Tuesday, May 29, 2012

Menzalimi diri sendiri.

Salam semua.

Persepsi ketika kanak-kanak.
Ketika kanak-kanak dahulu memahami kalimah zalim ini terhad kepada sesuatu perbuatan yang kejam atau aniaya terhadap orang atau makhluk  lain sahaja seperti merejamkan kepala kucing ke dalam air selama  beberapa minit atau mengurung binatang tanpa diberi makanan dan minuman, tidak pernah terfikir bahawa kezaliman boleh berlaku terhadap diri sendiri. Setelah dewasa barulah mengetahui bahawa rupa-rupanya  di antara perbuatan yang dilakukan atau enggan  melakukannya itu terdapat juga perbuatan yang dikategorikan sebagai  menzalimi diri sendiri.

Menzalimi diri sendiri.
Islam menjelaskan bahawa apa-apa sahaja perbuatan yang dimurkai Allah atau yang mengakibatkan diri pembuat itu akan disiksa di dalam api neraka, maka semua perbuatan tersebut adalah dikira dan dikategorikan sebagai menzalimi diri sendiri. Sebagai contoh "meninggalkan solat fardu " iaitu solat yang diwajibkan Allah lima waktu sehari semalam. Orang Islam sedia maklum bahawa menunaikan solat itu adalah wajib, sesiapa yang engkar dan tidak melaksanakannya akan diazab di dalam neraka. Dalam keadaan sedar dan mengetahui hakikat itu solat yang wajib ditunaikan itu tetap ditinggalkan juga, perbuatan seperti  inilah yang dimaksudkan mezalimi diri sendiri kerana diri sendirilah yang menyebabkan kena siksa di akhirat nanti.

Kesimpulannya apa sahaja perbuatan yang membawa ke neraka dikenali sebagai zalim. Mengenai orang yang zalim atau orang-orang yang zalim  ini  terdapat firman Allah di dalam al.Quran.

Bermaksud.
"Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan". 
( Surah Hud : 113 )

"And do not incline toward those who do wrong, lest you be touched by the Fire, and you would not have other than Allah any protectors; then you would not be helped".


Sekian...Wallahu aklam.


No comments: