Friday, March 11, 2011

Kewujudan Facebook palsu.

Salam semua.

Pada kebiasaannya sesuatu yang palsu tidak digemari dan tidak bermanfaat kepada manusia tetapi dalam pada itu rupanya terdapat juga barangan palsu yang diperlukan dan berguna untuk manusia. Rambut palsu, gigi palsu dan umpan palsu di anatara barang palsu yang disukai bagi sesetengah manusia, namun demikian sesuatu yang palsu tentulah ianya kurang berkualiti dan ada juga yang tidak bermanfaat langsung dan merugikan pula.

Kini berbagai perkara palsu wujud di kalangan masyarakat pernah berlaku perompak menyamar sebagai polis palsu, penipu menyamar sebagai doktor palsu atau datuk palsu atau agensi palsu dan seumpamanya, semuanya ini menggambarkan senario kurang sihat di kalangan masyarakat kita.

Kewujudan Facebook palsu suatu lagi item kehidupan palsu dan kepura-puraan di dalam kehidupan nyata kita kini. Facebook palsu diwujudkan bukan kerana seronok suka tetapi tersirat di dalamnya motif dan niat tertentu di sebalik kepalsuan tersebut. Situasi ini ibarat musang berbulu ayam yang tersirat kemunafikan akhlak dan aktivitinya, apakah ianya tiada fatwa atau hukum mengenainya , berdasarkan kehidupan Islam dan nilai-nilainya sudah pasti ianya melibatkan salah satu hukum yang sedia termaktub di dalam ajarannya, sekurang-kurangnya melibatkan salah satu hukum sama ada pahala atau dosa.


Jika terdapat ramai yang menyamar identiti orang lain akan merosakkan ketelusan dan kejujuran di dalam kehidupan sesuatu masyarakat, kerosakan itu akhirnya akan juga merosakkan diri sendiri dan keluarga , tugas mewujudkan kesejahteraan dan keamanan adalah tanggungjawab bersama kerana kebaikan itu akan terhasil sekiranya semua pihak mematuhi nilai-nilai sejagat yang sewajarnya dihayati oleh semua manusia sebagai penghuni bumi Allah ini.

Sekian...wallahu aklam.

No comments: