Salam sejahtera.
Hukuman rotan dikuatkuasa kembali.
Berita Sinar Harian, Edisi Selangor & KL. Selasa 07 APRIL 2009.
Hukuman rotan di sekolah-sekolah akan dikuatkuasakan kembali bagi membendung masalah disiplin pelajar, kata Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr,Wee Ka Siong. Demikianlah muqaddimah berita tersebut.
_______
Gambar hiasan
_________
Pada Hemat Saya:
Tajuk ini telah menarik perhatian saya dan juga mengingatkan kembali entri yang telah lalu yang telah membuat sentuhan mengenai perkara ini - Kata pepatah Melayu " Sayangkan anak tangan-tangankan , sayangkan isteri tinggal-tinggalkan" perkara ini telah dihuraikan di dalam entri yang telah lalu, oleh itu tidak perlu diulangi lagi huraiannya.
_____________________________________
Berikut petikan ringkas dari entri yang dimaksudkan:
Denda bagi mereka yang bersalah sangat diperlukan sebagai pengajaran dan membuka jalan ke arah keinsafan terhadap kesalahan yang telah terlanjur. Sebagai contoh; Kanak-kanak yang baru boleh merangkak, merangkak ke arah api lilin dan menyentuhnya dan ia merasai kepanasan api tersebut dan secepat kilat ia menarik tangannya untuk menyelamatkan diri, kanak-kanak ini tidak akan melakukannya buat kali yang kedua dalam masa terdekat kerana menyedari di sana seolah-olah terdapat denda yang terpaksa diterimanya.
Allah Subhanahu Wa Taala mendidik manusia melalui peraturan dan undang-undang yang diwahyukan kepada Rasulullah.s.a.w. yang termaktub di dalam al.Quran dan al.Hadis. Mengapakah kita takut untuk memberi hukuman atau denda walau pun secara yang adil dan menepati kehendak Islam ?. Tidak semestinya cara atau kaedah yang lama itu ketinggalan zaman dan tidak pasti pula cara didikan terkini itu terbaik kerana ianya belum dibuktikan.
Mengenakan hukuman sesuka hati tidak layak dianggap hukuman atau denda atas kesalahan seseorang. Cara demikian layak dinilai sebagai melepaskan panas baran atau hawa nafsu yang tidak bersama akal yang sempurna. Denda atau hukuman wajib dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan. Prosedur yang ditetapkan itu pula hendaklah akur dengan perintah Allah dan RasulNya. Pelaksana yang melaksanakan hukuman dan denda sesuka hati adalah juga penjenayah. Ibubapa yang menghukum anaknya tidak setimpal dengan kesalahan mereka juga tidak akan terlepas dari pemerhatian dan penilaian Allah.
__________________________________
Ajaran Islam telah lama membuka jalan untuk merealisasikan peraturan ini dengan syarat dan prosedurnya yang tertentu. Tetapi malangnya masyarakat kita tidak yakin dengan pendekatan tersebut sedangkan pendekatan yang mengambil alih peraturan merotan itu lebih lemah dan kurang berkemampuan menangani masalah disiplin pelajar semasa. Tidak semua yang baru itu lebih baik daripada yang lama, Ibarat menanam semula pokok , kalau hendak ditanam dengan pokok baru, hendaklah menggantikan pokok tua yang tidak lagi mengeluarkan hasil, bukan menebang dan menggantikan pokok yang sedang berbuah, Sesesuatu peraturan yang telah matang perlulah dikekalkan. Kalau tersesat jalan hendaklah kembali ke pangkal jalan, insya Allah akan mendapati jalan baru dan akan selamat sampai ke destinasinya.
SYABAS DAN TAHNIAH
kepada Kementerian Pelajaran Malaysia kerana mengambil pendekatan baru tersebut dan melaksanakannya dengan prosedur yang teliti dan bertanggungjawab.
Peraturan ini sebenarnya telah dilaksanakan sejak tahun 1959 lagi, di mana ianya termaktub di dalam Peraturan-peraturan Disiplin Sekolah 1959. Jika peraturan ini diteruskan secara istiqamah sehingga sekarang insya Allah masalah disiplin tidak seteruk sekarang. Kita rasa sedikit anih kerana ketika disiplin pelajar dalam keadaan sederhana ataupun baik, hukuman rotan dilaksanakan tetapi apabila disiplin pelajar menjadi semakin teruk pada suatu ketika dahulu, hukuman rotan yang sedia ada dilarang menggunakannya. Dalam jangka masa tersebut sehingga sekarang membuka ruang sangat luas untuk masalah disiplin berkembang biak.
Akhlak atau masalah disiplin pelajar sekarang semakin teruk dan hukuman merotan yang diamalkan sekian lama di sekolah-sekolah, kini dikuatkuasakan semula, Tindakan demikian amatlah sesuai pada masa dan ketikanya , Walaupun dilihat telah terlambat tetapi masih ada usaha ke arah kebaikan.
Walaupun saya berasa sangat gembira dengan pengumuman tersebut tetapi di dalam hati tetap bercampur baur dengan rasa bimbang dan risau dengan pelaksanaannya. namun demikian saya masih bersangka baik dengannya. Bimbang dan risau kalau-kalau prosedur yang disediakan itu tidak diikuti dan dipatuhi dengan teliti oleh pihak sekolah, andaian ini perlu ada pada pihak atasan supaya sebarang prosedur yang disediakan hendaklah diberi faham dan difahami secara mendalam oleh para guru.
( Memahami secara kognitif, efektif, psikomotor dan penghayatan serta akhlak mulia para guru hendaklah sentiasa merentas kurikulum dan jangan sekali-kali terlalai mematuhi prosedurnya ).
Untuk itu suatu kursus dan taklimat yang serius wajiblah disempurnakan secara bersungguh-sungguh dan serius.
Diharap pendekatan baru ini akan berjaya dan tidak akan menimbulkan masalah. Kerjasama masyarakat terutamanya para waris amat diperlukan.
Berkhidmatlah untuk agama, bangsa dan negara.
Sekian. wallahu aklam. wassalam.
______________________________
No comments:
Post a Comment