Tuesday, May 15, 2012

Titik hitam yang tertera di atas kertas putih pastinya akan jelas kelihatan

Salam semua.
Apa yang anda lihat.Jawabnya ?
Berfikir dengan betul, tepat dan adil.
Titik hitam yang tertera di atas kertas putih sudah pasti akan jelas kelihatan, sebaliknya amat sukar melihat titik hitam yang tertera di atas kertas hitam, ditambah pula melihatnya  pada waktu malam yang gelap gelita.
Titik hitam yang tertera di atas kertas putih, ungkapan ini pula merupakan suatu ibarat yang mungkin kita dapat huraikan perbandingannya, di dalam Islam Rasulullah.s.a.w. pernah bandingkan bayi yang baru dilahirkan itu seumpama kain putih, perbandingan tersebut untuk menyatakan bersih dan baiknya bayi tersebut dari segi akhlaknya, kesimpulannya putih disesuaikan dengan bersih dan baik. 
Manakala hitam ibarat kepada sesuatu yang tidak baik dan tidak disukai, namun begitu ibarat ini tidak selalunya betul dan benar, ada kalanya tidak tepat tetapi pada kebiasaannya manusia memberi penilaian demikian. Kedua-dua perbandingan atau ungkapan ini bertujuan supaya manusia berfikir dengan betul dan tepat serta adil.

Apakah yang anda lihat?.
Kalau ditanya, apakah yang anda lihat di dalam imej yang tertera di penjuru kiri di atas itu, sebahagian besar daripada kita akan menjawab titik hitam, jawapan itu sebenarnya betul tetapi tidak betul semuanya kerana di situ bahagian yang lebih besar atau lebih luas ialah putih.Putih yang dilihat itu hanya terhenti dan tersimpan di dalam minda sahaja, tidak mahu meluah atau menceritakannya, putih tidak diaktifkan menjadikan situasi putih itu akhirnya dilupakan sahaja.Kalaulah titik hitam itu disebarluaskan, dihebohkan, dipropagandakan, difitnahkan akhirnya titik hitam itu akan menjadi teras di dalam imej yang putihnya itu lebih banyak dan lebih luas .Situasi ini amat rugi kerana penilaian yang tidak betul dan tidak tepat menjadi pilihan. Kalaulah imej itu diibaratkan sebagai seorang manusia bermakna masyarakat telah melakukan kesilapan besar terhadap dirinya dan diri masyarakat itu sendiri. Islam menolak penilaian cara ini, penilaian cara ini hasilnya tidak tepat dan tidak hakiki.

Manusia yang baik.
Kembali kepada alam yang nyata, alam yang biasa kita lalui
selama ini, manusia yang baik bermaksud manusia yang memiliki sedikit kejahatan dan melakukan kebaikan berganda-ganda, ditakrifkan demikian sebab tiada manusia yang maksum, tiada manusia yang tiada titik hitam dan tiada manusia yang tiada dosa, semua manusia melakukan dosa. Kesimpulannya manusia yang baik itu adalah manusia yang sedikit titik hitamnya atau dosanya.Manusia seperti ini ibarat kain atau kertas putih, layak diberi penghormatan atau diangkat darjatnya oleh masyarakat.

Kesilapan.
Orang baik seperti ini kalau ada sedikit kesilapan atau titik hitam pada dirinya masyarakat akan melihat dan fokus pada titik hitam tersebut kerana terpengaruh dengan suara dan bisikan syaitan yang menguasai propaganda dan menjana fitnah di seluruh ceruk rantau, syaitan berusaha supaya titik hitam itu menjadi dominan di dalam diri orang tersebut dan melupakan latar putih yang lebih luas dan berganda banyaknya berbanding dengan titik hitam yang sedikit itu, kalaulah orang berkenaan itu berada di dalam saf sesuatu kepimpinan, masyarakat akan gagal memilihnya sebagai pemimpin dan tindakan ini membawa kepada kegagalan masyarakat membina masyarakat lebih berkat dan dihormati.Sebaliknya yang terpilih ialah individu yang mempunyai banyak titik hitam dan sedikit titik putih kerana titik putih yang ada padanya dijulang dan dihebohkan sehingga ianya  kelihatan seolah-olah  besar dan bitara.

Titik hitam di atas kertas yang hitam.
Titik hitam yang berada di atas kertas yang hitam umpama semut hitam yang sedang berhenti atau bergerak di atas batu yang juga hitam tentulah sukar hendak melihatnya, pandangan objek itu telah pun menguasai imej keseluruhannya dan tidak lagi pedulikan imej hitam yang lain yang sedang berada atau menokok tambah di atasnya, demikianlah kejahatan yang dilakukan oleh orang yang sedia jahat atau banyak jahatnya akan menjadi mangli dan malas untuk orang lain menilainya, malas menilai inilah akan memberi peluang kepadanya untuk menguar-uarkan bahawa dia sebenarnya orang baik dan berwibawa.

Menilai Islam secara salah.
Orang Islam yang mengikut ajaran Allah yang baik itu dihebohkan sebagai pengganas oleh suara dan bisikan syaitan di seluruh dunia,akhirnya sebahagian besar masyarakat dunia yang sedang tidur terpengaruh dengan bisikan jahat tersebut, kecuali mereka yang jaga dan sedar sahaja yang dapat berfikir secara lojik dan diterima akal bahawa orang Islam tidak ganas, mereka yang jaga ini pula akhirnya bergerak meraba-raba mencari orang Islam untuk mengetahui hakikat sebenar tentang Islam, maka kemudiannya berduyun-duyunlah pula masyarakat bukan Islam dunia beralih kepada Islam dan menganut Islam.

Orang Islam terperangkap.
Sebahagian orang Islam yang kurang iman dan tidak patuh pada ilmu hakiki juga terperangkap di dalam cara hidup demikian, untuk membuktikannya lihat dan bacalah sebahagian media orang Islam, bukankah cara mengarang dan mengolahnya mengikut acuan tersebut, peringatan demi peringatan diberi supaya bercakap benar tetapi nasihat itu umpama mencurahkan air ke atas daun keladi membasahi di atas permukaannya tetapi tidak masuk ke dalam dirinya. 

Sekian...wallahu aklam.


No comments: