Friday, June 29, 2012

Adakah orang Melayu sifatnya takut nak berubah ?




Mesin tuai padi
 Artikel ini merujuk kepada pengalaman yang telah lalu di mana suatu perubahan besar yang telah dilakukan oleh kerajaan pada suatu ketika dahulu, iaitu pelaksanaan Projek Rancangan Pengairan Muda dan penubuhan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) pada tahun 1970,( mungkin akhir tahun 60an - tidak pasti ). Projek ini menumpukan kepada tanaman padi dua kali setahun di Kedah.

DAHULU.
Pada peringkat awal terdapat ramai di kalangan petani  yang merasai gelisah dengan pelaksanaan projek yang akan menghasilkan  pendapatan berganda kepada mereka. Mereka takut dan susah hati menghadapi perubahan ini kerana banyak amalan tradisi yang terpaksa mereka tinggalkan, mereka juga takut kudrat tidak mencukupi untuk menguruskan petak sawah mereka dengan menggunakan tenaga zahir dan bantuan kerbau peliharaan mereka. Situasi setelah berlaku tanaman dua kali setahun tidak dapat mereka bayangkan, mungkin penerangan dan penjelasan dari pihak kerajaan tidak mencukupi pada ketika itu  menjadikan ilmu mereka dalam hal tersebut tidak mencakup di luar kebiasaan dan tradisi mereka, dengan itu mereka takut untuk berubah atau menerima projek baru tersebut.Sesungguhnya dalam apa hal sekali pun manusia memerlukan ilmu pengetahuan yang cukup untuk meyakinkan kehidupan atau tindakan mereka.

Orang Melayu pada ketika itu juga tidak ramai yang melibatkan diri dalam bidang perniagaan kerana mereka rata-rata mencari rezeki melalui bertani atau menangkap ikan sebagai nelayan pesisir pantai.  Baik petani atau nelayan pendapatan mereka sekadar cukup makan sahaja, ketika itu juga tidak wujud mana-mana orang Melayu bertani atau menangkap ikan kemudian didagangkan hasil pendapatan mereka, semua hasil yang mereka perolehi akan dijual kepada orang tengah yang bukan bangsa Melayu, kebiasaan ini menjadi tradisi di dalam kehidupan orang Melayu dan sukar hendak berubah, agaknya pada ketika itu mereka tidak banyak peluang menambahkan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam bidang tersebut. Terbukti ilmu pengetahuan menjadi punca perubahan bagi sesuatu bangsa tanpa ilmu pengetahuan mereka akan menjadi makanan  kepada orang bijak pandai dan tidak terkecuali bijak pandai  bangsa sendiri dan juga bangsa lain.

KINI



Kini mereka telah berubah dan pendapatan mereka pun telah bertambah tetapi perubahan itu berlaku secara terpaksa , namun demikian perubahan tanpa rela sepenuh hati itu telah memberi kebaikan kepada mereka, tetapi perubahan seterusnya mereka masih ragu-ragu.

Sebenarnya tanpa ilmu pengetahuan semua orang takut untuk berubah dan berhijrah.Orang bukan Melayu pun tanpa pengetahuan dan ilmu yang cukup mereka juga takut untuk berubah dan berhijrah. 

Orang Melayu takut berubah dan berhijrah bukan takut membuta tuli tetapi mereka memerlukan penjelasan dan penerangan yang secukupnya sebelum mereka membuat keputusan untuk berubah dan  berhijrah atau sebaliknya.Pihak yang ingin mengekalkan kehidupan yang sedia ada atau tidak mahu masyarakat berubah atau berhijrah meninggalkan mereka, mereka akan menyorokkan maklumat atau menghalang maklumat baru dengan berbagai cara dan kaedah supaya tidak sampai kepada masyarakat umum.


POLITIK.
 Pilihan Raya Umum ke 13 akan menyusul tidak berapa lama lagi
walau pun tarikh sebenarnya masih menjadi rahsia, namun demikian kita masih dapat meneka bahawa ianya tidak lama lagi kerana tarikh luputnya sudah hampir ...wallahu aklam. Rakyat yang berfikiran kritis dan kreatif akan mencari maklumat sendiri sebelum membuat keputusan memilih parti pilihan mereka, mereka tidak mengharapkan media pro parti pemerintah untuk mengetahuai kebaikan parti lawannya kerana para pemimpin di pihak parti lawan tidak pernah diberi peluang oleh media pro kerajaan untuk mereka memberi penjelasan kepada rakyat mengenai wawasan parti mereka.Saban hari dan malam media ini hanya menceritakan kebaikan di satu pihak sahaja, maka amat sukar bagi rakyat biasa membuat penilaian secara adil dan  memilih yang terbaik.

Adalah adil kalau media perdana itu wujud dalam arti kata yang sebenarnya iaitu memberi peluang yang sama kepada semua parti yang berdaftar secara sah mengikut perlembagaan negara. Media bertanggungjawab memberi maklumat yang betul dan benar kepada khalayak pembaca dan pendengar supaya rakyat dapat memilih atau memberi mandat kepada parti yang terbaik (yang sesuai dengan apa  yang tercatat di dalam perlembagaan) untuk memerintah negara tercinta ini.

Bagi rakyat yang kurang terdedah dengan maklumat maka  para pemimpin yang tidak berpeluang menggunakan media yang dikatakan media arus perdana itu terpaksalah mereka ini turun padang mendekati rakyat tersebut, walaupun mereka boleh berbuat demikian tetapi usaha mereka tidak mencakup keseluruhannya berbanding dengan parti yang berpeluang menggunakan media perdana, inilah rupa paras yang dianggap tidak adil atau bertanding di atas padang yang tidak sama rata.

Sekian...wallahu aklam.

No comments: