Saturday, April 24, 2010

Aku dan kawan-kawan kena ligan ( kejar ).

Salam semua.

Dalam mauduk yang lalu aku telah menceritakan kebaikanku menolong ibubapa dan khayalanku kononnya akan membawa ister
iku meronda dengan motor vespa yang akan dibeli dengan wang gajiku setelah berkhidmat dengan kerajaan. Memang pun kenderaan pertama yang aku beli ialah motor vespa, masih aku ingat dengan jelas nombor pendaftarannya KC5827 ketika aku miliki vespa ini cita-citaku telah pun berubah sebab itulah vespa ini aku jual sebelum aku berumahtangga.

Untuk kali ini aku ingin pula mencerita tentang kenakalanku pada zaman kanak-kanak iaitu di antara usia 7 - 10 tahun, aku tidak ingat tarikhnya dengan tepat, pada suatu hari aku bercadang hendak ponteng sekolah, maka aku pun pura-pura sakit kepala kerana pembohongan seperti ini sukar hendak dikesan sama ada benar atau tipu, kalau aku katakan kepada ibubapaku bahawa aku demam tentulah mereka dapat mengesannya. Aku pun memaklumkan kepada ibuku bahawa aku tidak dapat ke sekolah pada hari tersebut kerana sakit kepala, mungkin ibuku telah terpengaruh dengan temberang aku itu, dia bertanya aku dengan bersahaja tanpa berubah air mukanya tetapi bila didengari bapaku dia dengan tegas menyatakan bahawa pengakuan aku itu hanyalah temberang sahaja, lantas dia bertanya sama ada hendak pergi atau tidak, sambil tangannya mematahkan ranting kayu dengan daun-daunya sekali disebatnya aku, nasib baik daun-daun yang banyak itu dapat mengurangkan kesakitanku. Pada ketika itu aku sudah berada di luar rumah dan lengkap berpakaian sekolah. aku menangis dan beralah, aku terpaksa pergilah juga ke sekoah pada pagi itu, begitulah temberangku akhirnya dapat dikesan oleh bapaku yang seolah-olah ada ilmu kasyaf pula pada pagi itu.

Aku ke sekolah dengan berjalan kaki bersama kawan-kawan sekampung.untuk cepat sampai dan kurangkan penggunaan tenaga kami menggunakan jalan pintas, jalan tersebut adalah batas bendang, jalan ini tiada masalah pada musim kemarau tetapi sangat bermasalah kalau musim hujan, jalan akan dipenuhi dengan selut dan air berlumpur, maka terpaksalah kasut sekolah naik tuan.dikilek atau dibimbit, sebaik sahaja sampai berhampiran dengan sekolah barulah kaki dibasuh dan kasut pun dipakai.

Pada zaman itu anak-anak petani memang kelihatan tidak ceria dan tidak bersih seolah-olah sedang memamerkan keluhan dan kesusahan kehidupan yang mereka lalui dan alami bersama ibubapa mereka. Apa tidaknya setiap hari bermandikan air payau dari perigi berdekatan dengan rumah mereka, air payau yang separuh nakal itu meresap masuk ke dalam kulit mereka yang sedang membesar menjadikan kulit itu kelabu dan tiada bercahaya langsung. namun begitu air payau itulah satu-satunya air yang sangat berjasa kepada mereka dalam semua hal penggunaannya.

Setelah selesai masa persekolahan kami pun balik beramai-ramai tidak ubah seperti sekawan lembu atau kerbau pada ketika musim kemarau, di mana kerbau dan lembu dilepas bebas bergerak di seluruh kampung tanpa sekatan, cuma yang membezakannya kerbau berada di tengah petak bendang dan bercampuraduk jantan betina, manakala kami berjalan di atas batas bendang dengan tertib dan teratur menghala ke rumah dalam keadaan panas terik.semuanya terdiri daripada kanak-kanak lelaki sahaja. Kanak-kanak perempuan bersama kumpulan mereka dengan jujurnya terus menuju ke rumah masing-masing.

Demikianlah rutin harian kami pada hari persekolahan, kalau hari hujan daun pisang atau daun keladi yang lebar akan menjadi payung kami untuk terus ke sekolah seperti biasa, itu pun jika hujan tidak lebat, kalau sebalinya bercutilah kami pada hari tersebut.

Dalam keadaan panas terik begitu kekadang rasa puas dan seronok kalau boleh berendam di dalam air, kebetulan pula pada musim kemarau air masin melimpahi sungai kampung kami pada zaman itu, sungai kelihatan seperti laut, airnya membiru dan manawan hati kami yang jarang bertandang ke laut. Kami pun berpakat untuk menggunakan laluan balik yang menghala ke sungai sebelum meneruskan perjalanan ke rumah. Setelah sampai di tepi sungai kami pun pakat londeh pakaian sekolah dan terjun ke dalam sungai, betapa seronok dan nyamannya berendam di dalam sungai, untuk menambahkan keseronokkan dan memeriahkan suasana, kami bermain "aci ligan" setelah selesai undi kami pun mulai main permainan tersebut dengan mengadakan garis panduan secara kasar sebelumnya.

Biasanya salah satu laluan yang ditetapkan ialah semua orang mesti naik ke atas pokok gorah yang berjuntai ke dalam sungai itu dan terjun, maka yang kena ligan dan yang meligan riuh rendahlah dengan gelak ketawa dan ejekan sambil berlari untuk menyelamatkan diri daripada terpaksa menjadi ibu dalam permainan tersebut. Sedang leka bermain tiba-tiba Long Bok seorang penghuni berhampiran sungai itu datang siap dengan ranting kayu di tangannya mengejar kami, kami pun lari berselerak untuk menyelamatkan diri, ada yang kena sebat dan ada juga yang terlepas. Long Bok memang seorang yang sangat bertanggungjawab, niatnya sangat murni dan suci , ingin menyelamatkan kanak-kanak dari mati lemas seperti beberapa kejadian yang diketahui sebelum ini. Walau pun kami sering kena ligan tetapi kami tidak serik.

Sekian....Wassalam.








6 comments:

Nl said...

salam pak ngah...

baru tau ligan tu maksudnya kejar....

menarik........

Leenoh said...

Salam Naqeeb.

Kalau kena ligan arah turun gon ok Naqeeb tapi kalau arah naik gon, mengah dibuatnya.

tunbegia said...

teringat first time naik motor vespa, terbabas jatuh tersungkur kat laman sekolah sebab enjin berat sebelah, kehh

salamm,

Leenoh said...

Salam tunbegia.

Naik vespa mesti pinggul senget sebelah sebab nak seimbangkan dengan injin..he3

tunbegia said...

thanx sudi komen ke blog haku yang xde apa2 tuh, tp haku tak faham loo

Leenoh said...

Salam tunbegia.

Kalau tak faham kenalah banyak kali...nanti akan faham...he3