Tuesday, July 7, 2009

Penipuan di dalam keluarga.

Salam Semua.

Penipuan di dalam keluarga sendiri.

Ini bukan cerita mengumpat,
ini juga bukan cerita dengki,
ini semestinya bukan cerita bohong.
Juga bukan cerita dongeng.

Ini
sesungguhnya cerita benar untuk dijadikan sempadan pada mereka yang sedang meniti perjalanan hidup yang masih jauh ke hadapan
.

Allah melarang manusia memakan harta orang lain jelas diterangkan di dalam al.Quran dan al.Hadis, semua larangan ini diketahui oleh ramai manusia termasuk yang pemurah , sederhana dan mereka yang kedekut. Mereka yang pemurah dan sederhana dapat diperlembutkan hati mereka dan mematuhi perintah tersebut. Tetapi mereka yang kedekut dan tamak sukar mematuhinya walaupun memahami kandungan dan kehendak perintah Allah itu.

Al.kisah maka tersebutlah cerita yang benar ini diceritakan padaku oleh orang-orang yang berada di kampungku dan di sekelilingku, untuk apa cerita itu disampaikan kepadaku, aku kurang periksa, mungkin ingin meluahkan perasaannya yang terpendam dan terendam di dalam hati sekian lama. luahan ini agaknya dapat melegakan dan meredakan sedikit geram di hati yang sedang membara. Padanya menceritakan ini dapat juga berkongsi kesedihan dan gundah di hati. lagi pun menceritakan hal ini bukan sampai dianggap perbuatan durjana berbanding dengan kisah yang telah berlaku.

Maka tersebutlah seorang wanita yang telah lanjut usianya meninggalkan alam fana ini menuju ke alam baqak. Tidaklah dibawanya harta dan anak-anaknya sekali kerana mematuhi adat meninggalkan alam fana, semua mereka yang telah pergi mematuhi peraturan itu, walaupun tidak termaktub di mana-mana pejabat di dunia ini.

Harta yang ditinggalkan hanya beberapa ekar tanah bendang yang amat senang dikira jumlahnya dan juga senang difaraidkan kepada anak-anak lelakinya kerana tiada siapa lagi yang tinggal, setelah peninggalan ibu mereka maka tinggallah mereka tanpa kakak dan adik perempuan. Mereka semua faham bahawa harta peninggalan ibu mereka sangat senang hendak difaraidkan, budak Sekolah Rendah pun mampu mengiranya, inikan pula mereka yang telah dewasa.

Malangnya abang sulung yang ditugaskan menjadi ketua menguruskan faraid ( pembahagian harta ) telah mencipta satu konspirasi kononnya ibu mereka telah berwasiat supaya harta tersebut diberi lebih kadarnya kepada beliau , tetapi entah macam mana harta itu hanya diambil daripada salah seorang adiknya sahaja, rahsia ini sebenarnya diketahui oleh adik berkenaan . Pada suatu malam kebetulan adik ini pergi menziarahi abangnya yang dikasihi itu, apabila sampai di rumah abangnya beliau terdengar perbualan abangnya dengan isteri dan kawan karib abangnya mengenai rancangan penipuan tersebut iaitu malam sebelum abangnya ke Pejabat Tanah. Adik-adik telah terikat dengan tradisi yang sangat kuat dalam didikan ibu bapa mereka . mereka tidak akan menentang abang mereka secara berdepan. Pada malam itu setelah adik ini mendengar segala-galanya beliau pun balik ke rumah tanpa diketahui kehadirannya oleh mereka bertiga tadi. Cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar, agaknya pepatah ini tidak diamalkan oleh syarikat penipu ini atau memang Allah ingin memberi peluang kepada adiknya supaya benar-benar kenal abangnya yang tidak jujur itu.

Malang dan amat malang, sedih dan amat menyedihkan, setelah adik ini kembali ke rumah, beliau berasa amat risau sehingga tidak dapat melelapkan mata, macam mana tidak risau tanah bendang yang sekangkang kera itu terpaksa pula sebahagiannya diserahkan kepada abangnya yang lebih kaya dan senang daripadanya, bagaimanakah masa depan anak-anaknya, tidakkah abangnya memikirkan hal anak-anak saudaranya yang sedang membesar, makan, minum, pakaian dan pendidikan perlu dinafkahkan. Sedangkan abangnya seorang yang lebih faham hal-hal hukum ini melebihi dirinya. Itulah persoalan yang berputar di dalam mindanya yang telah pun sedia berat memikirkan hal kehidupan harian yang amat perit untuk membesarkan anak-anak dalam keadaan kemiskinan, sudah jatuh ditimpa tangga pula.

Berterusan hari demi hari adiknya tidak dapat tidur sampailah sekian lama, akhirnya adiknya demam dan lebih malang lagi demamnya itu adalah demam panas, ditambah pula pada ketika itu pengetahuan tentang perkara kesihata ini amat kurang. Demamnya itu berakhir dengan adiknya itu hilang sebahagian ingatan. Pada masa beliau hilang ingatan itu beliau sangat marah kepada dua orang penipu berkenaan, adiknya menganggap lelaki tersebut bertindak sebagai penasihat kepada abangnya, tidak pula kepada seorang lagi, mungkin seorang lagi itu bukan lawan beliau kerana seorang wanita. Bagaimanakah dengan anak-anak adiknya, anda gambarkanlah sendiri bagaimana anak-anak saudaranya itu membesar dalam keadaan bapa mereka yang tidak lagi seperti dahulu.

Akhirnya tanah tersebut dikerjakan mengikut pembahagian yang diberitahu oleh abangnya tadi. Itulah pada anggapan adik dan juga abangnya yang tercatat di dalam geran tanah yang telah difaraidkan itu. Mereka pun ambillah habuan masing-masing.
Maka hiduplah adiknya dengan anak-anaknya yang ramai dalam keadaan kesihatan yang sering terganggu, selebihnya anda bolehlah fikirkan sendiri, buatlah andaian sendiri.
________________________

Untuk Renungan.

Firman Allah bermaksud:

"Allah mensyariatkan bagimu tentang (pembagian pusaka untuk) anak-anakmu. Yaitu: bahagian seorang anak lelaki sama dengan bahagian dua orang anak perempuan; dan jika anak itu semuanya perempuan lebih dari dua, maka bagi mereka dua pertiga dari harta yang ditinggalkan; jika anak perempuan itu seorang saja, maka ia memperoleh separoh harta. Dan untuk dua orang ibu-bapak, bagi masing-masingnya seperenam dari harta yang ditinggalkan, jika yang meninggal itu mempunyai anak; jika orang yang meninggal tidak mempunyai anak dan ia diwarisi oleh ibu-bapaknya (saja), maka ibunya mendapat sepertiga; jika yang meninggal itu mempunyai beberapa saudara, maka ibunya mendapat seperenam. (Pembagian-pembagian tersebut di atas) sesudah dipenuhi wasiat yang ia buat atau (dan) sesudah dibayar utangnya. (Tentang) orang tuamu dan anak-anakmu, kamu tidak mengetahui siapa di antara mereka yang lebih dekat (banyak) manfaatnya bagimu. Ini adalah ketetapan dari Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana".
Surah An.Nisaa' (11)

"Dan bagimu (suami-suami) seperdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isterimu, jika mereka tidak mempunyai anak. Jika istri-istrimu itu mempunyai anak, maka kamu mendapat seperempat dari harta yang ditinggalkannya sesudah dipenuhi wasiat yang mereka buat atau (dan) sesudah dibayar utangnya. Para istri memperoleh seperempat harta yang kamu tinggalkan jika kamu tidak mempunyai anak. Jika kamu mempunyai anak, maka para istri memperoleh seperdelapan dari harta yang kamu tinggalkan sesudah dipenuhi wasiat yang kamu buat atau (dan) sesudah dibayar utang-utangmu. Jika seseorang mati, baik laki-laki maupun perempuan yang tidak meninggalkan ayah dan tidak meninggalkan anak, tetapi mempunyai seorang saudara laki-laki (seibu saja) atau seorang saudara perempuan (seibu saja), maka bagi masing-masing dari kedua jenis saudara itu seperenam harta. Tetapi jika saudara-saudara seibu itu lebih dari seorang, maka mereka bersekutu dalam yang sepertiga itu, sesudah dipenuhi wasiat yang dibuat olehnya atau sesudah dibayar hutangnya dengan tidak memberi mudarat (kepada ahli waris). (Allah menetapkan yang demikian itu sebagai) syariat yang benar-benar dari Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Penyantun".
Surah An.Nisaa' (12)
______________________

Untuk meringkaskan cerita. Malangnya setelah lama masa berlalu sampailah masanya pula anak-anaknya membuat faraid harta yang ditinggalkan olehnya. Rupa-rupanya di dalam geran harta tersebut memang dibahagikan dan dicatatkan sama banyak kerana sememangnya pun mereka semuanya lelaki seperti disebutkan tadi senang dikira kerana pembahagiannya sama banyak. Terbongkarlah rahsia penipuan yang diusahakan bapa mereka. Maka harta tadi terpaksalah diberi balik kepada anak-anak adiknya tadi kerana mereka derdua telah meninggal dunia. bagaimana pula dengan hasil yang dikutip atau diperolehi dalam jangka masa selepas faraid sehingga ke tarikh tersebut, adakah perlu diberi balik, tentulah wajib diberi balik atau minta halal tetapi kedua-keduanya tidak dilakukan. demikianlah penipuan di dalam keluarga berlaku dalam keadaan bersopan santun dan lemah lembut serta penampilan kasih sayang yang penuh dengan kepura-puraan.

Berbalik kepada wasiat yang diwar-warkan oleh abangnya, wasiat tersebut tidak boleh digunapakai kerana wasiat tidak mengatasi pembahagian faraid yang telah ditentukan oleh Allah Taala kepada waris. Sekiranya ingin memberi lebih harta kepada anak tertentu beliau hendaklah menguruskannya semasa beliau masih hidup tetapi kalau tiada alasan yang kukuh akan timbul persoalan keadilan. wasiat itu wajar sekiranya dibuat untuk anak angkat. bukan dibuat untuk anak sendiri.

Al.kisah maka tersebutlah pula kisah yang kedua, seorang kakak yang amat cun menipu adiknya ketika ibu mereka sedang sakit , Ibu tua yang uzur ini hanya mempunyai dua orang anak sahaja, iaitu putera dan puteri, ibu tua ini tinggal bersama anak perempuannya, anak perempuan inilah yang lebih banyak menguruskan hali ibu mereka, maklumlah tinggal serumah dan di bawah jagaannya pula, perempuan sesama perempuan pula senanglah hendak diuruskan, ibu tua ini mempunyai banyak hartanah , tanahnya terletak di beberapa lokasi, tapak kampungnya berada di kawasan bandar dan yang lainnya tidak beberapa jauh dari bandar, anak dua beradik ini sangat akrab hubungan mereka, adik lelakinya memanggil dengan panggilan kakak dan kakaknya pula memanggil adiknya dengan panggilan adik, tidak dengan memanggil nama adiknya, begitulah mesranya mereka berdua, adik lelaki ini sangat sayang kepada kakaknya yang cun melacun itu.

Pada suatu hari salah seorang daripada ahli keluarga mereka yang bekerja di Pejabat Tanah telah terlihat dan mengetahui bahawa kakak yang cun ini telah menukarkan sebahagian besar daripada geran tanah ibu mereka kepada namanya. Perkara ini dimaklumkan kepada adik lelakinya, adik lelakinya tentulah terperanjat besar tetapi beliau mengambil sikap mendiamkan diri dan membawa diri setelah beliau pasti bahawa cerita kakaknya bertindak menipunya itu memang betul dan benar. beliau akhirnya hanya mendapat sedikit yang bakinya sahaja, kalau mengikut hak yang sebenar beliau akan mendapat sekali ganda berbanding dengan kakaknya.

Bilakah proses ini berlaku, ramai menyatakan berlaku semasa ibunya sakit ketika itulah beliau meminta ibunya menandatangani borang-borang yang berkenaan tanpa disedari tujuan penipuan tersebut. kalaulah betul andaian itu, bermakna ibu tidak menyedarinya sehinggalah akhir hayat. Akhirnya keluarga ini berpecah dan anak-anak kakaknya yang turut mendapat harta tersebut pun tidak menikmati kebahagiaan.Demikianlah orang tamak tidak kenal adik beradik atau saudaranya sendiri.


Topik ini bukan bertujuan memburukkan sesiapa , sebaliknya ingin mengajak diri sendiri dan kekawan semua supaya sama-sama mengelak daripada perlakuan tersebut dan jadikanlah cerita ini sebagai sempadan serta fahami dan taatilah maksud firman Allah yang dipaparkan.

Sekadar ini dahulu. Wassalam.

4 comments:

Anonymous said...

Salam Leenoh.

Makan harta anak yatim macam kes ni memang dosa besar, tak selamat didunia...dibalas pula di akhirat,

Leenoh said...

Salam Zaidi.
Masalah tanah di kalangan orang kita memang telah sampai ke tahap merumitkan, peralihan dari satu genarasi ke satu genarasi tidak berjalan lancar.
Tanah satu geran banyak tuan yang dilalui projek Sg. Muda di tengah-tengah kawasan setengahnya belum diselesaikan. Dalam hal ini pejabat tanah pun agaknya kurang proaktif.Walaupun ini adalah tanggungjawab tuan tanah atau waris.
Saya mempunyai banyak juga cerita orang kita tidak patuh faraid ini. Haram jenis ini kurang mendapat paparan, mungkin ianya sensitif, perlu nyatakan walaupun rasanya pahit.

Mak Su said...

Ya Allah, jauhkanlah saya dari tamakkan harta dunia ni.... amin

Leenoh said...

Salam Mak Su.
Semoga Allah menjauhkan diri kita daripada bersifat tamak dan pentingkan diri .