Saturday, March 12, 2011

Menghayati solat mulai ucapan takbir sehingga memberi salam.

Salam semua.

Menghayati solat mulai ucapan takbir sehingga memberi salam , memahami, menyentuh hati, aktif, sedar dan mendarah daging .


Artikel ini ingin memaparkan secebis panduan yang mungkin dapat membantu diri sendiri dan mereka yang memerlukannya, khasnya mereka yang tidak faham bahasa Arab untuk menghayati dan menghidupkan atau mengaktifkan minda menjerus kepada semua aktiviti yang sedang berjalan ketika mereka sedang melakukan ibadat solat. Mungkin panduan ini dapat meningkatkan kekhusyukan ketika bersolat.

Bersolat adalah tempoh masa seseorang hamba itu berjumpa dan berintraksi dengan Allah, merendahkan diri dan memohon segala yang diperintahkan, segala yang dilakukan itu adalah juga yang disuruh dan diperintah-Nya. Kehadiran kita di tempat solat memerlukan kehadiran seluruh tubuh badan dan jantung hati dengan itu barulah kita dapat fokus kepada apa yang sedang dilakukan ( bukan separa sedar ).

Untuk kekhusyukan itu kita perlu memahami apa yang sedang berlaku sama ada yang berbentuk perbuatan atau perkataan mengikut kadar kemampuan masing-masing. Bagi mereka yang tidak memahami bahasa Arab masih boleh menghayatinya dengan memahaminya secara umum segala apa yang berlaku sepanjang sesuatu solat ditunaikan.

Sebagai contoh;
Sekurang-kurangnya kita memahami perkara-perkara seperti yang dipaparkan di bawah ini. Paparan ini sebagai perintas jalan sahaja banyak lagi item yang perlu dipelajari dan ditambah.

_________________________________________

Pengertian Solat :
Makna Solat di dalam bahasa Arab ialah doa.

Dari segi istilah syara' pengertian solat :
ialah [ Perkataan-perkataan dan perbuatan-perbuatan tertentu yang dimulai dengan takbiratul ihram dan disudahi dengan ucapan salam, beserta dengan syarat-syaratnya yang tertentu ] .

Jika diperhati dan diteliti amalan dan ibadat solat dipenuhi dengan doa dan harapan.


Maksud Surah Al-Fatihah.
"Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Mengasihani.
Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Yang maha pemurah lagi maha mengasihani. Yang menguasai hari pembalasan. Hanya Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkau kami mohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan mereka yang Engkau murkai dan bukan jalan mereka yang sesat".

Bacaan ketika duduk di antara dua sujud
Ya Allah, ampunilah daku, Rahmatilah daku, kayakan daku, angkatlah darjatku, rezekikan daku, berilah aku hidayah, sihatkanlah daku dan maafkanlah akan daku.
Doa Qunut
Y
a Allah, berilah aku petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Engkau tunjuki. Sejahterakanlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau sejahterakan. Pimpinlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau pimpin. Berkatilah hendaknya untukku apa-pa yang telah Engkau berikan padaku. Jauhkanlah aku daripada segala kejahatan yang telah Engkau tetapkan. Sesungguhnya hanya Engkau sahajalah yang menetapkan, dan tidak sesiapapun yang berkuasa menetapkan sesuatu selain daripada Engkau. Sesungguhnya tidak terhina orang yang memperolehi pimpinanMu. Dan tidak mulia orang-orang yang Engkau musuhi. Telah memberi berkat Engkau, ya Tuhan kami dan maha tinggi Engkau. Hanya untuk Engkau sahajalah segala macam puji terhadap apa-apa yang telah Engkau tetapkan. Dan aku minta ampun dan bertaubat kepada Engkau. Dan Allah rahmatilah Muhammad, Nabi yang ummi dan sejahtera keatas keluarganya dan sahabat-sahabatnya.

Artikel ini sekadar pembuka jalan ke arah berfikir secara proaktif khususnya mengenai ibadat solat yang wajib dilakukan oleh setiap muslim yang telah mukallaf.

Sekian...wallahu aklam.

No comments: