Salam semua.
Manusia di dunia ini menganuti berbagai-berbagai kepercayaan, di mana kepercayaan itu ada yang tergolong sebagai adat dan ada yang dianggap sebagai agama.Ini berlaku kerana Allah menjadikan manusia sememangnya mempunyai naluri ingin menyembah Allah, oleh itu dalam perjalanan mencari Tuhan itu mereka terjumpa berbagai-bagai benda yang pada sangkaan mereka itulah Tuhan atau perantara Tuhan. Pada hal apa yang dijumpai itu tanpa mereka sedari bahawa perkara yang dianggap Tuhan sebenarnya adalah makhluk seperti mereka juga.Tetapi apabila sesuatu perkara yang batil (salah) sekali pun, setelah menjadi kepercayaan sesuatu masyarakat, kepercayaan tersebut sukar hendak dikikis atau hendak dinafikan oleh pihak lain tentang hakikat atau kebatilannya kerana amalan itu diwarisi sejak ribuan tahun dahulu.Contohnya kepercayaan karut dan khurafat yang diamalkan atau dipercayai di kalangan masyarakat kita masih berlaku walaupun dalam ajaran Islam jelas menyatakan perkara itu boleh merosakkan aqidah atau syahadah.
Manusia di dunia ini pada amnya terbahagi kepada dua golongan iaitu Golongan yang menyembah Tuhan dan Golongan yang tidak percaya adanya Tuhan.Mereka yang menyembah Tuhan ini seperti orang Islam, kristian, Budha, Bahai, Hindu dan seumpamanya, manakala yang tidak percaya adanya Tuhan, mereka dikenali sebagai mulhid atau free thinker dan seumpamanya, mereka ini mempercayai alam ini terjadi dengan sendirinya (nature) tanpa penciptanya atau semula jadi, oleh itu mereka tidak menyembah Tuhan.Akal manusia sebenarnya terhad jangkauannya, mereka tidak mampu mencari tuhan dengan semata-mata menggunakan akal tanpa bantuan pihak lain (wahyu-rasul).
Dua perenggan di atas adalah sorotan kembali sebahagian daripada artikel yang dikeluarkan pada 29 September 2008 di dalam laman ini kerana ingin membuat sedikit sentuhan mengenai saranan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang supaya dibuat sedikit pindaan kepada salah satu prinsip Rukun Negara iaitu Kepercayaan kepada tuhan dipinda kepada kepercayaan kepada Allah.( merujuk kepada laporan media tempatan ).Dalam banyak hal saya bersetuju dengan Tuan Guru tetapi dalam hal ini saya kurang selesa, mungkin saya tidak faham sepenuhnya maksud beliau.
Pada hemat saya salah satu prinsip Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan perlu dikekalkan dan bersetuju dengan saranan yang diutarakan oleh sahabat saya dari Laman Pandangan Orang Kampung kerana Kepercayaan Kepada Tuhan membawa maksud semua rakyat Malaysia adalah rakyat yang beragama dan menegaskan bahawa mereka yang tidak percaya kepada tuhan atau tiada agama tidak layak menjadi penghuni atau rakyat Malaysia.
Rakyat Malaysia bukan semuanya percaya kepada Allah iaitu Allah sebagai Tuhan yang mencipta sekalian alam ini dan Allah yang Maha Berkuasa serta Maha Esa. Oleh sebab sebahagiannya mempercayai tuhan itu dalam bentuk kepercayaan dan tafsiran yang berbeza dengan yang dipercayai oleh orang Islam maka tidak sesuai diletakkan atau dicatatkan Kepercayaan kepada Allah sebagai salah satu prinsip Rukun Negara, sebaliknya memadai dengan sebutan secara am. Tuhan atas nama am walaupun orang Islam mempercayai Tuhan itu adalah Allah pencipta alam ini dan tiada lagi Tuhan yang lain, tetapi, bagi mereka yang bukan Islam akan tetap menafsirkan Tuhan itu mengikut kepercayaan mereka, oleh sebab Rukun Negara ini ditujukan kepada semua rakyat Malaysia maka rangkaikata itu rasanya telah sesuai dan relevan dengan biahnya yang tersendiri buat masa ini.
{ 25/03/2010...Setelah mendengar rakaman penjelasannya di dalam sidang parlimen saya membuat sedikit anjakan pendapat pula dalam hal ini sekiranya pindaan hendak dibuat, iaitu saya bersetuju dengan syarat sebelum pindaan direalisasikan hendaklah diberi penerangan dan penjelasan secukupnya kepada rakyat supaya mereka faham akan hakikatnya yang sebenar maksud "Kepercayaan Kepada Allah itu". Jika cara ini dilaksanakan maka terlaksanalah dakwah di peringkat negara yang sangat dituntut itu...wallahu aklam }
Apabila disebutkan kepercayaan kepada tuhan maka orang Islam akan menghuraikan dalam bentuk kepercayaan mereka iaitu Kepercayaan kepada Allah seperti yang dikehendaki di dalam Rukun Iman yang telah pun menjadi tuntutan kepada orang Islam dan menyematkannya di dalam sanubari mereka.Manakala orang bukan Islam akan menafsirkan mengikut kepercayaan mereka, setelah dirumuskan, semua rakyat Malaysia adalah rakyat yang mempercayai adanya tuhan yang mencipta alam ini. Di sinilah diharapkan berlaku satu penyatuan rakyat Malaysia yang dikehendaki oleh Rukun Negara tersebut.
Hanya pandangan sepintas lalu dari penulis.
Sekian.Wassalam.
3 comments:
salam,
banyakkanlah tulisan-tulisan seumpama ini..
salam,
banyakkanlah tulisan-tulisan seumpama ini..
Salam Ikan emas.
Insya Allah..terima kasih kerana membacanya.
Post a Comment