Tuesday, February 15, 2011

Muhasabah ringkas pada hari Maulidur Rasul.

Salam semua.

Pada hematku.
Hari ini 12 Rabiul Awal 1432 bersamaan 15 Februari 2011 sebahagian besar daripada orang Islam, khasnya orang Islam di Malaysia minda dan ingatan mereka tertumpu kepada Nabi Muhammad.s.a.w. iaitu seorang Rasul akhir zaman berbangsa Arab yang berketurunan Quraisy. Membawa al.Quran sebagai panduan hidup manusia di dunia. Namun demikian, jika diteliti dan diselami didapati minda dan ingatan mereka tidak sama dan tidak seragam.

Seluruh umat Islam di Malaysia pada amnya mereka menyambut maulidur Rasul pada hari ini dengan menyertai berbagai program yang disediakan, di antaranya mengadakan Perarakan Berpasukan, Majlis Ilmu di masjid atau surau, terdapat juga di kalangan mereka menyertainya sebagai adat sahaja, dari tahun ke tahun sambutannya diadakan tetapi kita masih ditakuk lama dalam menghayati ajaran Islam, terdapat di sesetengah pihak hanya gigih menyediakan sekolah di peringkat rendah sahaja untuk menyampaikan ajaran Islam, manakala di peringkat atasannya kurang berkembang menyebabkan ramai orang awam tidak memahami Islam itu sebagai ad.Din atau secara menyeluruh kerana kekurangan pendakwah yang berwibawa berada di tengah-tengah masyarakat. Dengan itu dakwah lebih tertumpu kepada perkara fardu ain sahaja. Situasinya masih ramai lagi yang belum mengangkat Islam itu ke taraf yang teratas di dalam kehidupan mereka, sebagai contoh mereka tidak menjadikan Islam itu peraturan hidup sepenuhnya, sama ada di dalam keluarga dan juga negara, termasuk tidak berusaha menjayakannya. Apakah golongan ini tidak yakin sepenuhnya dengan Islam...wallahu aklam.

Dalam pada itu mereka yang yakin sepenuhnya dengan keupayaan ajaran Islam, menghayati dan melaksanakannya di dalam kehidupan harian sekadar yang mampu berteraskan persekitaran yang membantu dengan berpakaian menutup aurat, menolak riba dan menolak kemungkaran yang lain dan mereka juga berusaha sedaya upaya agar kepercayaan dan keyakinan itu dilaksanakan di peringkat negara. Ilmu Islam disebarkan kepada masyarakat supaya masyarakat menerima sepunuhnya ajaran Islam dan disematkan di dalam minda mereka.Usaha mereka menjadi sukar dan payah apabila terdapat penghalang di tengah perjalanannya. Penghalang tersebut terdiri dari mereka yang Islam dan juga bukan Islam, mereka yang Islam kekadang tidak menyedari bahawa mereka sedang menjadi batu penghalangnya. Tahap kefahaman Islam yang berbeza inilah yang menyebabkan orang Islam tidak bersatu sepenuhnya.

Ulamak adalah mereka yang mempelajari Islam mengikut tertibnya yang betul dan memiliki ilmu tersebut secara yang sah dan tulen tetapi mereka yang kurang faham Islam ini tidak menjadikan ulamak sebagai contoh dan teladan di dalam kehidupan mereka, sebaliknya mereka menjadikan ilmuan lain sebagai idola mereka, walaupun idola tersebut tidak fasih di dalam ajaran Islam.

Segala ilmu adalah dari Allah.S.W.T oleh itu mereka yang sebenarnya berilmu ialah mereka yang merujuk ilmunya kepada al.Quran dan Hadis, mereka inilah sebenarnya pemimpin dan sepatutnya menjadi ikutan serta uswatun hasanah.
_____________________________________________________

Muhasabah diteruskan dengan meneliti dan merujuk
Surah An.Naml ( ayat 74 - 86 )


[74]
Dan sesungguhnya Tuhanmu sedia mengetahui apa yang terpendam dalam hati mereka dan apa yang mereka nyatakan (dengan tutur kata dan perbuatan).
[75]
Dan tiada sesuatu perkara yang ghaib di langit dan di bumi, melainkan tertulis dalam Kitab yang terang nyata.
[76]
Sesungguhnya Al-Quran ini menceritakan kepada Bani lsrail (perkara yang sebenar-benarnya) mengenai kebanyakan (hal-hal ugama) yang mereka berselisihan padanya.
[77]
Dan sesungguhnya Al-Quran itu menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.
[78]
Sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) akan memutuskan di antara mereka dengan hukumNya, dan Dia lah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.
[79]
Oleh itu, berserahlah kepada Allah, sesungguhnya engkau berada di atas kebenaran yang jelas nyata.
[80]
Sesungguhnya engkau tidak dapat menjadikan orang-orang yang mati (hatinya) itu menerima ajaranmu, dan tidak dapat menjadikan orang-orang yang pekak itu mendengar seruanmu, apabila mereka berundur ke belakang (disebabkan keingkarannya).
[81]
Dan engkau tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang-orang yang buta supaya menjauhi kesesatan mereka; engkau tidak dapat memperdengarkan (seruanmu itu) melainkan kepada orang-orang yang sanggup beriman akan ayat-ayat keterangan Kami, kerana mereka orang-orang yang berserah diri dengan ikhlas.
[82]
Dan apabila sampai masa berlakunya hukuman atas manusia, Kami keluarkan untuk mereka sejenis binatang dari bumi, yang akan menyatakan kepada mereka, bahawa manusia telah tidak meyakini ayat-ayat keterangan dan pengajaran Kami.
[83]
Dan (ingatlah) hari Kami himpunkan dari tiap-tiap umat sekumpulan besar orang-orang yang mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan perjalanan masing-masing.
[84]
Sehingga apabila mereka datang (ke tempat pengadilan), Allah Taala berfirman: “Adakah kamu mendustakan ayat-ayat keteranganKu dengan tidak lebih dahulu kamu mengetahuinya secara meliputi? Atau apakah yang kamu telah lakukan?”
[85]
Dan jatuhlah hukuman atas mereka (dengan azab) disebabkan kezaliman mereka (berlaku kufur ingkar), lalu mereka diam membisu.
[86]
Tidakkah mereka memerhatikan bahawa Kami telah menjadikan malam untuk mereka berehat padanya, dan menjadikan siang terang-benderang? Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang beriman.


Sekian...wallahu aklam.

No comments: