Wednesday, May 30, 2012

Karenah di Mina - Sabar ada hadnya.

Salam semua.

Di Hotel As.Syaruoq
Saya ingin mengimbau kembali peristiwa ketika di Mina pada musim Haji yang telah lalu. Sebelum meneruskan artikel ini biarlah kita merujuk kepada kursus-kursus Haji yang biasa dianjur dan dihadiri oleh para bakal Haji Malaysia, para bakal Haji dinasihatkan supaya mempunyai kesabaran yang tinggi apabila berada di Makkah nanti. Dalam semua hal yang menimpa mereka hendaklah bersabar, itulah agaknya yang difahami oleh sebahagian besar para bakal Haji walaupun kejadian yang berlaku itu telah merentasi garisan sempadan  kesabaran, mereka tetap mengekalkan kesabaran dan melupakan aduan dan ikhtiar, sikap ini kononnya untuk memabrurkan Haji nanti. 

Khemah di Mina
 Semestinya para bakal Haji kena bersabar dalam semua kesusahan yang dihadapi ketika mengerjakan Haji kerana situasinya di dalam beberapa hal ianya sangat sukar dan merumitkan, tetapi, dalam pada itu mereka masih ada ruang untuk mengadu dan menegur pihak-pihak tertentu jika berlaku kelemahan dan kesilapan yang menjejaskan kehidupan dan urusan kerja Haji mereka.Tegasnya sabar itu ada hadnya dan ianya tidak menafikan ikhtiar dan usaha, sabar tanpa disusuli dengan usaha dan ikhtiar akan menghilang dan melenyapkan kualiti orang Islam.

Kalau ruang  usaha dan ikhtiar ditutup maka akan kekallah pihak berwajib menyediakan tandas hanya beberapa pintu untuk digunakan hampir ribuan bakal Haji di sesuatu lokasi, sikap ini akan menyebabkan tidak akan berlaku perubahan dan kemajuan ke arah keselesaan.

Padang Arafah - bukan musim Haji.
Pada hari pertama di Mina khemah kami lewat  menerima makanan tengah hari.Apabila sampai waktu makan tengah hari makanan masih  belum tiba, semua jamaah Haji menunggu dan menunggu sambil tertanya-tanya dan merungut, situasi menunggu ini berlaku dari semasa ke semasa sehinggalah jam 4.00 petang, pihak jamaah diberitahu oleh petugas supaya menunggu dan bersabar, ini pun kami mengetahuinya melalui cerita mulut ke mulut, di khemah kami tiada siapa pun yang datang memberitahu perkara tersebut, saya sendiri tidak mengetahui apa yang sedang berlaku sebenarnya .

Setelah  jam 4.00 petang saya merasai kesabaran telah pun melampui garis hadnya,kalau bertindak atau memberi teguran pun dirasakan tidak menjejaskan kerja Haji maka saya pun bangun dan keluar dari khemah menuju ke bilik masak, tidak sempat sampai ke bilik masak telah bertembung dengan pengurusnya dan lantas saya meluahkan apa yang saya dan kami semua tidak berpuashati, walau pun saya tidak dilantik untuk itu. Saya meluahkan kepadanya bahawa kelewatan sehingga begini  tidak sepatutnya berlaku, saya juga bertanya patutkah makan tengah hari jam 4.30 petang, beliau memberi alasan dapur buat hal, saya memberitahu beliau supaya  jangan salahkan dapur kerana dapur tidak berakal, mungkin jawapan itu bercampur dengan kemarahan, saya sendiri pun tidak pasti, saya mengambil masa yang singkat sahaja bersama dengan pengurus atau penyelia tersebut untuk meluahkan apa yang kami rasakan dan bakinya dibiarkan beliau berfikirlah sendiri.

Setelah saya balik ke khemah yang tidak berapa jauh dari Bilik Dapur,sejurus  kemudian barulah makanan dihantar ke khemah kami. Hari-hari berikutnya makanan dan minuman yang dihantar tidak lagi  lewat dari masa yang ditetapkan, sebaliknya sentiasa dipastikan semua jamaah mendapat makanan dan minuman setiap kali penghantaran, situasi menjadi lebih baik apabila penghuni khemah sendiri bertindak proaktif dengan menolong memastikan bekalan hantaran sampai kepada semua penghuni khemah. Walau pun ketika makanan diedarkan mereka tiada di dalam khemah, habuan mereka tetap ada. Diharap dan didoakan semoga pada tahun ini dan tahun-tahun seterusnya layanan terhadap bakal Haji yang pergi melalui Tabung Haji Muassasah ini akan  lebih baik lagi, insya Allah.

Sekian...Wallahu aklam.



No comments: