Saturday, August 29, 2009

Terkenang masa dulu



السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
Dalam entri yang lepas saya telah menceritakan mengenai ais ketul yang dibalut dengan serbuk papan oleh peniaga air batu di tepi jalan atau di tepi simpang-simpang tempat laluan ramai. Pada entri ini saya akan menceritakan pula mengenai kisah-kisah dahulu yang setengahnya telah dilupai orang. Pada zaman saya masih bersekolah dahulu iaitu ketika di peringkat menengah saya d
an kekawan mengayuh basikal sejauh 6 km daripada rumah ke Pekan Langgar yang terletak 6 km jaraknya daripada pekan tersebut. Dari sini saya bersama kekawan menaiki bas ke bandar Alor Setar lebih kurang 8 km dengan tambang sebanyak 25 sen, dari bandar Alor Setar sekali lagi menaiki bas ke sekolah , perkhidmatan bas dari Alor Setar untuk laluan ke kampung kami ketika itu hanya setakat Pekan Langgar sahaja dan perjalanan bakinya terpaksalah kami menaiki basikal, Basikal yang saya tunggangi ditumpangi oleh seorang kawan setiap hari kerana basikal itu sebenarnya kepunyaan beliau tetapi disebabkan beliau tidak mahir menunggang basikal maka diserahkan kepada saya untuk mengendalikannya dan sama-sama mendapat faedahnya. Agak perit juga pada bulan Ramadan menunggang basikal sejauh itu berlebih-lebih lagi dalam keadaan berpuasa dan terdapat pembonceng pula dibelakang.

Pada akhir tahun 60an barulah perkhidmatan bas RIDA ( MARA ) diadakan tetapi ketika itu jalan masih belum diturap dengan tar lagi, jalam masih berkeadaan tanah merah dan berdebu,kekadang debu menyelimuti seluruh badan bas, budak-budak nakal menulis berbagai tulisan di dinding bas tetapi tulisannya disekitar perkataan biasa sahaja kalau ada yang lucah pun tidaklah begitu banyak. Kami memberi gelaran kepada bas itu dengan gelaran Bas Tayammum. Pada mulanya hanya bas pendek sahaja kemudian barulah bas panjang yang muatannya untuk 40 orang tetapi kekadang dimuatnya sekali ganda, namun demikian tiada siapapun mengadu kerana mungkin mereka merasai nasib mereka serupa iaitu kekurangan bas. Kalau mengikut peraturan sepenuhnya akan ada perkara yang tidak beres jadi semua orang TST ( tahu sama tahu ).

Kekadang ibu memberi pula wang yang lebih untuk membeli ikan segar di pekan langgar dalam perjalanan balik dari sekolah nanti, pada zaman itu ikan kembung atau pelaling 1o atau 15 ekor hanya 10 atau 15 sen saha
ja, manakala ikan terbuk hanya 10 sen seekor. Pada ketika itu membeli ikan kembung atau pelaling akan dipandang rendah oleh kekawan, mereka akan perli dengan bertanyakan " beli ikan kembung nak buat baja pokok pisang ka ? " untuk mengelakkan kena perli, ikan yang dibeli itu akan balut litup sehingga tidak kelihatan, penjual tidak membalutnya, ketika itu ikan yang dijual tidak dibalut tetapi dicucuk hidungnya dengan tali yang keras atau dikarang dengan tali seperti karangan bunga dan dibiarkan terdedah begitu sahaja, jadi saya terpaksalah menyediakan kertas surat khabar sendiri. Demikianlah cerita dahulu mengenai ikan kembung, sekarang sekilo RM9.00, kalau ikan bawal dan ikan terbuk tentulah lebih mahal lagi.
Petani-petani hanya sekali sekala sahaja menjadikan ikan laut sebagai hidangan harian mereka, mereka sering mencari ikan di dalam petak sawah, di dalam sungai atau taliair di kampung mereka sebagai hidangan tengah hari atau malam. Beras dan sayuran di tanam sendiri, terdapat juga sayuran yang terpaksa dibeli, mungkin ini bagi mereka yang mempunyai wang dan inginkan kelainan.

Alatan yang kerap digunakan untuk menangkap ikan oleh orang kampung saya ialah pelompat, jala, serkap, bubu, tuwak, penila, serampang, tangkul, memancing dan menahan taut (juga menggunakan kail ). nama-nama itu kebanyakkannya istilah tempatan.

Saya mempunyai sedikit pengalaman menangkap ikan secara menggunakan serkap dan juga lain-lain kaedah, di sini saya hanya ingin menceritakan kaedah menggunakan serkap. Ada dua kaedah menangkap ikan dengan menggunakan serkap ini. Salah satunya dengan cara serkap mengikut nasib iaitu kalau menyerkap itu kena pada ikan maka dapatlah ikan itu atau berhasillah serkapan itu. Cara kedua dengan berjalan meranduk di dalam air sambil melihat ikan berlari kerana gangguan tersebut, apabila nampak ikan berlari maka penangkap ikan akan mengejar ikan itu dan dengan serta merta menyerkap ikan tersebut berpandukan gelumbang air, kesan daripada rempuhan ikan itu tadi. ( lokasinya di dalam bendang ). Biasanya ikan yang ditangkap secara ini kebanyakannya ikan keli, haruan dan sepat, mungkin ikan sahaja yang banyak terdapat di dalam sawah.


Walaupun ikan keli itu berduri atau bersengat dan bisa pula, namun begitu kebiasaannya petani tidak menggunakan sarung tangan semasa menangkapnya sama ada ketika ikan itu terperangkap di dalam serkap atau di mana-mana penangkapan yang mereka lakukan, agaknya kerana alah bisa tegal biasa.

Kekadang bulan Ramadan kebetulan jatuh pada musim menuai atau hampir menuai, seetengah petak padi yang belum dituai masih mempunyai air tetapi agak cangkat atau sedikit, iarnya pula jernih, pada waktu malam petani akan menyuluh ikan di celah-celah pokok padi yang telah menguning , petani akan berjalan di sepanjang tepi-tepi batas sawah atau bendang, setelah melihat ikan yang sedang berenang di dalam air yang jernih itu mereka akan menggunakan serampang dua mata untuk menangkapnya. Mencari ikan cara ini sangat menyeronokkan tetapi perlu ada keberanian, maklumlah pada waktu malam pula, bertambah pula pokok padi pada zaman dahulu jauh lebih tinggi daripada pokok pada sekarang ini, ketinggian pokok padi zaman dahulu mencapai 4 atau 5 kaki.

Entri ini ditangguhkan dahulu ...akan dimurnikan kemudian.
Sekian.Wassalam.

6 comments:

Anonymous said...

Salam Leenoh.
Saya tak dibesarkan di kawasan bendang, jadi "peghak" lah sikit nak masuk petak padi. Hanya tahu menangkul ikan kat tali air je..hehe.

KUNTONG said...

Sdra: Kalau pnglaman sdr di petak bendang, sya pula di kebun getah. Sebelum ke sekolah yg jauhnya l/K 10 batu, sya ke kebun getah mnolong nenek memotong getah.(Sekolah sebelah petang)dan setelah siap, barulah ke sekolah dgn basikal buruk. Tetapi kena naik sampan untuk menyebrang sungai Batu Pahat. Begitulah kehidupann semasa zaman persekolahan dulu. Sekarang sudah amat jauh. Semua mudah, dan sekolah menengah pun banyak.

النعيم الروز said...

السلام عليكم، ساي ساڠت ڬيمر ممباچ قيصه٢ لاما سبڬيني...برڬونا اونتوق ڬناراسي مودا

Leenoh said...

Salam Zaidi.
Selamat berpuasa.
Hahaha baru saya teringat satu lagi cara-cara menangkap ikan iaitu menangkui ( menangkul), menangkul biasanya digunakan di sungai atau taliair sahaja kerana di sana airnya dalam, alat ini tidak digunakan di dalam bendang.
Komen saudara mengingatkan saya kepada penangkapan udang galah yag menggunakan pumpang. Ketika usia muda gulai udang galah amat lazat sekali.Di tempat saya ketika itu udang galah kedatangannya bermusim iaitu di penghujung musim kemarau.

Leenoh said...

Salam Sdr.Kuntong.
Sekarang Azwan dan Jannah berada di Shah Alam.

Berbalik kpd ulasan saudara: Pekebun atau penoreh getah mempunyai cabarannya tersendiri, kekadang belum keluar matahari mereka telah keluar ke kebun keadaan berhutan mengundang banyak berbahaya.

Pendeknya zaman dulu memerlukan semangat yang kental untk menghadapi cabaran sama ada mencari rezeki atau menuntut ilmu.

Membaca buku bertemankan lampu minyak tanah bukan suatu kesusahan bagi orang atau murid zaman dulu.

Kesukaran ini bukan sahaja di Persekutuan Tanah Melayu tetapi di mana-mana sahaja di dunia ini kerana manusia ketika itu belum betul-betul berkongsi kemajuan.

Demikian kehidupan yang telah ditakdirkan Allah kpd kita. untuk masa hadapan dan meneruskan kehidupan marilah kita sama-sama berdoa semoga kejayaan yang kita capai bukan sahaja terhad di dunia sahaja tetapi mencakup dunia dan akhirat, utk itu kita terpaksalah mendampingi mereka yang cintakan al.Quran dan As.Sunnah dan bertuankan mereka yang sentiasa memikirkan hal dunia dan akhirat.

Semestinya mereka itu orang yang mempunyai menampilan Islamnya lebih baik dan solih daripada kita.amin.

Leenoh said...

Waalaikumussalam saudara النعيم الروز.

Saya akui benar ulasan saudara itu kerana di dalam blog saudara termuat sarat lagi dengan kisah-kisah seperti itu dan saya sering membacanya.
Blog saudara sangat menarik, diharap saudara meneruskannya tanpa jemu.