Saturday, February 5, 2011

Membaca al.Quran tetapi tidak sampai ke peringkat pelaksanaannya.

Salam semua.

Fakta dan hujah yang terdapat di dalam artikel ini bukanlah hasil sebuah kajian, sebaliknya sekadar pemerhatian dan pengalaman penulis dengan masyarakatnya sahaja.Tidak dinafikan terdapat ramai ahli masyarakat kita yang rajin membaca al.Quran secara individu, terutamanya mereka yang lanjut usia dan telah melepasi usia peringkat pertengahan, artikel ini lebih banyak memfokuskannya kepada masyarakat awam.

Ramai di kalangan masyarakat awam Islam di negara ini membaca al.Quran sehingga berjaya mengkhatamkannya berbilang kali tetapi sayangnya mereka leka membaca dan terus membaca ayat-ayat al.Quran dalam bahasa Arab (ayat asal yang mereka tidak memahaminya itu) sahaja dan tidak memperdulikan makna dan terjemahannya, situasi ini menyebabkan mereka tidak mengetahui dan memahami apa yang telah dibacanya dan seterusnya tidak dapat melaksanakan dan merealisasikan apa yang telah dibaca.
Sikap ini patut diubah dan memerlukan pihak tertentu memberi kesedaran kepada masyarakat tentang objektif dan matlamat sebenar orang Islam membaca al.Quran.

Matlamat umat Islam membaca al.Quran sebenarnya untuk memahami isi kandungannya dan merealisasikannya di dalam kehidupan akan segala perintah yang termaktub di dalamnya dan dijadikan sebagai cara hidup.( Islam sebagai cara hidup )

Di antara objektif mengaji al.Quran:
1 - Membaca ayat-ayatnya dengan betul mengikut hukum tajwid dan makhrajnya.
2 - Membaca dan memahami makna dan terjemahannya.
3 - Membaca dan memahami tafsirannya.
4 -
Membaca al.Quran dengan lancar dan menghafaznya.
5 - Membaca dan mengetahui sebab-sebab sesuatu ayat itu diturunkan.
6 - Membaca dan mengetahui ayat-ayat yang dimansuhkan hukumnya.
7 - Dan lain-lain lagi.

Membaca berdasarkan kaedah di atas itulah yang dikenali sebagai "mengaji al.Quran" tetapi yang berlaku di dalam masyarakat awam sekarang ini hanya sekadar membaca al.Quran tanpa mengambil berat isi kandungannya. Lanjutan dari aktiviti mengaji al.Quran itulah tertubuhnya Pusat-Pusat Pengajian Tinggi Islam di seluruh dunia yang terdapat pada masa ini, terutamanya Universiti Al.Azhar, Mesir.iaitu di antara universiti yang terkenal, Al.Azhar bersama universiti Islam lain di Timur Tengah telah berjaya mengeluarkan sejumlah ulamak di dunia.Ekoran dari itu Malaysia juga terdapat beberapa buah pusat pengajian tinggi Islam pada masa kini.

Objektif membaca al.Quran di kalangan masyarakat kita perlu ditingkatkan lagi supaya mereka lebih memahami akan hukum - hakam atau isi kandungannya, sekurang-kurangnya setiap rumah memiliki sebuah Kitab al.Quran terjemahan di dalam Bahasa Melayu supaya setiap orang mampu membudayakan budaya al.Quran sebagai budaya diri dan masyarakat .




Sekian...wallahu aklam.

No comments: