Tuesday, March 8, 2011

Kini budaya fitnah telah berada di tengah masyarakat.

Salam semua.

Budaya fitnah pada suatu ketika dahulu situasi dan tempatnya sangat terpinggir dan terpencil serta tersembunyi tetapi kini ianya terserlah dan terpampang di dada akhbar serta terdapat juga yang dibukukan di dalam buku yang berkulit indah dan dijual dengan harga yang berpatutan, malah ada juga yang mahal, media elektronik juga tidak ketinggalan memberi ruang sepuasnya kepada budaya buruk ini. Laman blog dan facebook serta laman alam maya yang lain juga turut mengambil bahagian untuk memburukkan lagi persoalan tersebut. Oleh itu masyarakat kita dari berbagai kalangan meratahnya setiap hari.

Fitnah dihias indah sehingga kelihatan bukan lagi kebatilan, sebaliknya menjadi bahan rujukan rapuh di dalam kehidupan bagi sesetengah pihak yang tidak lagi mahu meneliti akar umbinya kerana hiasan yang meliputi dan membaluti fitnah itu sangat indah dan berkualiti. Situasi itu berjaya memperdayakan mereka yang malas berfikir dengan menggunakan akal sendiri untuk membuat penyiasatan. Memang benar dan tepat pepatah Melayu yang menyatakan " Orang bodoh makanan orang cerdik" , orang cerdik yang dimaksudkan ialah orang cerdik yang jahat dan berkepentingan diri.

Operasi perang saraf yang dijalankan oleh sesetengah pihak bukanlah lesen untuk menyebarkan fitnah atau merekacipta pembohongan yang berganda kerana perbuatan itu akan merosakkan struktur dan keamanan masyarakat. Sudah tentu aktiviti seumpama itu bukan budaya penganut Islam. Sebaliknya budaya itu perlu dijauhi dan dicegah tetapi dalam keadaan dan senario sekarang terasa sukar untuk mendepaninya.

Slogan Bersih, Cekap dan Amanah yang dilaungkan bersama pada suatu ketika dahulu seolah-olah telah ketinggalan zaman dan tidak berguna lagi pada zaman ini, arah tuju dan mauduk pendidikan masyarakat kelihatan tempoh hayatnya sangat pendek ianya bergema dan berfungsi mengikut musim, tegasnya pendidikan kemasyarakatan kita berjalan dan beroperasi secara tidak beristiqamah, mungkin disebabkan sumber ambilannya tidak menyeluruh dan ditambah pula dengan niat dan tujuan yang tidak mencakup keseluruhan matlamat pendidikan itu sendiri. Merujuk kepada matlamat Pendidikan Islam ianya sentiasa istiqamah sejak ianya diwahyukan kepada Nabi Muhammad.s.a.w.dan berterusan sehingga akhir zaman.
______________________________________________

Peringatan untuk kita dari Surah al-Hujurat ( ayat 6 sehingga 15 ) yang bermaksud,

[6]

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.
[7]
Dan ketahuilah! Bahawasanya dalam kalangan kamu ada Rasulullah (maka janganlah kemahuan atau pendapat kamu mendahului pentadbirannya); kalaulah ia menurut kehendak kamu dalam kebanyakan perkara, tentulah kamu akan mengalami kesukaran; akan tetapi (Rasulullah tidak menurut melainkan perkara yang diwahyukan kepadanya, dan kamu wahai orang-orang yang beriman hendaklah bersyukur kerana) Allah menjadikan iman suatu perkara yang kamu cintai serta diperhiaskannya dalam hati kamu, dan menjadikan kekufuran dan perbuatan fasik serta perbuatan derhaka itu: perkara-perkara yang kamu benci; mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang tetap menurut jalan yang lurus; -
[8]
(Mereka dijadikan berkeadaan demikian) sebagai limpah kurnia dan nikmat pemberian dari Allah; dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[9]
Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
[10]
Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.
[11]
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.
[12]
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.
[13]
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).
[14]
Orang-orang ” A’raab” berkata: ” Kami telah beriman”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Kamu belum beriman, (janganlah berkata demikian), tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja: ` kami telah Islam ‘. Dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah RasulNya (zahir dan batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun dari pahala amal-amal kamu, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.
[15]
Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).

__________________________________________



Sekian....wallahu aklam.

No comments: