Friday, February 4, 2011

Betulkan kerajaan dalam diri, maka betullah kerajaan di luarnya

Salam semua.

Artikel kali ini saya cuba menjelaskan secara ringkas mengenai hakikat kehidupan manusia di dunia ini berdasarkan kefahaman dan pada hemat saya buat masa ini, anda mungkin tidak bersetuju atau sebaliknya , sama ada bersetuju atau sebaliknya tidak menjadi apa-apa persoalan bagi saya kerana penulisan ini sekadar ingin menyampaikan pendapat dan pandangan yang sedia tersirat di dalam minda sendiri. Hasil atau kesan pembacaan dan pembelajaran dari al.Quran dan al.Hadis atau tegasnya dari ilmu Islam tentang kehidupan di dunia ini.

Allah ciptakan dunia atau alam ini semata-mata untuk manusia, di sana terdapat berbagai-bagai makhluk ciptaan-Nya, di antara ciptaan itu ialah bumi, langit, tumbuh-tumbuhan, laut, lautan, sungai dan berbagai-bagai lagi, semuanya itu adalah untuk manusia, Maka manusia dipertanggungjawabkan untuk memelihara dan menjaganya, lantas mereka dilantik menjadi khalifah di atas muka bumi ini.

Setiap manusia adalah khalifah di atas muka bumi ini dan kewajipan mereka mengikut kadar amanah yang dipegang masing-masing, semuanya itu adalah tanggungjawab dan akan disoal dan dinilai oleh Allah, sejauh mana berlakunya keadilan atas pemerintahan dan pengurusan tersebut pada kemudian hari nanti (akhirat).
Di sana dijanjikan ganjaran baik untuk mereka yang beriman dan baik dan balasan siksaan untuk mereka yang jahat.

Hakikat dan asas ini manusia wajib mengetahui dan memahaminya, sekiranya manusia tidak mendapat bantuan dari Allah, mereka tidak mungkin dapat menguruskan dunia ini dengan baik dan sempurna bagi dijadikan sebagai ladang sementara kehidupan mereka kerana di akhirat jua dunia yang kekal abadi. Oleh itu mereka disedia dan dibekalkan oleh Allah kitab panduan yang diturunkan kepada mereka sejak zaman Nabi-nabi yang terdahulu, kitab yang terakhir pula diturunkan kepada pesuruh-Nya Nabi Muhammad.s.a.w. Baginda kemudiannya menyampaikan serta perjelaskan panduan itu kepada umat manusia pada zaman baginda, terdapat di kalangan manusia mengimani serta mempercayainya dan menjadi pengikut baginda dan pengikut tersebut berkembang zuriatnya sampailah ke Hari Kiamat.Dalam pada itu terdapat ramai juga yang tidak beriman dengannya.

Kitab-kitab panduan yang dimaksudkan ialah Kita Taurat kepada Nabi Musa, Zabur kepada Nabi Daud, Injil kepada Nabi Isa dan al.Quran kepada Nabi Muhammad.s.a.w. Kitab-kitab inilah Allah perintahkan kepada semua manusia di dunia supaya menjadikan kitab-kitab tersebut sebagai panduan hidup mereka. Dengan berpandukannya kehidupan mereka akan selamat di dunia dan akhirat. Pada zaman ini ( Zaman umat Nabi Muhammad.s.a.w.) Allah perintahkan supaya berpandukan kepada kitab al.Quran kerana al.Quran Allah turunkan ke dunia ini lengkap dengan panduannya, sebahagian hukum-hukum dan panduan serta kisah yang terkandung di dalam kitab-kitab terdahulu diceritakan di dalamnya, kisah-kisah tersebut adalah sebagai panduan dan juga pengajaran kepada umat zaman ini. Di sana terdapat berbagai kisah sejarah kehidupan manusia yang melibatkan rasul, nabi, dan manusia lainnya.

Manusia yang beriman dan mempercayai serta faham akan panduan tersebut , mereka ini akan menjalani hidup yang diakui dan diredai Allah, semua ilmu pengetahuan yang diperlukan akan tersirat di dalam hati atau diri mereka, kalaulah hati atau jantung (Qalbu - Qulub) itu sebagai pusat pemerintahan diri atau kerajaan di dalam diri seseorang manusia maka perjalanan kerajaan itu ( seseorang manusia itu ) akan berjalan seperti mana yang dikehendaki oleh Allah. Jika sebahagian besar penduduk dunia berpendirian dan berkeadaan demikian maka berlaku dan wujudlah kerajaan yang betul dan adil di dunia ini.
________________________________

Dari Abu Hurairah An Nu’man bin Bayir r.a katanya, aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda :
“ Ketahuilah ! Bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya dan apabila rosak, rosaklah sekaliannya. Ketahuilah ! Itu yang dikatakan hati “. ( Maksud Hadis : Riwayat Bukhari dan Muslim )

____________________________________
Sekian...wallahu aklam.


No comments: