami Islam secara menyeluruh dan ingin menghayatinya di dalam kehidupan individu hatta di peringkat negara , situasi itu akan menyebabkan mereka akan berusaha bersungguh-sungguh ke arah merealisasikannya, apabila mereka mempunyai niat dan tujuan yang sama serta idaman yang sama, itulah sebenarnya perpaduan dan itulah juga sepatutnya menjadi landasan perdana yang menjadi laluan hidup harian setiap orang Islam menuju akhirat yang sejahtera.

Hanya Islam yang dapat menyatukan orang Melayu, namun begitu Islam itu perlulah difahami keseluruhannya terlebih dahulu, jika kita masih berdegil hendak meneruskan fahaman ala kadar yang sedang dikilek dan dijunjung kini, perpecahan orang Melayu akan berterusan, perlawanan tarik tali di antara dua golongan akan terus berlaku, pemilik kekuatannya tidak menentu sebentar ke kanan dan sebentar ke kiri, ada pihak yang pasang dan ada pihak yang surut sehingga ada pihak yang sanggup membuat apa sahaja asalkan golongannya mendapat sokongan, inilah ketikanya mereka melupai Islam. Terkilas dan terlihat di sana ada kekurangan tentang kefahaman Islam.

_________________________________

Jadikanlah dunia ini jambatan ke akhirat yang sejahtera
dan
Jangan jadikan dunia ini jambatan menuju ke akhirat yang derita.

_________________________________

Oleh itu artikel ini berpendapat bahawa
setiap diri kita perlu bermuhasabah diri dengan seikhlas hati untuk mempertemukan orang Melayu sesama Melayu di bawah pelukan dan dakapan Islam, Islam sebagai cara hidup yang sempurna dan berdaulat.

Sekiranya Islam diambil dan dijadikan tapak pertemuan dan perpaduan orang Melayu dalam kontek dan lengkongan Malaysia, perpaduan itu akan mencakup semua bangsa yang menganuti Islam dan juga yang bukan Islam kerana Islam itu sendiri menjana kesejahteraan, maka pertemuan dan perpaduan itu akan dilihat cantik dan indah oleh semua pihak dan semua bangsa.

Sekian...wallahu aklam.


No comments: