Sunday, February 6, 2011

Aqidah adalah teras dan tunjang keislaman seseorang individu.

Salam semua.

Aqidah adalah teras dan tunjang keislaman seseorang individu.
Sekiranya tanpa aqidah yang betul,segala ibadat seperti solat, puasa, zakat, haji, khenduri, sedekah semuanya akan menjadi sia-sia , setiap orang Islam wajib memelihara aqidah sepanjang hayat supaya tidak berlaku syirik dan munafik.

Syirik membawa maksud menyengutukan Allah atau menyamakan-Nya dengan makhluk, lantas mempercayai ada kuasa lain yang menguasai hidup mereka, perbuatan tersebut boleh berlaku dengan sebab mereka melaksanakan keperluan kepercayaan tertentu, seperti mengadakan upacara tolak bala atau takut ditimpa bala jika tidak melakukan sesuatu berdasarkan kepercayaan karut dan khurafat itu. Situasi ini menggambarkan mereka tidak mentauhidkan Allah atau dalam ungkapan yang lain mereka mempercayai adanya satu lagi kuasa ghaib selain dari kuasa Allah. Seolah-olah kuasa itu mengatasi kuasa Allah atau bersaing dengan-Nya. Hati mereka tidak percaya sepenuhnya kepada Allah.

Tegasnya mereka percaya Allah dan juga percaya kuasa lain yang menyamai kuasa Allah. Kepercayaan seumpama inilah yang dimaksudkan "syirik" dengan Allah, iaitu suatu dosa yang tidak akan diampunkan Allah.

Banyak lagi kepercayaan yang boleh menyebabkan syirik, umat Islam seharusnya sentiasa menyemak dan mengkaji sesuatu kepercayaan turun temurun yang diragui dan dipertikaikan yang masih mereka amalkan dengan merujuk kepada al.Quran dan al.Hadis untuk memastikan hukum mengamalkannya.

Manakala munafik pula ialah mereka yang berpura-pura percayakan Islam tetapi sebenarnya mereka hanya percaya sebahagian sahaja. Ini dibuktikan melalui tingkah laku mereka yang sengaja melanggar perintah Allah, seperti khianat akan amanah yang dipertanggungjawabkan,berdusta, mungkir janji, bergaduh secara melampau dan seumpamanya.

Jika perbuatan itu berlaku di kalangan umat Islam bermakna mereka yang berkenaan tidak mempunyai teras dan tunjang Iman dan Islam di dalam diri mereka. Maka Islam sedemikian diragui sifatnya dan situasi ini berbahaya bagi dirinya dan orang Islam yang lain, Ubat bagi merawat segala penyakit tersebut adalah dengan menambahkan ilmu pengetahuan mengenai Islam, khasnya ilmu Aqidah (Tauhid), menghayati budaya ilmu dapat mengurangkan kepercayaan karut tersebut dan mengukuhkan teras dan tunjang keimanan dan keislaman.

Umat Islam yang sebenar mempercayai Tuhan ( Allah ) Yang Maha Esa , inilah teras yang dimaksudkan dan di samping itu dilarang keras menyengutukan-Nya. Kepercayaan yang menyebabkan syirik itulah yang menyebabkan gugurnya teras dan tunjang keimanan dan keislaman seseorang. Tanpa teras dan tunjang tersebut maka tiadalah Iman dan Islam baginya.
______________________________________

Petikan ayat-ayat yang menyatakan tentang aqidah Islam.
[1] Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; [2] “Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; [3] “Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; [4] “Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya”.
(Surah Al.Ikhlas)
________________________________________


[51] Dan Allah berfirman: “Janganlah kamu bertuhankan dua tuhan, kerana sesungguhnya Tuhan itu hanyalah Tuhan yang satu; maka kepada Akulah sahaja hendaknya kamu gerun gementar. [52] Dan bagiNyalah (hak milik) segala yang ada di langit dan di bumi; dan kepadaNya sahaja tertentu ibadat dan ketaatan selama-lamanya; (sesudah kamu mengetahui yang demikian) maka tidaklah patut kamu takut kepada yang lain dari Allah. [53] Dan apa-apa nikmat yang ada pada kamu maka adalah ia dari Allah; kemudian, apabila kamu ditimpa kesusahan maka kepadaNyalah kamu meraung meminta pertolongan.
(Surah An.Nahl)
____________________________________________
Allah memerintahkan orang-orang yang beriman supaya memeluk Islam dan mematuhi segala hukum-hukumnya iaitu dengan mematuhi segala suruhan dan meninggalkan segala larangan-Nya tanpa mengecualikan mana-mana bahagian atau hukum yang terdapat di dalam al.Quran.
___________________________
[207]
Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula Amat belas-kasihan akan hamba-hambanya. [208] Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.
[209] Maka kalau kamu tergelincir (dan jatuh ke dalam kesalahan disebabkan tipu daya Syaitan itu), sesudah datang keterangan-keterangan yang jelas kepada kamu, maka ketahuilah bahawasanya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

(Surah Al.Baqarah)
_________________________________________


Sekian...wallahu aklam.


No comments: