Friday, February 11, 2011

Remaja Islam wajar memahami latar belakang Hari Kekasih ( Valentine)

Salam semua.

Tiada beban, batu digalas.
Remaja Islam yang merayakan Hari Kekasih seumpama tiada beban batu digalas, tiada pun kewajipan untuk mereka berbuat demikian, lantas mereka turut serta mengambil bahagian atau meniru-niru amalan yang dicegah itu dan akhirnya mereka akan menerima beban kesusahan, tidak kurang daripada mereka yang terlibat dengan perayaan tersebut terlanjur perbuatan dalam keasyikan melayan kekasih kononnya. Mereka sebenarnya bukan merayakan apa-apa kecuali melayan nafsu, aktiviti tersebut tidak pernah disarankan supaya mereka terlibat sama. Sebaliknya mereka sentiasa diingatkan supaya tidak terlibat dengan aktiviti seumpama itu kerana perayaan itu bukan amalan Islam, malah dilarang oleh Islam.

Sejarah Hari Kekasih.
Kisah atau sejarah Hari Kekasih ( Valentine) mempunyai beberapa versi, setelah diteliti semua versinya amatlah tidak sesuai remaja Islam turut serta merayakannya. Salah satu versinya Hari Valentine dirayakan bagi meraya dan meraikan sempena kejatuhan Islam di Cordova, Sepanyol.

St. Valentine merupakan orang yang memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam pada tahun 1492.

Dengan jasanya itu, Valentine dianggap sebagai kekasih rakyat. 14 Februari 1492 adalah tarikh kejatuhan Islam di Sepanyol dan dianggap pada hari itu hari kasih sayang kerana mereka menganggap Islam adalah agama yang zalim. Demikianlah hasil carian saya di google.

Tidak wajar sama sekali remaja Islam merayakan hari tersebut, sepatutnya mereka hendaklah melakukan sesuatu dalam keadaan penuh kesedaran bukannya dalam keadaan jahil dan ikut-ikutan semata-mata.

Wajar.

Adalah wajar bagi orang Islam melancarkan apa sahaja program yang bertujuan mencegah para remajanya terlibat dalam apa sahaja aktiviti yang merosakkan aqidah mereka, khasnya menyambut atau meraikan hari tersebut supaya aktiviti remaja Islam akur dengan ajaran Islam itu sendiri.

Manakala orang Kristian yang dikaitkan atau dikatakan merayakan Hari Kekasih tersebut, terpulanglah kepada mereka, mungkin aktiviti itu termasuk di dalam kepercayaan mereka atau sebaliknya wallahu aklam, kita sebagai orang Islam tidak berhak mencegahnya seperti mana mereka juga tidak berhak mencegah program kita yang melarang remaja kita turut serta di dalam aktiviti tersebut.

Dalam hal ini orang Islam seharusnya mengambil sikap akur dengan ingatan Allah di dalam Surah al.Kafirun yang bermaksud,

[1]
Katakanlah (wahai Muhammad): “Hai orang-orang kafir!
[2]
“Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah.
[3]
“Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah.
[4]
“Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat.
[5]
“Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat.
[6]
“Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku”.


Sekian...wallahu aklam.

No comments: