Friday, December 16, 2011

Jamaah Bakal Haji Indonesia kesatuannya mantap.

Salam semua
Hari ini aku ingin menceritakan apa yang aku lihat secara rambang terhadap jamaah haji Indonesia, mereka kulihat sangat mantap dalam menjaga keselamatan di antara satu sama lain terutamanya ketika bergerak dari tempat penginapan ke masjid atau ke lokasi jumrat, mereka sepanjang masa bergerak dalam kumpulan yang mantap ( langsung tidak berpecah ) dengan cara ini jamaah mereka terselamat daripada berlaku sesat jalan, ketika memerlukan talbiah dilaungkan, mereka akan melaungkannya beramai-ramai sepanjang perjalanan. Jamaah Turki juga berjalan dan bergerak secara kumpulan yang mantap.

Manusia berantai.
Bergerak secara kumpulan ini kekadang mengganggu jamaah lain kerana barisan mereka menjadi rantai yang menghalangi perjalanan dan pergerakan jamaah lain terutamanya di dalam Masjidil Haram dan di datarannya, apapun alasan kita tetapi untuk diri mereka itulah penyelesaian terbaik bagi menjaga keselamatan ahli jamaah mereka yang mungkin tersesat di dalam hutan belantara manusia itu.


Ramai sesat.
Berbanding dengan jamaah kita yang diuruskan oleh Tabung Haji ( muassasah ) ramai yang tersesat setelah berada di Masjidil Haram, Aku pernah melihat suatu kumpulan jamaah haji Malaysia yang baru tiba di hotel, kemudiannya akan bergerak ke Masjidil Haram untuk menyelesaikan tawaf dan Sae serta tahlul umrah atau tawaf qudum. Mereka berbaris di hadapan hotel penginapan dan diberi seorang budak pemandu jalan ke masjid dengan memegang bendera di tangannya ketika ini jamaah yang baru sampai belum sempat mengetahui di mana sebenarnya lokasi yang sedang mereka berada, belum sempat mendongakkan kepala mereka ke atas untuk melihat papan tanda atau bangunan yang berhampiran untuk mengingat dan mengetahui lokasi hotel penginapan mereka.

Bergerak laju.
Setelah semua yang terlibat masuk barisan maka budak yang mengepalai barisan pun bergerak laju tanpa membuat pertimbangan orang di belakangnya yang terkadang terhalang dengan kenderaan lalu lalang, dalam perjalanan kurang lebih 1km itu kalau tidak diuruskan oleh orang yang berpengalaman barisan yang bergerak itu akan berpecah dan terputus, akhirnya akan menjadi cerca merba semuanya. Kumpulan yang aku lihat ini tidak pasti apa pula yang berlaku terhadap diri mereka ketika sampai di masjid tetapi pada hari itu aku dan Kamal kawanku terjumpa beberapa orang lelaki dan perempuan mengadu mereka sesat dan tidak mengetahui di mana tempat penginapan mereka, nasib baik mereka memakai tanda nama yang tercatat nama hotel penginapan, mungkinkah mereka ini dari kumpulan tersebut , wallahu aklam, Beberapa orang yang sesat itu dirujuk kepada petugas Tabung Haji.

Sekian...wallahu aklam.

No comments: