Saturday, May 19, 2012

Ingatlah MATI kerana peringatan itu memberi kebaikan.

Salam semua.

Mengingatkan mati.
Mengingatkan mati bukan suatu perbuatan yang menunjukkan berubah tabiat, sebaliknya mengingatkan MATI itu sesuatu yang disuruh dan mendapat pahala, mengingat bermakna berfikir dan minda akan aktif.Kalau mengingatkan sesuatu dengan berilmu manfaatnya akan berganda.Apakah faedah yang akan diperolehi hasil daripada mengingatkan MATI, Jom kita fikir-fikirkan faedahnya.Dengan mengingatkan mati mungkin ego seseorang akan menurun dan beransur kurang, akan menyedarkan seseorang mengenai hal-hal mengenai persediaan ke akhirat, lantas menyemak kadar persediaan bekalan yang akan dibawa ke akhirat, akan datang rasa  muhasabah sejauh mana perintah Allah telah dilaksanakan dan akan terasa menyesal terhadap pengabaiannya selama ini.

Apakah MATI itu ?.
Kita mungkin tidak menyedari bahawa kematian seseorang itu hanya sebahagian sahaja, pernahkah kita fikir hal ini, pernahkah anda fikir hal ini, kalau tidak fikir kita akan terlepas pandang. Ya betul, kita hanya mati sebahagian sahaja.Bukankah diri kita terdiri daripada jasad (fizikal) dan roh, dua unsur ini bersepadu ketika kita hidup, apabila sampai saat berlakunya kematian ROH keluar daripada BADAN. Badan akan dimandi dan solat mayat dilakukan ke atasnya,kemudian dikebumikan, manakala roh pergi ke alam roh ianya tidak mati. BADAN pada asalnya tiada kemudian ada. ROH juga asalnya tiada kemudian ada dan terus ada. Roh ketika dijadikan berada di alam roh kemudian barulah Allah masukkan ke dalam badan ketika kita berada di dalam perut ibu, kemudian setelah hidup di dunia dalam masa tentu roh pun dikeluarkan  daripada badan ( MATI ) dan roh kembali ke alam roh, apabila kita dibangkitkan semula dari alam kubur, roh akan dikembalikan dan bersepadu semula dengan badan. Demikianlah Maha Berkuasa dan Maha Pencipta Allah, wallahu aklam.

Apabila berlaku kematian fikiran kita lebih tertumpu kepada jasmani yang telah rosak dan kurang memberi perhatian kepada roh yang telah berpisah dengan badan yang masih hidup. Roh inilah sebenarnya teras diri manusia tanpa roh manusia akan menjadi rosak, reput dan hancur serta bercampur aduk dengan tanah dan akhirnya menjadi tanah semula. 

Apabila mengingatkan mati manusia akan terkedu sebentar, kemudian selepas beberapa ketika melupainya pula, manusia bukan tidak takut mati, semua manusia memang takut mati tetapi Allah Maha Bijaksana menjadikan rasa takut itu tidak keterlaluan, sebaliknya Allah juga menyediakan ketenangan dan kegembiraan kepada manusia semasa hidup di dunia ini, dengan itu manusia boleh terus hidup dan mampu membuat persediaan menghadapi kematian, itulah hakikat hidup di dunia yang manusia perlu fahami. 

...........................................................

Firman Allah;


Bermaksud,
"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya".
( Surah Ali Imran : 185 )
 Firman Allah;

 Bermaksud;
Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.
( Surah al.Anbiyak:35 )


Firman Allah,
 Bermaksud;
Katakanlah (wahai Muhammad): “Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya)”.
( Surah Al.Jumuah : 8 ) 

Al.Hadis,
Ya Allah, lanjutkanlah hidupku sekiranya hidup itu
lebih baik bagiku dan segeralah matikan aku sekiranya
mati itu lebih baik bagiku. 
(Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 5671).


...........................................................


Catatan.
Dengan mengingatkan kematian akan mendorong kita  lebih
berwaspada dalam menghadapi cabaran dan liku-liku kehidupan. Kita akan sentiasa berusaha untuk mematuhi dan mentaati perintah Allah S.W.T dan Rasul-Nya dan berusaha sedaya upaya meninggalkan segala
larangan-Nya kerana kita tidak mengetahui masa dan detik ajal akan sampai  dan tiba giliran kita.
Islam menggalakkan umatnya  supaya sentiasa ingat akan kematian kerana peringatan itu akan memberi motivasi kepada kita untuk bersungguh memperhambakan diri dengan Allah, dengan cara ini juga kita dapat merapat dan mengakrabkan diri kepada Allah.

Peringatan khas untuk diri sendiri dan dikongsi bersama anda.

Sekian...wallahu aklam.


No comments: