Friday, December 9, 2011

Perasaan ketika menjejak kaki di Tanah Suci Makkah.

Salam semua.

Dalam perjalanan ke Tanah Suci Makkah mempunyai pilihan sama ada pergi ke Makkah atau ke Madinah terlebih dahulu. Semasa mengisi borang yang disediakan oleh Tabung Haji , kami suami isteri memilih ke Madinah terlebih dahulu kerana ketika itu aku terasa di hati ini ingin menziarahi Rasulullah. s.a.w terlebih dahulu sebelum mengerjakan Haji iaitu suatu ibadat yang terakhir yang disampaikan baginda supaya ditunaikan sekiranya ada kemampuan.

Bagindalah yang menyampaikan segala ajaran Allah kepada kita sehingga umatnya terkeluar dari kegelapan kepada cahaya yang terang menerang dapat menyuluh kehidupan di alam ini, lantas terselamat dari kesesatan.

Atas jasa dan ingatan itulah aku ingin sangat menziarahi baginda terlebih dahulu. Alhamdulillah Tabung Haji mengaturnya seperti kami kehendaki, maka terbanglah kami ke Madinah terlebih dahulu, rupanya cara ini sememangnya dapat memberi kekuatan kepada kami untuk meneruskan perjalanan ke Makkah .

( Sedang aku menulis artikel ini aku rasa terharu, gembira , dan sedih bercampur baur sehingga air mata kasihku kepada Rasulullah.s.a.w. mengalir memenuhi kelupak mata dan keluar membasahi pipiku tanpa disedari kerana mengenangkan jasa baginda yang amat besar kepadaku dan sebahagian perintahnya aku lalai dan tidak mampu mematuhinya seperti yang dikehendaki )


Aku juga rasa pilihan tersebut tepat dan berbaloi, kami memang dapat mengukuh dan menyediakan diri sepenuhnya dari segi emosi atau rohani, sepuluh hari di Madinah berpeluang bersolat hajat, tegasnya berqiamullail memohon kekuatan dan dipermudahkan urusan ibadat haji nanti, kalau di Madinah kami ditempatkan hanya kurang lebih 300 - 400 meter jaraknya dari Masjid Nabawi .

Sebaliknya di Makkah kumpulan kamilah yang paling jauh berbanding dengan tempat penginapan kumpulan lain yang pergi melalui Tabung Haji (Muassasah), aku anggarkan tidak kurang 3km berulang alik ke Masjidil Haram dikira setiap langkah sehingga sampai balik ke hotel, kalau sehari dua kali ke Masjid berarti kita terpaksa berjalan 6km, pada dua minggu selepas sebaik sahaja sampai aku berulang ke masjid 3 kali sehari dan minggu berikutnya hanya dua kali sahaja, dalam kesusahan itu aku mendapat kebaikan turun berat badan sebanyak 5kg menjadikan berat badanku normal sesuai dengan ketinggianku , kini aku masih mempertahankan berat badan tersebut, makan sekadar hilang lapar sahaja, sifat makan berseronok-seronok terpaksa dikikis dan dibuang, sekali sekala membuat senaman pada waktu petang.

sebelumnya aku rasa bimbang akan kesihatanku yang tidak cukup senaman untuk bergerak aktif di Makkah nanti, selain itu seperti aku pernah ceritakan di dalam laman ini bahawa aku sebenarnya seorang pengidap migrain pada suatu ketika dahulu. Aku bimbang ianya akan berulang semula ketika di sana nanti, sekali sekala ketika di sini sebelumnya memang sakit kepala ada juga mengganggu aku. Alhamdulillah ketika aku di Tanah Suci tidak
diganggui sakit kepala walaupun sekali kecuali batuk-batuk seperti kekawan lain.

Berulang alik ke masjid ketika di Madinah secara tidak disedari aktiviti itulah menjadi senaman persediaan melancarkan aktiviti haji di Makkah, badan tidak lagi sakit walaupun terpaksa berjalan kaki jarak jauh, apa tidaknya ketika di Mina kami ditempatkan di khemah yang jaraknya dengan jumrah ( jumrat ) kurang lebih 3km, pergi dan balik berjumlah 6km, dalam jangka masa selama tiga hari itu bermakna kami berjalan kaki sejarak 24km. Dalam ibadat haji persediaan fizikal amat penting dan perlu dirancang awal untuk mengelakkan terganggunya kerja haji tersebut.
Sebenarnya aku rasa serba salah hendak menceritakan pengalamn ini, maklumlah ini adalah kerja ibadat takut nanti timbul riak dan bangga diri, walaupun asal niat di hati ialah hendak memanfaatkan pengalaman ini kepada mereka yang memerlukan atau berdakwah tetapi rasa bimbang itu masih wujud kerana takut-takut terpesong niat tersebut.

Artikel berikut akan muncul........

Sekian dahulu....Wallahu aklam.

2 comments:

Kakzakie Purvit said...

Salam ustaz... berkunjung ke makam rasulullah memang mengundang airmata sayu dan syahdu. Apa lagi saat kita mahu meninggalkan masjid nabawi. Rindu pasti menggamit kita mahu kesana lagi seperti mana kita rasai sebaik balik dari menunaikan ibadah haji... Pasti tertanam dalam hati ingin pergi lagi.

Mudah-mudahan ada peluang lagi buat kita selalu ke sana.

NGINAP SRENGENGE @ SRENGENGE said...

salam tuan haji,

itu bukan riak.......itu ialah jihad.....menegakkan kalimah Allah

wassalam