Wednesday, June 23, 2010

Duit - fulus - nuqud - lui - money - bia - biteh.

Salam semua.

Pagi ini sebelum solat Subuh aku membaca serangkai mesej mengenai perkara yang disebutkan di dalam mauduk di atas, di
hujung bulan begini ramai juga yang merinduinya dan berat hati nak melepaskan yang sedang berada di dalam tangan, jika melepaskannya pun akan melepaskannya dengan cara yang sangat berhati-hati, kiranya ketika seperti ini tiba-tiba datang yang bukan mahram sekali pun akan didakapnya erat-erat, akan lupa segala dosa, agaknya begitulah di antara kejadian rasuah berlaku di dalam masyarakat.

Pokok yang ada hanya sepohon sahaja,usianya pula sudah tua, buahnya pula tidak galak sangat, bila sering dikait dan dijolok untuk mendapatkan buahnya untuk dimakan atau dibelanjakan oleh ramai orang tentulah akhirnya kehabisan. Pokok ini lebih dari mampu kalau hanya menyara dua orang manusia tetapi kebiasaannya kita tidak gembira jika tidak memberi sumbangan kepada pihak lain kerana sumbangan itu dapat menambahkan aura keakuan dan kekitaan di dalam keluarga.

Pada hujung bulan begini buahnya hanya tinggal di hujung julai, galahnya kelihatan semakin pendek untuk menjolok buah yang berada di hujung ranting itu, galah tidak berubah, buah sebenarnya yang berada di hujung ranting kerana buah yang dekat semuanya telah dikait dan dijolok dan jatuh ke tanah, agak sukar menggunakan galah itu untuk menjatuhkan buah di hujung ranting, terpaksalah menunggu ianya jatuh ke bumi dan pokok berbunga semula.itulah sahaja rutinnya dari bulan ke bulan. Aku masih boleh bersyukur kerana pokok masih berbunga semula dan akhirnya akan berpeluang mengait atau menjoloknya semula untuk dijadikan rezekiku dan anak buahku.

Pagi ini aku ingin sekali lagi pergi meninjau pohon tersebut, kalau-kalau buahnya sudah bersedia dan dapat dikait atau diperturunkan ke bumi untuk aku buat belanja anak pinakku. Mereka yang mempunyai beberapa pohon pokok duit ini tentulah tidak merasai apa yang aku rasa.Sebab itulah Allah memerintahkan supaya kita berpuasa supaya mereka yang mempunyai banyak pokok tersebut belajar merasai kesusahan.

Aku juga sentiasa belajar memahami kesusahan dan kesenangan, aku kekadang terfikir mereka yang sakit dan mengidap sesuatu penyakit itu lebih susah oleh itu mereka yang sihat hendaklah bersyukur walaupun kekurangan duit atau fulus kerana manusia tidak mungkin memiliki segala-galanya, jangan pula kita tidak bersyukur atas nikmat sihat, nanti sihat tidak akan kekal bersama kita, bila sihat sudah pergi meninggalkan kita barulah kita tersentak dan terfikir bahawa hari semalam lebih baik dari hari ini. di mana hari ini tidak disangka-sangka terpaksa menyambut kehadiran sakit atau penyakit yang tidak diundang.Kalau bersyukur pada nikmat yang sedia ada Allah akan tambah lagi nikmat tersebut.Aku juga sentiasa memujuk hatiku supaya sentiasa bersyukur kerana cetusan rasa tersebut adalah perintah Allah.

Aku juga belajar bersimpati pada mereka yang sakit. mereka yang susah, mereka yang bermasalah, mereka yang sunyi tiada berteman, mereka yang hilang ahli keluarga dan mereka yang lain-lain lagi yang menghadapi keadaan seumpama itu.Aku rasa cetusan rasa begitu akan mengundang Allah Taala bersimpati dengan kita, sayangkan kita dan mengampunkan dosa kita kerana situasi itu menggambarkan kita bersyukur pada-Nya.

Hanya sekadar ini dulu mindaku dah mulai gersang kerana sudah meluahkan hampir semuanya...hehehe..merapu di pagi hari sebelum sarapan...jumpa lagi....wassalam.
Agaknya inilah yang dikatakan buah duit - fulus - nuqud - lui - money - bia - biteh - yang dimaksudkan di atas tadi....hahaha.

Sekian...wassalam.

No comments: