Friday, May 4, 2012

Ibu bapa wajib mendidik anak-anak mereka.

Salam semua.

##########################################################

 BERI LALUAN untuk IKLAN SEBENTAR.

Tanah untuk dijual..
Lokasinya:
Kampung Seriab.Tok Terang. Perlis.
Sesiapa yang berminat sila hubungi En.Zakri..0194786047.
 ##############################################

Hari ini adalah hari Jumaat seperti biasa lelaki muslim diwajibkan menunaikan solat fardu Jumaat kecuali mereka yang sedang bermusafir, sebelum pergi menunaikan solat Jumaat aku hanya menjamah sedikit makanan supaya tidak mengantuk atau terasa lapar ketika sedang solat, ( Imej ihsan http://www.smaai.bpi.edu.my ) kalau makan banyak pula akan mengantuk ketika khutbah disampaikan oleh khatib.Alhamdulillah, hari ini aku tidak mengantuk dan tidak rasa lapar ketika mendengar khutbah dan bersolat.

Pendidikan.
Khutbah hari ini menyentuh secara panjang lebar mengenai kewajipan ibu bapa mendidik anak-anak  mereka.Kanak-kanak ibarat kain putih ibu bapalah yang akan mencorakkannya, demikianlah pesanan Nabi Muhammad.s.a.w.Itulah di antara yang disebut di dalam khutbah hari ini. Mendidik anak-anak oleh ibu bapa  bukanlah suatu kebetulan tetapi ianya suatu kewajipan yang mesti ditunaikan.
   _______________________________________

Sabda Nabi Muhammad saw yang bermaksud : 
“Anak-anak yang baru dilahirkan seumpama kain putih, terpulang pada penjaganyalah untuk mencorakkannya (mendidik) menjadi Islam, Yahudi, Majusi atau Nasara”.
   _______________________________________

Fokus.
 Dalam soal pendidikan ini, jika  dilihat secara rambang masyarakat kita sangat prihatin dan mengambil berat untuk menjadikan anak-anak mereka berjaya di dalam pelajaran, dalam pada itu terdapat juga mereka yang terlepas pandang atau terabai fokus penting mengenai  objektif utama pendidikan, iaitu mengajar dan mendidik kanak-kanak supaya mengenal Allah, kemudian barulah berganjak kepada perkara-perkara yang lain seperti meningkatkan taraf hidup keluarga dan seumpamanya. 

Fokus Pendidikan bagi orang Islam sepatutnya merujuk kepada perkara berikut.

Pendidikan Islam adalah satu usaha berterusan untuk menyampaikan ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah bagi membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk membangun diri, masyarakat, alam sekitar dan negara ke arah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan abadi di akhirat.

Disamping,

memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani yang berpaksikan aqidah Islam.

Halangan 
Dalam proses melaksanakan hasrat pendidikan ini , para pendidik khasnya ibu bapa dan guru serta juga masyarakat yang prihatin terhadap tugas mulia ini akan terserempak  dan tercabar dengan alam sekeliling dan persekitaran yang tidak secucuk dengan keperluan pendidikan.
Di dalam masyarakat kita  kini terdapat banyak gejala  dan elemen yang sedang menghalang proses  pendidikan kanak-kanak dan remaja , untuk menyahkannya sangat sukar dan susah. Para pendidik memerlukan  tindakan yang  lebih kreatif dan proaktif serta kritis terhadap apa yang sedang berlaku di tengah-tengah masyarakat.Beban ibu bapa dan guru  semestinya semakin bertambah berat.Falsafah Pendiddikan juga semakin sukar hendak direalisasikan.

Banyak perkara yang dahulunya dilarang dan dipantang, kini ramai melakukannya termasuk mereka yang berkuasa dan berkemampuan.Kalau dulu surat khabar atau media lebih bersopan dan berhati-hati, sekarang telah menjadi sebaliknya, apa yang tidak boleh dibaca dan ditonton oleh kanak-kanak dahulu, kanak-kanak kini berpeluang pula membaca dan menontonnya, malah seolah-olah sengaja  didedahkan.

Nampaknya kita sering bermain kayu sorong dan tarik atau pi mai, pi mai tang tu juga, mereka yang berkuasa tidak istiqamah dalam hal yang penting seperti ini. Aktiviti masyarakat adalah pendidikan hakiki untuk kanak-kanak dan remaja, kalau masyarakat kencing berdiri, kana-kanak dan remaja akan kencing sambil berlari, itulah pendidikan melalui teladan.Pandangan ini tidak semuanya betul tetapi tidak pula semuanya salah. Mungkin di sana terdapat juga ungkapan yang boleh menjadi bahan renungan.

Sekian...wallahu aklam.



No comments: