Saturday, March 14, 2009

MAJLIS SAH KHATAM TILAWAH AL.QURAN


MAJLIS SAH KHATAM TILAWAH AL.QURAN.

Majlis Sah Khatam Tilawah al.Quran ini pada masakini dikenali sebagai Majlis Khatam ( Tilawah ) Al.Quran, majlis ini biasanya diadakan untuk meraikan seseorang atau sesuatu kumpulan setelah mereka tamat membaca Al.Quran, iaitu selesai bacaan sebanyak 30 juzuk iatu bermula daripada surah Al.Fatihah sehinggalah surah terakhirnya surah An.Nas. Biasanya dilakukan di dalam bulan Ramadan, cara pelaksanaannya ialah dengan membaca beramai-ramai atau seorang demi seorang daripada surah Ad-Duha sehinggalah surah An-Nas, kemudian diikuti dengan pembacaan doa khasnya. Manakala Majlis SAH Khatam Tilawah Al.Quran yang sebenarnya jarang diadakan pada masa ini atau mungkin telahpun hampir pupus, majlis ini hampir sama seperti Majlis Perujian Tilawah Al.Quran yang telah lumrah diadakan setiap tahun di negara kita tetapi majlis perujian ini diadakan khas bagi mereka yang telah mahir membaca Al.Quran atau tegasnya telah menjadi johan bacaan di tempat masing-masing, majlis ini bertujuan memilih pembaca atau qari atau qari-ah yang terbaik di antara yang baik.
__________________________________

Majlis Sah Khatam Tilawah Al.Quran ialah Majlis Penilaian Kemahiran Tilawah Al.Quran atau Majlis Peperiksaan Tilawah Al.Quran dan Mengesahkannya atau memberi pengiktirafan kepada mereka yang melepasi piwaian yang telah ditetapkan.

____________________________________


Majlis Sah Khatam Tilawah Al.Quran pada zaman dahulu biasanya diadakan setiap kali setelah sekumpulan atau beberapa orangr murid telah tamat pengajian Tilawah Al.Quran daripada seseorang guru, Majlis ini dilaksanakan semata-mata untuk membuat penilaian terakhir terhadap para pelajar yang dikatakan telah tamat pengajian mereka, sebelum majlis ini diadakan pengiktirafan terhadap kebolehan pelajar itu hanyalah disahkan kebolehannya diperingkat guru mereka sahaja, pengiktirafan ini mungkin kurang kekuatannya atau kesahannya atau kurang meyakinkan masyarakat. Oleh itu suatu majlis penilaian yang lebih umum dan terbuka diadakan pula untuk diisytiharkan kepada umum bahawa sebenarnya para pelajar atau pelajar tersebut sememangnya telah menguasai bacaan ( tilawah ) Al.Quran, iaitu telah menguasai bacaan dengan betul mengikut hukum tajwid dan juga makhraj yang betul serta fasih dalam sebutannya. ( tidak termasuk bacaan atau tilawah berlagu ).

Majlis Khatam Tilawah Al.Quran telah menjadi adat yang sangat baik kepada masyarakat kita tetapi Majlis SAH Khatam Tilawah Al.Quran yang dimaksudkan di dalam rencana ini nampaknya semakin menghadapi kepupusan sekiranya tiada inisiatif untuk mengadakannya semula oleh masyarakat kita kini.

Oleh itu melalui kesempatan ini saya mengesyurkan agar mana-mana pihak yang berwibawa dan berada di bidang tersebut mengambil inisiatif menganjurkannya semula dengan memberi nafas dan semangat baru kepada warisan yang berharga ini. Mungkin acara ini boleh menjadi suatu acara atau program yang bermakna di dalam acara bulan dakwah yang telah dilancarkan.

Jika majlis ini diadakan dapatlah kita menerapkan dan menyatakan beberapa objektif tertentu kepada masyarakat setempat di antaranya:
(1) Menilai bacaan atau tilawah Al.Quran seseorang pelajar dan mengesahkan serta mengiktiraf kebolehannya.
(2) Pengiktirafan yang diikuti dengan pemberian Tauliah atau sijil kelayakan mengajar Al.Quran.
(3) Menyedarkan masyarakat bahawa pembacaan Al.Quran wajib bertajwid dan membaca dengan makhraj yang betul.
(4) Menjana motivasi kepada mesyarakat supaya mengambil berat tentang penerusan pembelajaran tilawah Al.Quran secara berkualiti.
(5) Menyemarak dan menyuburkan lagi syiar Islam di kalangan masyarakat setempat samada di peringkat dewasa atau muda.
(6) Kebolehan membaca al.Quran oleh seseorang perlulah disahkan oleh pihak yang berkelayakan supaya kualitinya sentiasa terjaga.
(7) Menyatupadukan masyarakat dan mengeratkan lagi tali silaturrahim di antara satu sama lain.

Kaedah Pelaksanaannya;
(1) Penilai (guru) untuk satu sesi tidak kurang daripada dua orang atau seelok-eloknya tiga orang guru.
(2) Penilaian dibuat seorang demi seorang, iaitu peserta memperdengarkan bacaan dan dinilai oleh para guru.
(3) Peserta membaca di beberapa tempat atau beberapa ayat yang ditentukan oleh para guru secara sepontan.
(4) Tempoh masa yang diberikan kepada seorang peserta dicadangkan di antara 5 minit sehingga 7 minit bagi satu sesi.( mungkin masa yang ambil untuk peserta yang baik lebih pendek kerana mereka dari awal telah menunjukkan sah khatam mereka )
(5) Bidang penilaian yang paling utama ialah makhraj huruf (fasohah) dan tajwid.Piwaiannya membaca mengikut tajwid dan makhraj yang betul.
(6) Penilaian bahagian lagu tidak termasuk di dalam kaedah pelaksanaan ini.

Peringatan:
(1) Peserta yang layak menyertai ialah mereka yang masih ragu-ragu tentang kesahan bacaan mereka samada masih berlaku perlanggaran hukum tajwid atau telah pun menguasai sepenuhnya oleh itu mereka ini layak untuk dinilai oleh guru yang berkelayakan atau mereka yang memang telah menguasai bacaan tetapi belum disahkan oleh mana-mana pihak yang berkelayakan.
(2) Mereka yang telah mahir pembacaan dan telah disahkan bacaan mereka tidak layak untuk ikut serta kerana penilaian ini hanya untuk mengesahkan bahawa peserta yang mengambil bahagian ini boleh disahkan khatam bacaannya sahaja atau sebaliknya iaitu belum layak untuk disahkan sebagai pembaca yang menguasai bacaan Al.Quran seperti yang dikehendaki.
(3) Ramai di kalangan kita menyatakan telah khatam bacaan Al.Quran tetapi tidak pernah melalui mana-mana penilaian samada khatam bacaan secara sah atau khatamnya itu masih belum menguasai tajwid. Perkara ini disyurkan kerana kaedah pengajian Al.Quran yang terdapat di dalam masyarakat kita sekarang ini tidak seragam, oleh itu, jika dilaksanakan sekurang-kurangnya majlis seperti ini dapat menolong memangkinkan lagi bidang pengajian ini.
(4) Bagi mereka yang terbaik bacaannya adalah tidak menjadi kesalahan sekiranya diberikan tauliah dan kebenaran mengajar oleh pihak yang berkuasa, sekurang-kurangnya dapat memperbanyakkan lagi bilangan guru mengajar Al.Quran dengan cara ini juga masalah buta huruf Al.Quran dapat diatasi sebahagiannya.
(5) Khatam bacaan Al.Quran bermaksud telah tamat membaca Al.Quran sebanyak 30 juzuk tetapi kesahan kualiti bacannya mencapai piwaian hukum tajwij atau sebaliknya masih diragui, manakala sah khatam Al.Quran pula bermaksud tamat membaca Al.Quran sebanyak 30 juzuk itu dengan bacaan yang betul mengikut tajwid dan makhraj huruf dan layak untuk mengajar orang lain. ( Sah khatam ).
(6) Penilaian seperti ini sudah tentulah tidak termasuk penilaian tajwid secara teori atau mencerakinkan hukum tajwid satu persatu, mereka yang menguasai tajwid secara teori masih belum pasti mereka mampu mengaplikasikannya di dalam bacaan.
(7) Mereka yang membaca dengan betul mengikut hukum tajwid dan mahkraj huruf, berarti mereka telah menguasai tajwid secara mengaplikasikannya di dalam bacaan atau tajwid telah merentas di dalam bacaan mereka.Walaupun mereka tidak lancar mencerakinkan satu persatu tetapi bacaan mereka adalah sah dan memadai.

Rencana ringkas ini hanyalah suatu pandangan dan cadangan yang dikemukakan untuk renungan atau mendapatkan pandangan yang kedua semata-mata untuk kebaikan bersama. Para guru sekolah dan pihak-pihak yang berkuasa tertentu mungkin tertarik atau bersetuju dengan pandangan ini dan berminat untuk diaplikasikan sebagai salah satu program yang dihayati secara istiqamah dalam jadual berkala atau bermusim mengikut kalender masing-masing.
Sekian, Allah Maha Mengetahui, Wassalam

2 comments:

Anonymous said...

Pandangan dan cadangan anda adalah baik dan patut dan wajar dilaksanakan kerana dapat memperakui kesahihan dan qualiti bacaan Quran terutama masa kini.Ramai yang menyatakan telah khatam Quran terutama bulan Ramadan,berbagai majils khatam Al-Quran.Sejauh mana tatacara terhadap peserta pembaca Al-Quran kita tak dapat pastikan samada bertepatan seperti ciri-ciri yang anda nyatakan atau tidak.Kiranya bertepatan Alhamdulillah,maka dapatlah menambah kualitinya.Tetapi jika sekadar untuk bertadarus dan mengkhatam secara bermusim sahaja,sampai bila pun masyarakat kita masih buta Al-Quran.Yang lebih malang lagi ramai ibubapa kurang peka terhadap pembacaan Al-Quran.Ibubapa sanggup sanggup habiskan wang untuk tusyen sains ,matematik tapi tidak sanggup tusyen Al-Quran.
Ingatlah dan renunglah wahai kaum muslimim,Al_Quran diturunkan dalam Bahasa Arab maka dituntut membaca dengan lahjah Arab seperti ditegaskan oleh Nabi s.a.w.
Marilah kita muhasabah diri,kenapa KITA BOLEH BERCAKAP INGGERIS SEPERTI MAT SALEH TETAPI BACA AL-QURAN MACAM ORANG MELAYU?
Kita tidak yakin,kita tidak dapat belajar baca dengan BAIK,kerana kita boleh belajar dalam bidang lain sehingga mencapai master,Phd dan berbagai ijazah.Tetapi dalam bidang agama kita corot,sedang semua orang sedar kita pasti akan mati walau sehebat mana sekali pun.Alangkah bahagianya orang mati dengan membawa AL-Quran bersamanya.Begitulah sebaliknya.
"Sebaik-baik kamu ialah orang yang belajar dan mengajar Al-Quran,"maksud Hadith Nabi.
Kelebihan Al-Quran begitu banyak sekali,rujuklah dari kitab-kitab.

Anonymous said...

Saya tertarik dengan pandangan anda.Alhamdulillah masih ada orang turut merasai risau dengan fenomena yang melanda umat Islam kini.Saya ingin menyimpulkan beberapa kategori orang yang membaca Al-Quran:
1.Orang yang membaca semata-mata
membaca.
2.Orang yang membaca dan menambah
baik kualiti bacaannya.
3.Orang yang membaca dan tadabbur
kandungannya.
4.Orang yang Al-haamilul Quran
(terbaik)
Kategori pertama yang hanya membaca Al-Quran yang mungkin diwarisi sejak kecil dan digunapakai dan diamal bacaan sehingga ke tua,tanpa ambil kisah betul atau salah,janji dia kata dia sudah baca Al-Quran.Golongan inilah yang paling ramai.Sebab itulah dalam majlis baca Yassin khasnya kita dapati ada yang baca kurang menepati hukum tajwidnya.
Golongan ini tidak mahu untuk bermusyafahah dan bertalaqi dengan guru yang arif.Mereka berpada dengan yang telah ada.
Kategori kedua lebih baik daripada golongan pertama kerana mereka ingin menambahbaik kualiti bacaan dengan bermusyafahah dan bertalaqi dengan guru yang arif.Perlu diingat Al-Quran TIDAK boleh dibaca bersendirian permulaannya,perlu berguru,ditakuti tersalah dan tersilap lebih-lebih lagi kita orang Melayu yang tidak faham B.Arab yang boleh tersasar maknanya.Jadikanlah Iktibar Bahawa Rasullullah sendiri bertadarus bersama Jibril a.s.setiap Ramadan.Orang inilah yang semakin baik bacaannya dan bertambah yakin bacaanya setelah ditashih dan diperakui gurunya.
Kategori ketiga adalah lebih baik daripada golongan pertama dan kedua, kerana mereka bukan saja dapat membaca dengan betul dan dapat pula mengetahui isi kandungan Al-Quran yang dibacanya sebagai panduan dan pengajaran.
Kategori keempat AL-Haamilul Quran adalah paling aula(utama).Mereka bukan sahaja dapat membaca setiap masa dengan baik,dapat memahami dan dapat pula mengamal kandungan keseluruhan ayat-ayat Al-Quran(6666 ayat)dengan penuh rasa takzim Kalam Allah itu,inilah dikata sebenar-benar Ulamak warasatul anbiyak.Sebab semua ayat-ayat itu KALAM ALLAH.Kita wajib meraikannya dengan penuh IMAN.
Demikianlah Allah membalas orang yang membaca Al-Quran mengikut kedudukan pembacanya samada kategori pertama,kedua,ketiga atau keempat.Bahagia dan beruntunglah orang berada di kategori keempat.Dan paling bahaya berada di kategori pertama kerana dibimbangi bacanya tidak betul ,lebih-lebih lagi salah dan tersasar dari maksud sebenar disebabkan kelalaian, kejahilan kita menyebut makhrajnya yang berbangga dengan kejahilan mempelajarinya.
Semoga pandangan saya yang sedikit ini dapat memberi manfaatnya bersama bagi mencari kerdhaanNya,Amin!(arba)