Friday, May 21, 2010

Universiti Pengalamanku - Artikel syok sendiri - 3

Salam semua.

Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Rahman.
Mergong; Alor Setar;
Kedah Darul Aman.
Januari 1993 - Disember 2005
Sorotan kembali dan bersambung:

Ketika aku sampai di sekolah ini, aku lihat panoramanya tidaklah seindah seperti sekarang ini, suasananya agak muram, terdapat beberapa pagar lama yang kelihatan reput dan bergantungan dan kumpulan hutan kecil yang perlu dibersih dan diceriakan tetapi terabai , aktiviti ko.kurikulumnya juga agak muram berbanding dengan sekolah asalku. aku hanya akan mengambil kesempatan dari kelemahan itu untuk memenuhi jadual kerjaku, kiranya mendapat keizinan dari pihak pentadbir.


Aku terfikir bersendirian bahawa aku akan mempunyai banyak peluang melaksanakan aktiviti di sini. Banyak aktiviti yang diabaikan itu mungkin aku dapat mengaktifkannya semula, aku melihat ini bukanlah dengan minda sehala tetapi sebaliknya aku membuat perbandingan dengan sekolah asalku. Banyak aktiviti yang dilakukan di sana tidak dilaksankan di sini pada ketika aku sampai di sini puluhan tahun dahulu..


Pada tahun pertama (1993) aku mula mengadakan Kursus Motivasi kepada para pelajar Tingkatan 6R dan 6A dengan mengajak beberapa kekawan sejawatku sama-sama melaksanakannya.Alhamdulillah aku rasa sangat mudah mendapatkan kerjasama mereka. Rupa-rupanya mereka sentiasa siap siaga untuk melaksanakan apa sahaja aktiviti sekolah asalkan ada penggerak dan dorongan serta sokongan pentadbir sekolah.


Pada era ini aku rasa Kursus Motivasi ini masih belum menjadi lumrah di sekolah-sekolah dan tidak ramai yang mempunyai kemahiran tersebut. Pada tahun pertama aku tidak menjemput pengetua untuk memberi ucapan. Aku sekadar berpuas hati mendapatkan persetujuan dan meluluskan sedikit kewangan yang diperlukan untuk mengendalikan kursus tersebut dan Pada tahun tersebut juga aku mengajak kekawan sepanitia melaksanakan amali solat untuk para pelajar Islam, di mana pada ketika itu amalan yang digunapakai tidak menepati kehendak sukatan atau kurikulum.
Pada tahun berikutnya aku adakan lebih kerap di mana ianya meliputi kelas-kelas peperiksaan iaitu Tingkatan 3, 5 dan 6, selain daripada kursus motivasi diadakan juga Kursus Peningkatan Sahsiah Pelajar Islam. semakin lama semakin meluas jangkauannya dan menyeluruh.Bagi kelas-kelas peperiksaan pengetua dijemput untuk memberi ucapan utamanya atau sekurang-kurangnya penolong kanan.

Beberapa tahun kemudian pihak Jabatan Pendidikan mengarahkan semua sekolah hendaklah mengadakan kursus motivasi dan guru-guru kaunselor mulai mengambil tempat mengendalikan kursus-kursus seperti ini setelah mereka dilantik kejawatan tersebut.

Selain daripada itu aku juga mencadangkan kepada pengetua supaya diadakan Majlis Serah Anak dan Mengadap Guru untuk pelajar Islam Tingkatan Satu bertujuan menyebarkan dan menyedarkan para waris betapa pentingnya disiplin dan kerjasama yang erat di antara guru dan waris.

Pada tahun berikutnya sebuah surau telah didirikan atas sumbangan seorang dermawan, pihak sekolah menerima tanpa memberi apa-apa syarat, oleh itu surau itu pun didirikan , tertegak dan tersergamlah ia di suatu lokasi yang amat strategik dan sesuai.Kelihatan cantik dan berkenan di hati jika dilihat dari jarak dekat, berlebih lagi dari jarak jauh.Namun demikian ianya terdapat juga suatu kekurangan pada dirinya. Ruang solat disediakan di tingkat atas dengan meyediakan kemudahan satu tangga sahaja, keadaan ini menjadi masalah apabila ruang tersebut digunakan oleh jamaah lelaki dan perempuan, adalah lebih sesuai kalau disediakan dua laluan untuk ke ruang solat tetapi keadaan binaan itu tidak boleh lagi diubahsuai di tingkat atas itu. Saya mencadang kepada pengetua yang berkhidmat pada ketika itu untuk diubahsuai.

Cadangan saya tidak dilayan malah katanya tidak elok diubahsuai kerana bangunan itu adalah sumbangan orang tertentu kepada sekolah. Berlainan dengan pendapat aku. Pada pendapat aku kalau kita dihadiahkan dengan sehelai baju tetapi baju itu agak ketat dan tidak selesa dipakai kita perlulah pergi mengubahsuainya supaya penggunaannya menjadi lebih baik. Maka aku terpaksalah menunggu sehingga pengetua yang lain datang untuk dibuat cadangan kepada beliau semula mengenai hal ini.

Dipendekkan cerita pengetua ditukarkan ke tempat lain kerana kenaikan pangkat dan datang pengetua yang baru.Aku tidak membuang masa mengemukakan cadangan ini kepada beliau, setelah mendengar alasan untuk mengubahsuai itu beliau pun bersetuju dan membenarkan aku membuat tindakan susulan.

Aku pun merangka suatu Jawatankuasa Pembinaan Surau ( Tambahan ) yang dipengerusikan oleh Pengerusi PIBG sekolah dan aku sendiri menjadi Naib Pengerusi dan anggota lainnya terdiri daripada AJK.PIBG dan guru-guru, walaupun ramai ahli jawatankuasanya tetapi aku terpaksa menjadi penggerak utamanya untuk memastikan projek ini berjalan lancar dan berjaya.

Selepas jawatankuasa dibentuk dan dipersetujui oleh pengetua maka mulailah aku menjemput ke mesyuarat untuk membincangkan agenda pengubahsuaian surau itu.Setelah dibuat keputusan dan minit pun dicatatkan.Mesyuarat bersetuju untuk melancarkan kutipan derma daripada masyarakat umum dengan kebenaran Jabatan Agama Islam, setelah mendapat kebenaran pelancaran derma pun dimulakan dan semua peraturan dipatuhi. Akhirnya wang kutipan pun terkumpul termasuk derma dalaman yang sangat memberangsangkan. kerjasama yang perolehi dari guru-guru juga di luar jangkaan, sambutan dan kerjasama sangat memuaskan.

( akan bersambung )



Di bawah ini adalah artikel yang telah lalu sebagai sisipan sahaja.

Pada hemat penulis subjek Pendidikan Islam memerlukan ruang legarnya yang mencukupi untuk mengaplikasikan pembelajaran dan pengajarannya supaya ianya menjadi sempurna dan ideal meliputi teori dan amali yang seharusnya diambil perhatian oleh setiap rakyat muslim di Malaysia.Dengan itu anak-anak kita akan menikmati suasana pembelajaran dan pengajaran yang sepatutnya mereka lalui.

Sebuah Makmal Pendidikan Islam di setiap sekolah perlu di bina dan dilengkapkan dengan keperluan yang sewajarnya tanpa sebarang alasan yang sentiasa menghalang kemajuan subjek tersebut merujuk kepada hujah yang diberikan pada masa-masa yang telah lalu. Peruntukan wang yang tidak mencukupi sentiasa mengambil alasan yang teratas. Membangunkan akhlak bermakna mem
bangunkan insan, insan tanpa pembangunan insaniah dalam dirinya, negara akan diurus sesuka hati dan penyudahnya tentulah akan diikuti serta menemui keruntuhan fizikal dan jasmani sama ada jasmani manusia atau negara, jika pendidikan tidak diutamakan seolah-olah kita sedang menggamit-gamit kehadiran kemusnahan umat. Pendidikan adalah nadi kehidupan manusia.

Makmal Pendidikan Islam bukanlah sebuah surau sekolah yang mana fungsinya sangat terhad. Makmal yang dimaksudkan peranan dan fungsinya mampu mencakup keseluruhan aspek pendidikan Islam yang diajar di sekolah. Ianya adalah sebuah kompleks yang mengandungi surau, beberapa bilik darjah yang selesa dan dilengkapkan dengan alat bantuan mengajar (ABM) seperti komputer, TV, Overhead Projector (OHP), berbagai jenis carta, buku rujukan pelajar, kerusi dwiguna ( atau sekurang-kurangnya dilengkapi dengan kerusi dan meja pelajar ) dan lain-lain keperluan yang dapat memantapkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran.

Gambar surau sebelum diubahsuai
menjadi Makmal Pendidikan Islam.

Gambar di atas ialah gambar sebuah surau sekolah yang asalnya mengandungi satu ruang solat di tingkat atas dan sebuah bilik di tingkat bawahnya. Surau ini sekarang telahpun diubahsuai dengan memperbesarkan di bahagian kiri dan kanan bangunan tersebut sehingga berjaya menambahkan satu ruang solat lagi dan sebuah bilik. Akhirnya cara penggunaannya disusunatur semula, di
mana ruang atas dijadikan ruang solat pelajar perempuan dan ruang di bawah untuk pelajar lelaki, ruang imam dibina khas di hadapan ruang solat lelaki, oleh sebab ruang solat perempuan tiada berdinding penuh dan bina sekadar lebih kurang tiga kaki sahaja dan ruang tersebut tidak berasingan iaitu tangganya turun ke ruang solat lelaki maka jamaah perempuan boleh berimamkan dengan imam yang berada di ruang bawah. ( sila lihat pagar atau dinding sebelah kanan pelajar di dalam gambar yang dipaparkan di bawah ini ).

Pelajar lelaki sedang mendengar taklimat
di ruang solat pelajar perempuan.


Ini adalah tingkat atas iaitu ruang solat pelajar perempuan. di bahagian bawah terdapat dua bilik yang dijadikan bilik pengajaran dan pembelajaran, di dalamnya dilengkapkan dengan ABM seperti yang disebutkan tadi,
semua perkara yang disebut di atas memang disediakan di sini kecuali kerusi dan meja pelajar tidak menggunakan kerusi dwiguna yang dimaksud, sebalik menggunakan meja rendah yang dibuat khas untuk kegunaan dalam keadaan bersila, kelihatan sempurna tetapi sebenarnya kurang selesa kalau terpaksa menggunakannya dalam jangka masa yang lama atau melebihi 40 minit.

Disebabkan Makmal Pendidikan Islam memiliki keperluan yang lengkap maka pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam sekolah ini dijalankan di makmal ini.
____________________

Untuk makluman Makmal Pendikan Islam ini telah mendapat Anugerah Cemerlang dari Jabatan Pendidikan Kedah atas nama Anug
erah Surau Cemerlang.
___________________

Setelah siap diubahsuai.
Akhirnya aku bertugas di Makmal Pendidikan Islam ini.


Penulis amat bersyukur kepada Allah Taala kerana cita-cita mengadakan Makmal Pendidikan Islam di sekolah dahulu berjaya direalisasikan dengan memuaskan. Kejayaan ini tidak akan tercapai tanpa prihatin pengetua yang berpandangan positif, rakan sejawat yang berpandangan jauh dan semua guru Islam, PIBG dan para penderma budiman- Bersatu teguh bercerai roboh.

Seandainya Perancang Kurikulum dan Kokurikulum Pendidikan Islam sekolah di Malaysia memasukkan Makmal Pendidikan Islam sebagai salah satu perkara wajib diwujudkan di setiap sekolah. Penulis merupakan salah seorang yang paling gembira dan sangat-sangat mengalu-alukan kewujudannya.

Artikel sisipan berakhir di sini...sekian.

No comments: