Friday, February 20, 2009

Ungkapan budi dan bahasa -.( Pandanganku)


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ


Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga.
Hancur badan dikandung tanah.
Budi baik dikenang jua.


Pantun merupakan salah satu daripada cabang sastera Melayu yang indah dan berkesan dalam menyampaikan maklumat.Pantun tersebut di atas adalah salah satu pantun yang terbaik yang pernah dihasilkan penggubahnya.Penulis tidak berhajat untuk menghuraikan tentang penilaian pantun kerana penulis sendiri tidak arif dalam hal tersebut.Walau bagaimana pun apa yang tersirat di dalam pantun ini tidak begitu sukar untuk dihurai dan dipaparkan di skrin komputer ini.

Pantun ini merupakan pantun nasihat. Nasihat ini ditujukan khasnya kepada umat Melayu Islam dan amnya kepada sesiapa sahaja yang memahami pantun tersebut.Dalam baris pertama maksud pantun disebut;"Hancur badan dikandung tanah". Penggubah pantun mengingatkan kita bahawa kehidupan di dunia ini tidak kekal selama-lamanya.Selebihnya kita hendaklah fikir sendiri, bagaimana hendak menghayati hidup ini sebelum kedatangan malaikat Izrail yang dikenali sebagai malaikat maut itu supaya sebuah kehidupan yang dilalui bersama masyarakat akan menjadi kenangan manis kepada mereka yang masih meneruskan kehidupan yang masih berbaki.Bak kata pepatah; "Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan jasa".

Pantun ini menjadi lebih menarik dan terserlah keindahannya, apabila tidak menyebut secara tersurat larangan melakukan kejahatan dengan berpuas hati menyebut budi baik dikenang jua.Mungkin bersandarkan kepada yang indah itu bahasa dan yang baik itu budi.Di sini dapatlah kita faham bahawa sesiapa yang jahat sama ada pemimpin, orang awam atau sesiapa sahaja, mereka yang jahat ini sebenarnya tidak berjasa kepada sesiapa. Kalau ada kebaikan yang dilakukan hanyalah untuk kepentingan diri, Pada zahirnya kelihatan berjasa tetapi nilai tersirat terhadap ketrampilan dan ketokohan mereka sebenarnya adalah untuk kepentingan diri dan keluarga. Orang seperti ini tidak akan dikenang oleh masyarakat. Kalau ianya terlintas juga tentang kerja buat mereka di dalam ingatan masyarakat. Ingatan itu lebih kepada cacian dan penyesalan yang tidak berkesudahan.
Agaknya itulah mesej yang hendak disampaikan oleh penggubah atau pengarang pantun ini yang segar sejak zaman kapur tulis sehinggalah ke zaman komputer dan internet tanpa wayar ini.

Itulah pandanganku tentang pantun ini.



(Ruang komen berada jauh di bawah sana)

___________________________________________



Sayangkan anak tangan-tangankan, Sayangkan isteri tinggal-tinggalkan.

Orang Melayu sebenarnya mempunyai banyak panduan dan rujukan untuk membantu merealisasikan kehidupan mereka supaya dapat hidup di dalam kehidupan yang bersih dan suci.
Al.Quran, al.Hadis, ijmak Ulamak dan qias merupakan panduan utama orang Melayu Islam. untuk menjadikan sesuatu penjelasan dan penerangan lebih jelas dan difahami serta berkesan di dalam sanubari mereka, Orang Melayu menggunakan Perumpamaan, Simpulan Bahasa ( Peribahasa), Pepatah, Pantun dan seumpamanya.


Sayangkan anak tangan-tangankan, Sayangkan isteri tinggal-tinggalkan.
Rangkaikata bernilai ini wujud hasil daripada peristiwa-peristiwa yang berlaku di dalam masyarakat mengenai perkara-perkara tertentu. Misalnya " Sayangkan anak tangan-tangankan, Sayangkan isteri tinggal-tinggalkan." Perumpamaan ini bolehlah dikelumpukkan sebagai kelumpuk pendidikan kerana ianya memberi teguran dan panduan mengenai pendidikan anak-anak dan pentadbiran serta pengurusan rumahtangga.


Sayangkan anak tangan-tangankan.
Rangkaikata ini bermaksud sekiranya kita sayangkan anak hendaklah mengajar dan mendidik mereka sepanjang masa. Peraturan dan disiplin tersirat atau tersurat perlu wujud dan dijelaskan kepada mereka. Jika berlaku kesalahan dari segi peraturan atau disiplin hendaklah diambil tindakan dengan mengenakan hukuman yang setimpal dan adil supaya mereka memahami hakikat kehidupan yang akan mereka hadapi pada masa akan datang iaitu ketika mereka dewasa nanti. Dengan ini dapat menyedarkan mereka bahawa dalam masyarakat dewasa terdapat undang-undang, mahkamah dan penjara.

Denda bagi mereka yang bersalah sangat diperlukan untuk pengajaran dan membuka jalan ke arah keinsafan terhadap kesalahan yang telah terlanjur. Sebagai contoh; Kanak-kanak yang baru boleh merangkak, merangkak ke arah api lilin dan menyentuhnya dan ia merasai kepanasan api tersebut dan secepat kilat ia menarik tangannya untuk menyelamatkan diri, kanak-kanak ini tidak akan melakukannya buat kali yang kedua dalam masa terdekat kerana menyedari di sana seolah-olah terdapat denda yang terpaksa diterimanya.


Allah Subhanahu Wa Taala mendidik manusia melalui peraturan dan undang-undang yang diwahyukan kepada Rasulullah.s.a.w. yang termaktub di dalam al.Quran dan al.Hadis. Mengapakah kita takut untuk memberi hukuman atau denda wala

u pun secara yang adil dan menepati kehendak Islam ?. Tidak semestinya cara atau kaedah yang lama itu ketinggalan zaman dan tidak pasti pula cara didikan terkini itu terbaik kerana ianya belum dibuktikan.
Mengenakan hukuman sesuka hati tidak layak dianggap hukuman atau denda atas kesalahan seseorang. Cara demikian layak dinilai sebagai melepaskan panas baran atau hawa nafsu yang tidak bersama akal yang sempurna. Denda atau hukuman wajib dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan. Prosedur yang ditetapkan itu pula hendaklah akur dengan perintah Allah dan RasulNya. Pelaksana yang melaksanakan hukuman dan denda sesuka hati adalah juga penjenayah. Ibubapa yang menghukum anaknya tidak setimpal dengan kesalahan mereka juga tidak akan terlepas dari pemerhatian dan penilaian Allah.


Anak-anak atau murid pada zaman dahulu tidak melawan ibubapa dan guru tetapi murid-murid pada zaman sekarang telah pandai melawan ibubapa dan guru, malah murid perempuan yang baru berusia 13 atau 14 tahun pun telah berani menyerang dan melawan gurunya sendiri secara tindakan fizikal sehingga menyebabkan guru tersebut terpaksa melaporkan peristiwa itu kepada pihak polis. Adakah orang dewasa pada zaman ini telah gagal mendidik anak-anak mereka. Ini bukanlah peristiwa tunggal yang kita pernah terbaca di dada akhbar tempatan malah banyak lagi peristiwa keruntuhan akhlak seperti ini.


Untuk menafikan kesalahan dan kesilapan diri sendiri dan masyarakatnya. Orang zaman ini akan menyalahkan kecanggihan cara hidup dan kesebokan mencari rezeki sebagai penyebab kepada keruntuhan akhlak remaja dan berlakunya peristiwa buruk tersebut. Kata orang bijak pandai kalau hendak melihat akhlak orang dewasa di dalam sesuatu masyarakat itu, lihatlah dahulu akhlak anak-anak muda mereka. Di sinilah kayu pengukur dan di sinilah juga jawapannya.


Pengusaha rumah urut, kedai judi, kelab malam, kilang arak, ladang tembakau, kilang mercun dan seumpamanya. Pengusaha tersebut bukan di kalangan remaja. Mengapakah remaja dipersalahkan dan siapakah sebenarnya yang perlu terlebih dahulu diperbetul atau dimurni atau dibersihkan akhlak mereka?. Marilah kita sama-sama fikirkan jawapannya.

Renungi Hadis berikut:
Dari Abu Hurairah.r.a. katanya Rasulullah.s.a.w. bersabda (maksudnya);
" tiada seorang jua pun bayi yang baru dilahirkan melainkan dalam keadaan suci. Maka kedua orang ibubapalah yang menyebabkan anak itu menjadi Yahudi, nasrani dan musyrik. Lalu bertanya seorang lelaki ; " Ya Rasulullah !. Bagaimanakah kalau anak itu mati sebelumnya, ( sebelum disesatkan ibubapanya) ?. Jawab baginda, " Allah jualah yang Maha Mengetahui apa yang mereka lakukan".


Sayangkan isteri tinggal-tinggalkan.
Rangkaikata ini sama seperti rangkaikata di atas juga . Sebenarnya maksud yang tersirat itulah yang hendak direalisasikan , sebaliknya sebutan tersurat itu pula sebagai ungkapan yang mampu memperindahkan bahasa dan perantara yang berkesan dalam kaidah (methot) memnyampaikan maklumat. Begitulah keindahan bahasa Melayu warisan kita.

Sayangkan isteri tinggal-tinggalkan bermaksud sekiranya seseorang itu sayangkan isteri dan kehidupan berkeluarga, suami sebagai ketua keluarga hendaklah tinggalkan isteri di rumah dan si suami keluar mencari rezeki untuk menyara hidup keluarga yang tersayang. Manakala isteri membantu suami dengan menyelesaikan kerja yang perlu dibereskan di rumah. Walau bagaimana pun suami adalah teras dan tunggak rumahtangga sebab itulah disebut " sayangkan isteri tinggal-tinggalkan dan tidak menyebut " sayangkan suami tinggal-tinggalkan".

Kestabilan ekonomi rumahtangga adalah perkara yang sangat penting bagi mengukuhkan keharmonian dan rukun damai suami isteri dan keluarga, disamping keimanan dan ketakwaan sebagai tunjang dan tiang penegaknya.


Renungi maksud ayat (34) surah An.Nisak;
"Lelaki itu adalah pemimpin bagi perempuan, sebab Allah melebihkan setengah mereka dari yang lain dan kerana mereka (lelaki) memberi belanja dari hartanya (untuk perempuan). Perempuan -perempuan yang solihah ialah perempuan-perempuan yang taat, yang memelihara kehormatan ketika ghaib ( suaminya), sebagai mana Allah memelihara dirinya. Perempuan yang khuawatir kamu akan derhakanya, hendaklah kamu berikan nasihat dan kamu tinggalkan mereka sendirian di tempat berbaringnya dan kamu pukullah mereka ( dengan pukulan yang tidak menyakiti badannya). Jika mereka taat kepadamu, janganlah kamu mencari jalan untuk menginiayanya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar".




Wallahu aklam.

Ruang komen di bawah lagi

____________________________________________________



Komen dari kekawan.
Blogger Dee said...

byknyer entry nih..x terkomen..

February 20, 2009 12:03 PM

Delete
Blogger KUNTONG said...

Saya tertarik dgn entri" kata dulang paku serpih,kata orang kita yang lebih. BEGITULAH.

Lagi satu biasanya "Kuman, kat seberang nampak, gajah kat depan mata, tak nampak."

February 20, 2009 12:06 PM

Delete
Blogger Leenoh said...

Assalamualaikum.

Dee & Kuntong.


Saya cuma menyalinkan balik sahaja, terima kasihlah kepada datuk nenek kita yang memulakannya sebab nasihat mereka yang dicatatkan itu sesuai sepanjang zaman.
Itulah hadiah mereka kepada kita yang amat tinggi nilainya, tentulah rugi kalau kita tidak hargainya.
Hai bersyarah pula aku ni he he he.
Itulah kelemahan manusia, " kuman di seberang lautan nampak, gajah di depan mata tidak nampak" maka berkukuklah berderai-derai, gerak orang supaya bangun menunaikan solat subuh, diri sendiri terjun turun reban terus sahaja mencari makanan.
Saya tidak dapat sembunyikan rahsia kesukaan saya terhadap puisi dan perumpamaan atau keindahan bahasa kiasan dan perbandingan serta berbalaghah ini.
Wassalam.

February 20, 2009 12:28 PM

Delete
Blogger Nurhani Salwa Binti Jamaluddin said...

Syabas Pak Ngah,

Saya suka entri ni. Saya pun peminat pantun, sajak, lagu, syair, sebab adala darah seni sikit2..

Pantun orang Melayu, especially yang lama2, jarang yang merepek..Mesti ada kata2 nasihat.. Lebih kepada adab2 orang Melayu dan Islam. maknanya, peradaban dan agama Islam sejak dulu memang dipelihara dan dijaga, sebab tulah pantun kita pun kaya dengan peradaban melayu dan islam. Cuba tengok lagu2 sekarang, semuanya pasal cinta ajer.. kalau cinta Allah, Rasul, Agama Ibu bapa, okeylah jugak.. ni semuanya jiwang karat jer.. tak ada manfaat.. boleh kira berapa kerat lagu yang beri manfaat pada iman seseorang.. Semuanya impak daripada peradaban manusia sendiri..teknologi makin canggih, manusia pun makin canggih.. kejahatan pun makin canggih..agama entah ke mana.. hilang agama sebab hilang adab manusia.. Usaha Pak Ngah menghidupkan semula pantun2 lama ini, satu usaha yang bagus, untuk menjejaki peradaban Melayu lama,sebagai alternatif kepada generasi muda kita, yang kian lemas di bawa arus teknologi dan 3G.. Mudah-mudahan usaha yang kecil ini akan membuka jalan kepada usaha yang lebih besar di masa depan dan dipermudahkan oleh Allah. Well done Pak Ngah!! Bila nak buat berbalas pantun nasihat dan berkualiti?

February 20, 2009 9:29 PM

Delete
Blogger Leenoh said...

Hani.
Boleh jadi kita tiada jati diri kot, semua nak ikut barat termasuk manusia pun minda gubahan barat, bila minda gubahan barat, perkara yang lain akan terikut-ikut kerana itu adalah luahan minda.
Hani kata bila nak berbalas pantun. Pak Ngah berani pantun sehala je, berselisih dan berbalas ni Pak Ngah tak berani, sebab pantun Pak Ngah hentam kromo ja. memang sungguh, bukan lawak-lawak ni.
Tapi kalau Hani membuatnya Pak Ngah nak tumpang ikut, mana tahu nanti Pak Ngah pun jadi pandai macam Hani juga.he he he .

Wassalam.

February 20, 2009 9:58 PM

Ruang komen di bawah lagi.

Delete
___________________________________________________


Seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.



Kehidupan di bandar-bandar pada masa kini, keadaan masyarakatnya diibaratkan seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Di mana anggota masyarakat hidup mementingkan diri sendiri. Tanpa mengindahkan kehidupan orang lain yang berjiran dengan mereka. Keadaan ini mengundang banyak keburukan berbanding dengan kebaikan. Ketika kita senang tidak kelihatan keburukannya tetapi apabila kita menghadapi kesusahan barulah kita menyedari bahawa kita memerlukan kehidupan bermasyarakat seperti yang dianjurkan oleh ajaran Islam.


Jika kita merenungi kehidupan masyarakat binatang akan kita dapati kehidupan mereka sentiasa bermasyarakat atau sekurang=kurangnya berpasangan dan hidup dua sejoli. seolah-0lah mereka menyedari bahawa kehidupan ini memerlukan antara satu sama lain seperti aur dengan tebing.



Cuba perhati dan renungkan kehidupan masyarakat binatang seperti anjing, harimau, gajah, singa, kerbau, lembu dan seumpamanya.


Anjing, singa dan harimau adalah binatang yang mempunyai ikatan masyarakat yang kuat, kehidupan mereka bukan seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. semangat kerjasama mereka sangat tinggi dan pintar terutamanya apabila mereka berpakat untuk mendapatkan mangsa sebagai habuan makanan mereka. Kerbau, lembu dan gajah yang
begitu besar serta berada di dalam kumpulan yang juga besar berjaya ditumbangkan oleh mereka.

Kerbau, lembu dan gajah juga hidup bermasyarakat tetapi ikatannya sangat longgar. Apabila seekor gajah diserang oleh beberapa ekor harimau, buat seketika kumpulan mereka akan menolongnya , apabila serangan dibuat bertubi-tubi gajah-gajah tersebut akan lari menyelamatkan diri, maka gajah yang seekor tadi akhirnya menjadi hidangan yang lazat untuk masyarakat harimau.
Begitulah juga sikap kerbau dan lembu terhadap kesusahan kawan-kawan mereka. Walau pun mereka mempunyai ahli yang banyak tetapi tidak digeruni oleh pihak musuh kerana kelemahan kesatuan mereka, mereka tidak bersatu untuk melawan musuh.

Itulah natijah kehidupan gajah yang masyarakatnya hidup seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Terutamanya ketika serangan musuh, Mereka bersatu hanya bertujuan untuk mendapatkan habuan masing-masing. Ertinya bersatu hanya pada waktu yang boleh memberi kesenangan pada diri sendiri sahaja. Tiada siapapun yang sanggup susah untuk menolong yang lain, walau pun kalau disatukan tenaga pasti mereka akan mendapat kekuatan yang mengkagumkan dan dengan mudah sahaja dapat menewaskan kumpulan harimau yang sejak berzaman menjadi musuh dan ancaman kepada mereka. Kerana tidak menggunakan kepintaran dan pentingkan diri sendiri kehidupan mereka terancam sepanjang masa.

Begitulah juga masyarakat kita sekarang terutamanya di dalam bandar, mereka masih hidup bermasyarakat tetapi ikatannya sangat longgar.

Persoalannya sekarang bagaimanakah cara memperkukuhkan semula kehidupan bermasyarakat ini supaya masyarakat kita berupaya bersatu di dalam suatu ikatan yang mampu menggembelingkan tenaga mempertahankan kepentingan bersama seperti kekuatan harimau menumbangkan gajah.


Ikatan masyarakat yang kuat banyak faedahnya, tiada siapa manafikan kebaikan ini, tetapi , bagaimana hendak memulakannya atau menjanakannya supaya kembali hidup dan bernafas segar. Bak kata pepatah bersatu teguh bercerai roboh.

Islam menyarankan kita supaya hidup bersaudara tetapi tidak ramai yang pedulikan saranan ini, mungkin kurang yakin dengan kebaikannya atau masyarakat kita mempunyai tasauwur atau pandangan terhadap Islam berbeza di antara satu sama lain. Agaknya pandangan hidup yang berbeza-beza inilah menjadikan kesatuan kita tidak kukuh dan longgar.

Orang Islam yang benar-benar memahami Islam tidak mungkin bersetuju dengan cara hidup yang berteraskan fahaman bukan Islam. Sebab itu sebelum wujud institusi kewangan seperti Tabung Haji dan Perbankan Islam orang Islam kumpulan ini sanggup menyimpan wang mereka dalam bantal atau dalam tabung yang diperbuat daripada batang buluh dan seumpamanya daripada menyimpanya di dalam bank yang tidak mengamalkan sistem Islam, walau pun mereka dikutuk oleh pihak tertentu, mereka tetap tidak berubah dan tidak pedulikan kutukan itu, kerana mereka menganggap pihak yang mengutuk itu terdiri daripada mereka yang jahil dan minda terjajah serta tidak memberi sumbangan kepada Islam.

Krisis seperti inilah yang sentiasa diingatkan di dalam khutbah Jumaat bahawa apabila berlaku perselisihan dan perbalahan di dalam sesuatu perkara hendaklah kita kembali kepada ajaran Allah dan rasul. Tetapi saranan ini sehingga sekarang lebih banyak menjadi teori berbanding kenyataan dan rangkaikata yang mulia ini seolah-olah untuk mengindahkan ucapan khutbah sahaja dan tidak banyak yang bertapak di bumi yang nyata.

Wallahu aklam.


Ruang komen di bawah lagi

_______________________________________


Orang Melayu kaya dengan pepatah, simpulan bahasa dan perumpamaan yang boleh menyentuh hati kita apabila ianya digunakan untuk nasihat atau disisipkan di dalam cerita atau sebagainya. Contohnya; Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali. Umpama tangkai jering. Anak di pangkuan diletakkan, kera di hutan disusui. Umpama mencurahkan air ke atas daun keladi. Seperti pahat dengan penukul . Sayangkan anak tangan-tangankan, sayangkan isteri tinggal-tinggalkan dan banyak lagi.


Merujuk kepada pepatah, " Kata dulang paku serpih, Kata orang kita yang lebih,". Kata-kata ini mengingatkan diri kita supaya tidak terlanjur bila membicarakan sesuatu atau memberi teguran kerana ianya membawa maksud seseorang yang suka mendedahkan atau melarang seseorang daripada melakukan keburukan sedangkan dirinya sendiri berkelakuan serupa atau lebih buruk lagi. Bak kata pepatah lagi, kokok berderai-derai, punggung bergelumiang najis. Berlagak memimpin dan membantu orang lain tetapi diri sendiri dipenuhi dengan keburukan dan kelemahan atau lebih teruk lagi. Adakah pada masa sekarang perkara seperti ini masih berlaku dalam masyarakat kita atau keadaannya semakin teruk. Di mana silapnya. ketika masyarakat semakin ramai berilmu, berpangkat, berharta dan berkuasa, adakah wajar perkara ini berlaku bertambah rancak dan bertambah subur.


Pepatah ini mengingatkan kita supaya orang yang sememangnya terlibat di dalam sesuatu keburukan, jangan melibatkan diri dalam mencegah perbuatan tersebut kerana tindakan itu tidak berkesan dan mungkin juga masyarakat akan menuding jari balik kepada kita. Rangkaikata yang indah ini terkeluar dari bibir mulut orang Melayu tentulah berdasarkan pengalaman dan peristiwa demi peristiwa yang berlaku di kalangan mereka. Adakah pada zaman IT ini perkara ini masih berlaku dan berterusan. Namun demikian bukan bermakna kita terpaksa menunggu sehingga diri kita bersih dan suci seratus peratus baru hendak mencegah kemungkaran dan keburukan, tidak mungkin manusia ini maksum, tiada siapa yang tidak melakukan kesalahan dan kesilapan, di mana bumi yang tidak ditimpa hujan.

Cuba fikirkan.......kalau....,
Perompak menjerit, perompak..... perompak..... perompak ! ! ! sambil menunjukkan kepada orang lain.
Dan begitu juga pencuri menjerit, pencuri.... pencuri... pencuri ! ! ! .......
Pengamal rasuah pula telibat dalam gagasan pencegah rasuah tentulah akan berlaku harapkan pagar, pagar makan padi........... Dulu cerita begini hanya boleh ditonton di dalam filem Hindustan sahaja. sekarang entahlah kalau telah berlaku di luar sana. Tetapi pernah terbaca di dalam akhbar tempatan mengenai cerita mangsa ragut dimangsakan dua kali oleh peragut, apabila peragut menunjukkan kepada mangsanya dan menjerit.. peragut,... peragut, .... peragut, sebaik sahaja mangsa tersebut diragutnya, akhirnya mangsa ragut dibelasah orang ramai yang berada di situ. Sudahlah mangsa kehilangan wang, ditambah lagi dengan kesakitan yang tidak sepatutnya berlaku. Perancangan seperti ini bukanlah sesuatu yang baru kerana pernah berlaku ke atas Nabi Yusof pada suatu ketika dahulu.

Terdapat di kalangan manusia di dunia ini mengambil contoh yang tidak baik dan diimplikasikan di dalam kehidupan mereka sehingga masyarakat turut menjadi keliru dan rosak manakala kerosakan tersebut sukar hendak diperbaiki lagi. Sekali lagi keinginan untuk hidup di dalam kehidupan yang bersih dan suci, berakhir dengan kegagalan dan kemusnahan. Itulah realiti kehidupan di dunia. sesiapa yang mengambil sunnah sebagai pegangan hidupnya mereka akan terlepas daripada perangkap tersebut. sesiapa yang lalai dan lagha akan terjerumus ke dalam perangkap kemusnahan. Kejahatan sering memperlihatkan kepada kita kemenangan dan kecemerlangan tetapi ianya hanya buat sementara sahaja. Kebenaran dan kebaikan kadang-kadang lambat tertunjul tetapi ianya mempunyai ketahanan yang kekal abadi. Biar lambat asal selamat.

(Kalau hendak ketahui kisah yang lebih besar dan sarat dengan pengajaran bacalah kisah dalam Surah Yusof.)

Keadaan seperti di atas kita perlu berhati-hati.Nampaknya kita perlu sering mengamalkan solat sunat istikhorah supaya tanggapan kita tidak tersasar dan meningkatkan lagi doa harian kita kerana penilaian yang diberi oleh akal kadang-kadang menyimpang jauh dari kebenaran dan terbabas teruk, untuk ini rasanya doa yang paling sesuai ialah doa seperti berikut;
" Ya Allah kami pohonkan iman yang kukuh, hati yang khusyuk, ilmu yang bermanfaat, amalan yang solih, yakin pada yang benar, ........ " wallahu aklam


Firman Allah bermaksud,
" Adakah patut kamu menyuruh manus
ia berbuat kebaikan dan kamu lupa dirimu sendiri, sedangkan kamu membaca kitab. Tidakkah kamu memikirkan ?".
surah al.Baqarah (44)

Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.
Islam menyuruh umatnya berbuat baik tetapi hendaklah mengikut peraturan dan panduan yang telah ditetapkan di dalam al.Quran dan as.Sunnah dan Islam melarang kita melakukan kejahatan walau pun sebesar zarah atau sebesar kuman sekali pun, sekiranya terlanjur melakukannya walau pun sedikit tetap akan dikira dosa.

Firman Allah bermaksud;
Barangsiapa mengerjakan kebaikan, meskipun seberat zarah, akan dilihatnya (balasan) kebaikan itu. (7)
Barangsiapa mengerjakan kejahatan, meskipun seberat zarah, akan
dilihatnya (balasan) kejahatan itu.

_____________________________________



Umpama tangkai jering.

Jering adalah sejenis pokok yang mana buahnya dimakan sebagai ulaman, selain daripada itu jering juga dikatakan boleh menyembuhkan penyakit kencing manis, karang batu dan melawaskan buang air kecil . Dalam satu tangkai mengandungi banyaklah buahnya. Kalau kita mengharapkan buahnya jatuh dengan sendiri pasti kita akan kecewa kerana tangkainya sangat kuat melekat pada dahannya. Sebab itulah agaknya orang yang kedekut diumpamakan seperti tangkai jering.

Sesungguhnya Islam melarang umatnya kedekut atau bakhil, sebaliknya Islam menggalakkan orang berharta atau kaya supaya bersedekah, Sedekah ini pula terbahagi kepada dua jenis iaitu sedekah wajib dan sedekah sunat.
Sedekah wajib ialah zakat harta dan zakat fitrah manakala sedekah sunat ialah sedekah yang dikeluarkan secara sukarela yang tidak dikaitkan dengan apa-apa tuntutan wajib. Dilakukan semata-mata ingin mendapatkan pahala atau keredaan Allah.


Sabda Rasulullah.s.a.w. yang bermaksud;
" Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah "

Mafhumnya;
Orang yang memberi sedekah adalah lebih mulia berbanding dengan orang yang menerimanya.

Renungilah warisan kita ini.

Wassalam. Allah Maha Mengetahui

5 comments:

Dee said...

byknyer entry nih..x terkomen..

KUNTONG said...

Saya tertarik dgn entri" kata dulang paku serpih,kata orang kita yang lebih. BEGITULAH.

Lagi satu biasanya "Kuman, kat seberang nampak, gajah kat depan mata, tak nampak."

Leenoh said...

Assalamualaikum.

Dee n Kutong.
Saya cuma menyalinkan balik sahaja, terima kasihlah kepada datuk nenek kita yang memulakannya sebab nasihat mereka yang dicatatkan itu sesuai sepanjang zaman.
Itulah hadiah mereka kepada kita yang amat tinggi nilainya, tentulah rugi kalau kita tidak hargainya.
Hai bersyarah pula aku ni he he he.
Itulah kelemahan manusia, " kuman di seberang lautan nampak, gajah di depan mata tidak nampak" maka berkukuklah berderai-derai, gerak orang supaya bangun menunaikan solat subuh, diri sendiri terjun turun reban terus sahaja mencari makanan.
Saya tidak dapat sembunyikan rahsia kesukaan saya terhadap puisi dan perumpamaan atau keindahan bahasa kiasan dan perbandingan serta berbalaghah ini.
Wassalam.

Hunny said...

Syabas pak Ngah,

Saya suka entri ni. Saya pun peminat pantun, sajak, lagu, syair, sebab adala darah seni sikit2..

Pantun orang Melayu, especially yang lama2, jarang yang merepek..Mesti ada kata2 nasihat.. Lebih kepada adab2 orang Melayu dan Islam. maknanya, peradaban dan agama Islam sejak dulu memang dipelihara dan dijaga, sebab tulah pantun kita pun kaya dengan peradaban melayu dan islam. Cuba tengok lagu2 sekarang, semuanya pasal cinta ajer.. kalau cinta Allah, Rasul, Agama Ibu bapa, okeylah jugak.. ni semuanya jiwang karat jer.. tak ada manfaat.. boleh kira berapa kerat lagu yang beri manfaat pada iman seseorang.. Semuanya impak daripada peradaban manusia sendiri..teknologi makin canggih, manusia pun makin canggih.. kejahatan pun makin canggih..agama entah ke mana.. hilang agama sebab hilang adab manusia.. Usaha Pak Ngah menghidupkan semula pantun2 lama ini, satu usaha yang bagus, untuk menjejaki peradaban Melayu lama,sebagai alternatif kepada generasi muda kita, yang kian lemas di bawa arus teknologi dan 3G.. Mudah-mudahan usaha yang kecil ini akan membuka jalan kepada usaha yang lebih besar di masa depan dan dipermudahkan oleh Allah. Well done Pak Ngah!! Bila nak buat berbalas pantun nasihat dan berkualiti?

Leenoh said...

Hani.

Hani kata bila nak berbalas pantun. Pak Ngah berani pantun sehala je, berselisih dan berbalas ni Pak Ngah tak berani, sebab pantun Pak ngah hentam kromo ja. memang sungguh, bukan lawak-lawak ni.

Tapi kalau Hani buat Pak Ngah nak tumpang ikut, mana tahu nanti Pak Ngah pun jadi pandai macam Hani juga.he he he .

Wassalam.