Salam semua.
Sebelum aku pergi ke Makkah ramai kekawan menceritakan bahawa orang Arab pandai berbahasa Melayu, aku tidaklah menyangka kebolehan mereka berbahasa Melayu itu seperti yang aku lihat sendiri di Madinah dan Makkah. Bukan melihat sahaja, malah aku bersembang panjang dengan mereka setiap hari semasa aku berada di sana. Rupa-rupanya semua peniaga di Madinah dan di Makkah menguasai bahasa Melayu, malah sehingga mereka yang tinggal di Kebun kurma yang terletak jauh di pinggir Madinah juga boleh berbahasa Melayu, kalau tidak faham bahasa Arab pun anda boleh beli apa sahaja dengan senang dan mudah.
Apabila aku berada di kedai, aku terasa macam berada di Pekan Rabu Alor Setar atau bangunan PKNS Shah Alam tempat yang selalu aku bertandang kedengaran suara "mari-mari - murah-murah - lihat dulu - lihat dulu - Malaysia bagus" Manakan tidak mereka berbahasa Melayu, pelanggan mereka lazimnya adalah terdiri dari orang Malaysia, Indonesia, Selatan Thailand ( khasnya Patani), tegasnya dari negara yang terdapat rumpun Melayu.
Sayangnya sebahagian orang Melayu sendiri tidak tegas dalam hal ini dan membiarkan para pemimpin yang selesa dengan bahasa Inggeris memperkotak-katikkan bahasa ibunda, tegasnya bahasa rasmi negara terabai. Kita tidak seperti orang Indonesia dan Siam, mereka tegas dan mantap dalam menjaga bahasa ibunda.
Kini kita agak terlambat, walaupun terlambat kita masih berkewajipan memperkasakannya semula, jangan serahkan tugas ini kepada mereka yang telah mengkhianatinya.Kalau hendak membina rumah kayu serahkanlah kepada tukang kayu atau pandai kayu untuk membinanya, mereka tentunya akan bekerja dengan penuh minat dan bertanggungjawab, ditambah lagi dengan menjaga kepakaran mereka supaya tidak luntur dan tidak dipandang rendah.
Sekian...wallahu aklam.
1 comment:
Setuju sangat. Heran, jurulatih bolasepak malaysia yg berbangsa cina , Ong Swee Kim, pun boleh menggunakan bahasa malaysia bila ditemuramah, tapi gabenor bank dan sesetengah menteri malaysia lebih suka berbahasa inggeris sekalipun bercakap di rtm1.
Post a Comment