Wednesday, May 16, 2012

Media gergasi menidurkan masyarakat dunia

Salam semua.
imej google
Pembohongan atau berbohong di zaman teknologi canggih ini liputannya sangat meluas dan seantero dunia, sifatnya kelihatan hebat dan bermaruah. Pembohongan ini digerakkan melalui agensi yang juga canggih dan berwibawa dari segi kuasa dan kewangannya. Pembohongan ini dilihat oleh orang yang jahil sebagai benar dan perlu diberi sokongan yang mantap.

Zaman pembohongan.
Syaitan juga sangat canggih memainkan peranan liciknya sambil memperkudakan tokoh-tokoh manusia yang jahil ajaran Allah atau yang sangat cintakan kebendaan. Makhluk  Allah yang jahat dan licik ini berjaya memukau minda manusia sehingga kedapatan di antara  mereka melihat sesuatu yang buruk itu kelihatan baik dan perlu dipertahan dan diteruskan aktivitinya.
Syaitan ingin mencipta kehidupan zaman ini sebagai zaman pembohongan dan zaman kejahatan yang mengamalkan kepercayaan " siapa pandai berbohong dia akan menang dan berjaya" dengan ini mereka akan berjaya menyah dan melemahkan para pejuang  menegakkan kebenaran. Kepercayaan ini sedang mendapat sambutan dan sokongan daripada berbagai lapisan masyarakat, baik cendekiawan, agamawan dan berbagai manusia yang sangat cintakan kebendaan.
Cendekiawan sanggup menukar teori ilmunya untuk memenangkan pembohongan kumpulan sokongannya, agamawan pula sanggup  membiarkan pemimpin dan ahli kumpulannya menyebarkan pembohongan, walau pun diri sendiri menyebarkan kebaikan dan mencegah kemungkaran,aktiviti ini hanya menjurus kepada sasaran tertentu sahaja tetapi, tidak pula mencegah kemungkaran dan pembohongan yang sedang dilakukan oleh pemimpin atau  ahli kumpulan sendiri kerana kononnya ingin melakukan teguran itu secara berhikmah yang akan dilakukan secara dalaman, sedangkan apabila berada di dalam kumpulan, sifatnya berubah menjadi kecil dan hilang keberanian, umpama pijak semut pun tidak mati. Mungkinkah hujah itu hanya untuk menjaga kebendaan yang dicari atau dicari-cari selama ini.

Pembohongan global.
Biarlah kita melihat pembohongan ini secara lebih luas dan global, apabila Islam dituduh menjana keganasan melalui individu atau pertubuhan tertentu tanpa sebarang bukti yang dapat disabitkan dan diuar-uarkan oleh musuh Islam ke seantero dunia di dalam media gergasinya berulang kali, lantas orang Islam turut hilang daya nilai sehingga menyebabkan benda  putih dikatakan hitam, perkara baik pula  dikatakan jahat, semata-mata terpengaruh dengan propaganda musuh, budaya berbohong ini telah berjaya membaluti kehidupan masyarakat dunia, termasuk masyarakat negara maju juga terpedaya dengan aktiviti yang  bersifat syaitan ini.Justeru sebahagian masyarakat Islam juga mengambil kaedah ini untuk menjayakan cita-cita mereka, termasuk hasrat politik yang serba mencabar kini tanpa rasa bersalah atau tertipu dengan budaya yang tidak bermaruah ini.

Media gergasi menidurkan masyarakat dunia
Suatu ketika dahulu Iraq dituduh menyimpan senjata canggih dan berbahaya untuk berperang atau meluaskan jajahan takluknya, media gergasi memainkan peranannya untuk memperdayakan masyarakat dunia, media berjaya mempengaruhi masyarakat dunia, setelah pembohongan ini menjadi gah seantero dunia, masyakarakat antara bangsa pun bersetuju  menyerang Iraq  untuk menewaskan Sadam Husein Presiden Iraq pada ketika itu, kononnya Sadam sangat jahat orangnya, oleh itu Amerika Syarikat mengambil peranan penting menyerang Iraq yang tidak bersalah itu, kononnya untuk menghapuskan senjata yang tersimpan dan disembunyikan oleh Sadam tetapi sehigga ke hari ini senjata tersebut tidak dijumpai, mustahil akan menjumpai sesuatu yang tiada.

Sedang pembohongan global berlaku masyarakat dunia mendengarnya seperti seorang yang sedang tidur, tiada tentangan dan tiada pertanyaan, mereka tidak fikir bahawa tindakan itu akan menyebabkan dunia akan musnah dan rosak, kalau tiada keadilan tidak mungkin akan wujud keamanan. Media gergasi dunia menipu masyarakat dunia manakala media gergasi negara menidurkan masyarakat negaranya, kini kita sedang terperangkap di dalam cengkamannya.


Jenis pembohongan.
Berbagai cara pembohongan boleh dilakukan pada zaman teknologi canggih ini, melalui video yang tulen atau "diedit" , foto asal atau juga "diedit" dan berbagai-bagai lagi dengan menggunakan teknologi terkini yang disebarkan melalui internet, media eletronik atau media cetak, bagi mereka yang mempunyai kuasa dan wang  yang banyak maka banyaklah  peluang turut menunggu mereka untuk merealisasikan hajat.

Walau pun kita tidak melihat-Nya tetapi Allah melihat dan menilai perbuatan kita

Sekian...wallahu aklam.



No comments: