Thursday, July 2, 2009

Silaturrahim mampu menjana perpaduan.



السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ

Perintah Allah Taala dan Rasul-Nya supaya umat manusia, khususnya umat Islam mengukuhkan silaturrahim di antara mereka mampu menjana perpaduan ummah. Perpaduan yang membawa arti sebenarnya. Perpaduan atas dasar menyahut seruan Islam dan menghayatinya, bukan perpaduan atas dasar akal dan minda tanpa menghayati wahyu Allah. Perpaduan tanpa menghayati wahyu tidak akan bertahan lama kerana ianya lebih kepada suatu usaha bersama untuk mempermudahkan kehidupan dunia semata-mata.

Hubungan silaturrahim amat penting dilaksanakan di dalam kehidupan seorang Islam kerana ianya adalah perintah Allah yang sangat serius, diulang peringatannya oleh Rasulullah.s.a.w. supaya silaturrahim ini tidak diabaikan oleh umatnya.

Walaupun memutuskan silaturrahim itu merugikan kedua-dua pihak tetapi manusia tetap tidak menyedarinya lantas perbuatan itu berlaku berterusan, terdapat di kalangan manusia memiliki kemahiran marah yang amat kukuh pada dirinya sehingga hilang kemahiran memaafkan orang lain seperti tidak menyedari bahawa memaafkan orang lain itu suatu keuntungan akan diperolehi di dunia dan di akhirat. juga menafikan bahawa setiap orang pernah melakukan kesalahan dan kesilapan, sebenarnya kebenaran dan kesalahan itu mempunyai perbezaan yang sangat jelas dan boleh dinilaikan oleh setiap orang, yang benar itu tetap benar dan yang salah itu tetap salah, penilaian Allah tepat manusia tidak mampu memutarbelitkannya tetapi manusia tetap tidak mahu mengakui kesalahan melainkan mereka yang sanggup beralah dan memaafkan , hanyalah mereka yang kembali merujuk kepada ajaran Allah dan Rasul-Nya dengan patuh dan taat. Mereka yang ego dan sobong akan terus di dalam kerugian.

Firman Allah bermaksud;
Perkataan yang baik dan pemberian maaf lebih baik dari sedekah yang diiringi dengan sesuatu yang menyakitkan (perasaan si penerima). Allah Maha Kaya lagi Maha Penyantun.
Surah Al.Baqarah (263)
_____________________

Silaturrahim adalah wasilah ke arah perpaduan.
______________________

Ziarah adalah salah satu cara untuk mengikatkan hubungan silaturrahim, meraikan tetamu sesuatu yang amat diambil berat dan ditegaskan oleh Nabi.s.a.w. Kekawan atau ahli keluarga yang jarang ditemui kerana tinggal berjauhan maka eloklah kita mengunjunginya supaya dapat mengeratkan silaturrahim semula, berjabat tangan dan bersentuhan akan memberi semangat baru kepada hubungan keluarga atau persahabatan, amalan ini baik dilakukan, kita tidak berdaya untuk mengetuk setiap pintu rumah ahli keluarga atau kekawan tetapi masih boleh dilakukan sekadar yang mampu dan diizinkan Allah.
Sabda Rasulullah.s.a.w. "Setiap perbuatan baik ( makruf ) adalah sedekah".
________________

Marilah sama-sama kita merenungi beberapa petikan Hadith berikut.

(1) Dari Abu Hurairah.r.a. katanya Rasulullah.s.a.w. bersabda : Bacalah (al.Quran)
" seandainya kamu berkuasa, adakah kamu membuat kerosakan di muka bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan (kasih sayang)?. Mereka itulah orang-orag yang dikutuk Allah dan ditulikan-Nya telinga mereka dan butakan-Nya penglihatan mereka. Maka adakah mereka tidak memerhatikan al.Quran, ataukah hati mereka telah terkunci?
( Muhammad 47 : 22 - 24 )


(2) Dari 'Aisyah.r.a. katanya Rasulullah.s.a.w. bersabda: " Arrahim" (kasih sayang) itu tergantung di 'Arasy. Katanya, " Siapa yang menghubungkanku, menghubungi pula Allah akan dia dan siapa memutusiku, memutusi pula Allah akan dia ".

(3) Dari Muhammad bin Jubair bin Muth'im.r.a. katanya bapanya mengkhabarkan bahawa Rasulullah.s.a.w. bersabda: Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturrahim".

(4) Dari Anas bin Malik.r.a. katanya Rasulullah.s.a.w. bersabda: " Janganlah kamu saling marah, jangan saling dengki, dan jangan pula saling tidak acuh antara satu sama lain. Tetapi jadilah kamu semua bersaudara. Tidak halal bagi seseorang muslim menjauhi saudaranya (sesama muslim) lebih dari tiga hari".

(5) Dari Abu Ayyub Al.Ansari.r.a. katanya Rasulullah.s.a.w. bersabda, " Tidak halal bagi seorang muslim tidak bersapaan dengan saudaranya (sesama muslim) lebih dari tiga malam. Keduanya saling bertemu juga, tetapi mereka saling tidak acuh antara satu sama lain. Yang paling baik di antara keduanya ialah yang lebih dahulu memberi salam (menyapa)".
__________________

Hanya sekadar ini dahulu, sama-samalah kita bermuhasabah diri untuk kebaikan bersama.


Sekian.Allah Maha Mengetahui. Wassalam.

4 comments:

Anonymous said...

Salam Leenoh.

Entri yang bertepatan sekali dengan keadaan domestik yg semakin bercelaru ni. Alim ulama' perlu campur tangan dan selamatkan perpaduan sebelum diturun bala ke atas sesuatu kaum. Sudah terlalu banyak kaum-kaum dan kota-kota yang telah dilenyapkan Nya.

Leenoh said...

Salam Zaidi.
Ya, mereka tidak boleh mendiamkan diri , walaupun kewajipan itu dituntut ke atas setiap orang, tetapi orang yang Allah berikan ilmu melebihi orang lain mereka lebih utama dituntut melibatkan diri.

Ramai yang inginkan perpaduan, sebahagiannya perpaduan kerana kepentingan dunia dan sebahagiannya pula ingin menjana perpaduan yang akan membawa kebaikan di dunia dan di akhirat.

Apapun hendaklah kita bertolong tolongan atas kebaikan dan takwa kepada Allah dan janganlah bertolong tolongan pada perkara dosa dan permusuhan.

Allah akan murahkan rezeki dan panjangkan umur orang yang suka menghubungkan silaturrahim.

Mak Su said...

tq leenoh, insyallah, saya masih belajar, dan akan cuba perbaiki diri

Leenoh said...

Salam Mak Su.
Kita serupa sama-sama belajar, ilmu itu bukan saya yang punya, Ilmu itu Allah dan rasul yang punya, saya cuma salinkan diskrin ini sahaja,
Insya Allah kita sama-sama perbaiki diri masing-masing. Kalau ada usaha insya Allah ada kejayaan.