Saturday, June 30, 2012

Politik - Pengalamanku di Johor

Salam semua.
PAS di Johor 


Dalam tahun 70an saya berada di Johor dan sempat menambah ilmu dan pengalaman di sana dengan melihat, memerhati dan bergaul dengan mereka. Kebetulan saya tinggal lebih kurang 100 meter sahaja dengan rumah Abd.Razak Ahmad, pada ketika itu beliau sangat aktif dalam PSRM, saya tidak pasti apa jawatannya di dalam parti, apa pun yang saya pasti beliau bukanlah orang UMNO dan Istana Bukit Siren lokasinya berhampiran dengan tempat kediaman saya dalam jarak yang sama juga, di tepi rumah Abd.Razak terdapat lorong lalu lalang ke jalan raya atau ke Pantai Lido ( kini Danga Bay ) .

Sering  juga  saya melihat Almarhum Sultan Ismail melintasi laluan di antara rumah Abd.Razak dengan tempat kediaman saya,  pemandu baginda selalu mengangkat tangan menyapa saya, saya membalasnya dengan rasa suka dan gembira. Pada suatu ketika Abd.Razak bertanding atau menjadi calon dalam suatu pilihan raya melawan BN, panas juga suasana kempen pada tahun tersebut, saya tidak ingat tarikh pilihan raya umum berkenaan tetapi tidaklah sepanas dan sehebat di Kedah,Perlis,Kelantan, Trengganu, Perak dan Pulau Pinang. PAS dengan BN memang merentap sejak saya masih bersekolah lagi di negeri-negeri utara dan pantai timur yang disebutkan itu.

Pada tahun 70an saya tidak pernah melihat bendera Parti PAS di Johor, saya tidak pasti sama ada ianya wujud atau tidak, tetapi yang saya dapat kesan ialah wujud orang PAS di dalam UMNO, maksudnya di dalam lubuk hati mereka tersirat perjuangan dan semangat PAS tetapi mereka berada di dalam UMNO sebagai ahli UMNO kerana UMNO terlalu menguasai masyarakat Melayu di Johor pada ketika itu sehingga mereka yang tidak bersetuju dengan UMNO pun terpaksa masuk UMNO supaya  kehidupan mereka lebih selamat dan tidak mejadi kera sumbang, tegasnya mereka terpaksa mengikut masyarakat sekeliling, mungkin mereka ini berfikir bahawa pada ketika itu belum sampai masanya lagi untuk menunjukkan sikap mereka  yang sebenar.


Saya terpanggil untuk menulis artikel ini setelah terbaca dan terlihat gambar yang tertera di atas di dalam Harakahdaily -Edisi Bahasa Melayu. Kalaulah benar seramai itu kehadiran orang Johor ke Himpunan Hijau Johor bermakna apa yang saya ceritakan di atas telah berlaku perubahan dan anjakan yang sangat luar biasa seperti pergerakan dan anjakan air ketika banjir. Aliran dan arus air pada ketika banjir tiada siapa yang mampu menghalangnya. 

Empat atau lima tahun yang telah lalu saya pernah melihat orang PAS sedang berceramah apabila kebetulan saya melalui jalan yang berhampiran dengan tempat mereka mengadakan ceramah tersebut, bilangan yang hadir hanya di antara 100 - 150 orang sahaja.Agaknya perubahan mereka yang menghadiri Himpunan Hijau itu  berlaku selepas tahun 2008 dan kesan daripada terdedahnya maklumat di alam maya yang sukar hendak disekat dan dihalang, kini maklumat hanya berada di hujung jari, malah mereka boleh berintraksi dengan lebih ramai kenalan yang berada di negeri lain dengan secepat kilat berbanding pada masa sebelumnya.

Tidak kenal tidak cinta.


Saya menjangka dan mengandaikan berubahan ini akan bergerak laju dan pantas kerana mereka menggunakan tenaga sedia ada yang tersimpan dan terpendam begitu lama dan tersorok di dalam UMNO, bukan sahaja PAS yang berani panggung kepala, PKR juga turut mengambil bahagian seiring dan tidak ketinggalan DAP yang telah lama menempah beberapa tempat di sana, kesannya Pakatan Rakyat menjadi lebih  berupaya dan kuat. 

Apa yang telah, sedang dan akan berlaku semuanya kehendak Allah. Manusia hanya merancang Allah jua yang menentukan.


Sekian...wallahu aklam.














2 comments:

Anonymous said...

Pengalaman yang menarik. Sy yang merupakan anak jati johor turut merasai perubahan yang berlaku.

Apa pun, ilmu sgt penting sebagai penyuluh dalam menanggapi pelbagai isu yang kadangkala kelihatan samar-samar.

Faiz, Ayer Hitam, Johor.

Leenoh said...

Ya. memang benar ilmu sangat penting - tidak kenal tidak cinta - Tidak sepatutnya pintu ilmu ditutup dan dikunci tetapi ilmu itu sangat halus dan seni akhirnya bocor jua - Terima kasih kerana anda memberi respon.