Salam semua.
Aku terbaca tulisan atau mesej dari salah seorang anak muridku bertanyakan hal yang dinukilkan seperti di atas dan lantas aku jadikan sebagai tajuk artikel ini, agaknya aku pun kehabisan idea dan ilham untuk terus menulis. Nasib baik "Shoutbox" mencetuskan ilham ini. Aku katakan padanya bahawa aku tidak pandai menghuraikan perasaan itu, kelainan perasaan memang berlaku pada kebanyakan mereka yang menjejakkan kaki mereka di kedua-dua Tanah suci tersebut atau alharamain - Makkah dan Madinah - melalui artikel ini aku akan cuba ingatkan semula apakah yang aku rasa ketika aku menjejakkan kaki di Tanah Suci Madinah pada petang Ahad 4 Zulqaedah 1432 / 2. Okt. 2011 yang telah berlalu. Ketika sampai di Lapangan Terbang Madinah aku rasa letih tetapi tidaklah letih sangat, bersolat Asar dan Zohor secara jamak takkhir di sini, solat Subuh telah ditunaikan di Surau Tabung Haji Kelana Jaya.
Tidak sampai setengah jam kami menunggu di lapangan terbang, bas pun telah bersiap sedia membawa kami ke hotel penginapan kami yang telah ditempah oleh pihak Tabanug Haji, sesampai sahaja di hotel memang terasa kelainan suasana hutan batu di bandaraya bersejarah ini, hotel terletak kurang lebih 300-400 meter sahaja jarak dari masjid, sampai di hotel waktu Maghrib telah pun masuk, aku Rosle dan Lukman bersolat jamaah di hotel ketika itu Kamal belum sampai ke bilik lagi, di Madinah kami tinggal di hotel Holiday Villa.Ketika ini perasaan aku belum dapat dipastikan lagi sama ada ceria atau apa-apa.
Setelah makan malam kami berempat, Kamal, Rosle, Lukman dan aku bergerak ke masjid, bergerak sedikit sahaja dari hotel Masjid Nabawi telah pun kelihatan jelas, pada masa ini baru timbul rasa berbagai-bagai, gembira, terharu, teruja dan sedih, sedih kerana kehadiran aku tidak mungkin bertemu wajah dan bertentang mata dan berbicara dengan Rasulullah.s.a.w , walaupun baginda bersabda bahawa sesiapa yang menziarahinya semasa baginda telah wafat sama juga seperti baginda masih hidup.
Di hati memang terasa seolah-olah baginda masih hidup, setelah masuk ke dalam masjid bertambah lagilah perasaan terharu itu bermain-main di minda.Terdetik di hati kerana bagindalah yang menyebabkan aku sampai di sini, kalau tidak, tiada sebab aku sampai di bumi Madinah ini.
Semasa di Madinah kami bersolat jamaah di Masjid Nabawi pada setiap waktu kerana kedudukan hotel yang berhampiran dengan masjid tidak menjadi kesusahan untuk kami ke masjid pada setiap waktu. Selama 10 hari kami berada di Madinah. Bersolat di Masjid Nabawi terasa lebih khusyuknya kerana terasa seperti kita berada bersama Nabi Muhammad.s.a.w., berlebih-lebih lagi kalau kedudukan tempat solat kita itu berhampiran dengan makam baginda dan ditambah pula imam membaca ayat-ayat yang boleh mencuit perasaan, terutamanya bagi mereka yang faham bahasa Arab atau bahasa al.Quran akan lebih khusyuk dan terharu sehingga menitiskan air mata , ada yang sebak, sedu sedan sehingga bergegar seluruh badan. Berlaku demikian ekoran dari berbagai sebab, mungkin menyesal atas kesilapan yang lalu, bersyukur di atas nikmat Islam yang sedang dinikmati berbanding dengan orang lain yang masih ramai belum mendapat hidayah dan taufiq dari Allah Taala atau terasa ketidakmampuan menunaikan perintah Allah sepenuhnya. Semua unsur itu boleh menyebabkan kita rasa terharu dan sedih.
Sekian...wallahu aklam.
No comments:
Post a Comment