Saturday, May 5, 2012

Slogan Kehidupan Bersih - Islam itu adalah Addin.



Salam semua             

Kalau anda melihat di dalam logo atau slogan laman  Kehidupan Bersih terdapat tiga perkara penting yang ditayangkan di dalam kerdipan secara bertukar ganti di bahagian atas penjuru kiri artikel ini. iaitu (1) Kehidupan Bersih. 
(2) Islam itu adalah Addin ( Islam is the way of life ) dan 

(3) WWW.LEEWANTAM.COM.

Melalui artikel ini akan dipenjelasankan secara ringkas  sebab-sebab elemen itu dipilih dan dimuatkan di dalam logo atau slogan tersebut.

(1) Kehidupan Bersih.
Setiap insan yang sempurna akal dan berpegang pula kepada ajaran Islam yang lurus dan benar, mereka tentunya berkehendakkan kehidupan yang bersih. Kehidupan Bersih bermaksud suatu kehidupan yang aman dan berkat tanpa gangguan penyakit dan kekotoran fizikal dan rohani, masyarakatnya tidak mengamalkan rasuah,fitnah dan  tiada gejala masyarakat  berpecah belah yang disebabkan rasuah,fitnah atau pecah amanah dan seumpamanya. 

Diharapkan keburukan dan kelemahan di dalam Kehidupan Bersih wujud pada kadar yang minimum dan hampir sifar, itulah doa dan harapan.

(2) Islam itu adalah Addin ( Islam is the way of life ).
Islam itu adalah suatu cara hidup ( Islam is the way of life ). Al.Quran  yang diturunkan  Allah kepada Nabi Muhammad.s.a.w. adalah merupakan sebuah kitab panduan hidup seluruh umat manusia kecuali mereka yang tidak sempurna akal, ianya adalah satu-satunya kitab yang lengkap, di dalamnya terkandung hal-hal berkenaan dengan kehidupan di dunia dan di akhirat. Di dalam Surah Ali Imran ayat 19 Allah menyatakan bahawa "sesungguhnya Addin di sisi Allah adalah Islam...............". Panggilan atau nama yang tepat bagi Islam ialah "Addin" bukannya "agama"(religion) seperti yang difahami oleh agama lain, menggunakan sebutan atau perkataan agama akan wujud keconderungan mengakibatkan  orang Melayu tidak kira di negara mana mereka bermustautin akan memahami pengertian Islam itu tidak  tepat seperti yang dikehendaki  oleh Addin yang disebutkan  di dalam al.Quran, sama  seperti "sembahyang" di mana pengenalannya juga tidak tepat oleh itu pada masa ini "sembahyang" telah diubah sebutannya kepada "solat", solat atau solah adalah panggilan atau nama yang tepat kerana perkataan ini disebut oleh Allah sendiri di dalam al.Quran.
Sekiranya orang Melayu atau penggunaan istilah ini dalam bahasa Melayu terus menerus  mengekalkan sebutan itu, kefahaman terhadap Islam juga akan turut tidak sempurna dan tidak lengkap melainkan mereka yang berilmu akan menyebutnya agama disebabkan biah atau manusia  sekitarnya tetapi menafsirkan agama itu sabagai Addin di dalam hati mereka dan mereka juga  menyedari bahawa Islam jauh berbeza dengan agama Nasrani, Hindu dan lain-lain.

Untuk mengelakkan masyarakat kita berterusan menggunakan istilah yang kurang tepat ianya memerlukan suatu anjakan, istilah yang tidak tepat akan membawa pengertian yang tidak tepat kepada masyarakat awam, kebiasaan yang kurang baik ini hendaklah dimurnikan.

Takrif Islam sebagai Addin.
Penyerahan diri yang tidak hanya terbatas kepada gerak laku anggota zahir sahaja tetapi juga merangkumi amalan batin, merangkumi jasmani dan rohani,akal dan perasaan, jiwa dan hati kepada Allah. Penyerahan ini tidak terbatas kepada sudut-sudut tertentu sahaja tetapi merangkumi segala ruang lingkup kehidupan manusia.

Islam  sebagai cara hidup yang sempurna (Addin) menetapkan semua kegiatan atau aktiviti adalah ibadat, kecuali aktiviti yang melanggar perintah Allah dianggap pula sebagai maksiat (dosa).Ibadat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Ibadat Khusus dan Ibadat Umum.

Ibadat Khusus;
Ibadat Khusus terbahagi kepada dua bahagian iaitu ibadat wajib  dan ibadat suna
t.Ibadat wajib ialah ibadat yang wajib ditunaikan atau wajib dilaksanakan kerana ianya merupakan rukun Islam, jika ditinggalkan hukumnya berdosa, contohnya seperti Mengucapkan Dua Kalimah Syahadah, Solat Fardu, Puasa Ramadan, Mengeluarkan Zakat dan Menunaikan Fardu Haji serta meninggalkan segala larangan Allah.
Manakala ibadat Sunat ialah ibadat yang digalakkan atau jika dilaksanakan mendapat pahala berkali ganda tetapi tidak berdosa jika ditinggalkannya. seperti solat sunat, puasa sunat, beriktikaf di dalam masjid, bersedekah, membaca al.Quran dan seumpamanya. 


Ibadat Umum;
Ibadat Umum ialah segala aktiviti atau amalan selain daripada ibadat khusus, di mana aktiviti tersebut tidak bertentangan dengan perintah Allah, ibadat ini mempunyai banyak pilihan seperti bekerja makan gaji, berniaga, bertani, menjadi nelayan dan seumpamanya.

Sejak  baligh atau cukup umur lagi, manusia yang  sempurna akal tidak akan terlepas sesaat pun daripada penilaian Allah, sama ada orang itu melibatkan diri dalam bidang  pertanian, nelayan, ahli perniagaan, politik atau apa sahaja aktiviti. Inilah hakikat yang dikatakan Islam itu Addin atau cara hidup yang sempurna yang mencakup semua aspek hidup manusia di dunia dan akhirat.


(3) WWW.LEEWANTAM.COM.
Perkataan www.leewantam.com semua orang sedia maklum bahawa ianya merupakan nama atau URL kepada laman ini, kerdipan itu hanyalah sebagai memperkenalkan diri untuk dilayari oleh pembaca, terima kasih kepada  anda yang telah atau akan menyalinnya (copy) untuk dipamerkan di dalam laman anda.


Rumusan.
Di sudut hati mengharapkan pada  suatu hari nanti akan wujud suatu Kehidupan yang bersih khasnya di negara Malaysia yang berpaksikan Addinul Islam. Itulah dorongan yang terciptanya laman Kehidupan Bersih. Kehidupan Bersih yang didoa dan diharapkan penampilannya aman dan berkat serta mendapat keampunan Allah.

Sekian...wallahu aklam.


No comments: