Saturday, February 26, 2011

Bahagia itu tersirat di dalam hati.


Salam semua.

Allah memberikan rezeki dan kebahagiaan kepada seseorang itu melalui kaedah dan caranya yang tersendiri. Memiliki kekayaan semata-mata tidak menjanjikan kebahagiaan kepada sesiapa. Rezeki yang cukup itu semestinya diperlukan, tetapi masih banyak lagi elemen lain yang boleh membawa kebahagiaan. Keimanan, keislaman dan ditambah dengan tersiratnya ihsan di dalam hati merupa pakej yang paling utama untuk mencapai kebahagiaan.

Bagi mereka yang terpaksa berhijrah meninggalkan kampung halaman untuk mencari rezeki juga masih menikmati kebahagian yang dikurniakan Allah, walau pun terpaksa tinggal di dalam dangau yang panas dek haba bumbung atau atap zing masih tidak menghalang mereka dari menikmati keseronokan hidup dan kebahagian yang dimaksudkan, mungkin pada suatu ketika tertentu atau sepanjang masa mereka lebih bahagia dari presiden yang menguasai sebuah negara atau jutawan yang sedang berada di dalam rumah besar dan indah di atas bukit yang indah.

Membincangkan mengenai kebahagiaan ini sangat subjektif dan maknawi sifatnya. Oleh itu memiliki rumah besar, menjadi seorang hartawan, jutawan dan berpangkat tinggi bukanlah jaminan menjadi seorang yang bahagia, kebahagiaan itu boleh hinggap di mana-mana, ianya tersirat dan terpahat di dalam hati seseorang mengikut kehendak Allah jua. Kita semestinya perlu sentiasa meminta dan merayu kepada Allah untuk mendapatkan kebahagian yang sangat abstrak sifatnya itu.Sudah tentulah mereka yang bahagia itu adalah mereka yang terpilih dan dipilih Allah.
___________________________________

Rujuk surah al.Baqarah (ayat 201)
Maksudnya:
[201]
Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka”

___________________________________

Orang yang mendapat rezeki yang banyak atau kedudukan yang tinggi di sisi manusia tetapi tidak berpeluang mendapat kebahagiaan, mungkin mereka itu orang yang terpedaya dengan keduniaan yang sementara ini dan tidak memperdulikan cara hidup yang dianjurkan oleh Islam.

Penulis bertanya kepada Man yang sedang berihat di depan dangaunya, adakah Man bahagia menjalani hidup ini ?, sudah tentu sekali jawabnya, " Aku sudah bisa membina rumah batu tiga bilik, memiliki empat lembu dan sekarang sedang mencari sebidang tanah yang berhampiran dengan bandar untuk dibuat rumah dan rumah itu nanti akan disewakan, sudah tentu akan menambahkan rezeki di samping lembu yang empat ekor itu akan bertambah menjadi lapan tidak lama lagi, sekarang isteri aku ke hulu ke hilir menggunakan motorsikal untuk menguruskan apa-apa yang berkaitan dengan rumahtanggaku di kampung, ke kedai, ke pasar dan termasuk ngantar anak ke sekolah, anak-anak juga sihat dan makan minum mereka cukup, Isteri saya juga rasa senang sebab dia mengetahui tempat kerja saya ini kerana dia pernah bersama di sini ketika belum mempunyai anak dahulu, dia dihantar pulang ketika hamil anak pertama, walaupun saya berada berjauhan dengan keluarga tetapi hati saya senang, hati kami senang dan bersyukur kepada Allah, saya tidak selamanya berada di perantauan, insya Allah penghujung tahun ini saya akan pulang ke kampung memulakan penghidupan baru dan saya yakin saya telah berjaya meletakkan asas kejayaan dan kebahagian buat keluarga tersayang"

Sekian...wallahu aklam.

No comments: