Friday, August 26, 2011

Bersetuju dengan kenyataan Mufti Negeri Perak. ( Tan Sri Harussani Zakaria )

Salam semua.

Kenyataan mufti Perak bahawa Melayu-Islam berpecah kerana kerajaan yang lemah, tidak amanah dan rasuah - Sumber dari www.Malaysiakini.com.

Respon penulis.
Penulis bersetuju sepenuhnya kenyataan di atas, Sebahagian besar rakyat Malaysia adalah terdiri daripada mereka yang berpelajaran ( tidak buta huruf ) mereka mengikuti perkembangan sosial masyarakat dan pentadbiran kerajaan, mereka adalah rakyat yang prihatin dan pandai menilai baik buruk apa yang sedang berlaku di dalam kehidupan. Pentadbiran kerajaan atau suasana politik adalah sebahagian daripada kehidupan mereka. Mereka turut gembira dan suka apabila negara dalam keadaan sejahtera dan beramanah, sebaliknya mereka tidak suka dan marah apabila berlaku rasuah berleluasa di kalangan ahli politik pemerintah dan penjawat awam terutamanya penjawat jawatan tinggi awam yang sepatutnya lebih beramanah dan mampu memberi nasihat dan membendung gejala buruk itu, berlebih-lebih lagi para menterinya. Naluri rakyat yang baik atau beriman adalah bencikan semua bentuk kejahatan dan penyelewengan.

Walaupun tiada bukti yang boleh disenaraikan tetapi melihat kepada gaya hidup mereka sudah cukup untuk rakyat menelahnya, jurang berbezaan kehidupan yang sangat jauh di antara mereka dengan rakyat itu juga dapat meyakinkan rakyat bahawa amalan rasuah sedang diamal dan dipraktikkan menjadikan mereka semakin senang dan mewah tanpa rasa bersalah.Tiada siapa yang boleh membohongi diri sendiri kecuali membohongi orang lain.

Rakyat yang prihatin terhadap sifat amanah dan berakhlak mulia yang perlu diamal dan dihayati oleh para pemimpin dan pegawai tinggi kerajaan tidak mahu lagi memberi sokongan kepada kerajaan semasa, ekoran ini menyebabkan rakyat terbahagi kepada dua kumpulan iaitu kumpulan yang masih mahu memberi sokongan kepada kerajaan dan kumpulan yang tidak mahu lagi memberi sokongan, apa yang berlaku ini adalah hasil ciptaan secara tidak langsung oleh kerajaan sendiri atau ahli politiknya sendiri. Ibarat kalau lalang ditanam tidak mungkin menghasilkan padi.


Perbalahan dan perpecahan berlaku kerana ekoran kondisi kerajaan yang dikatakan lemah itu menjadi modal kepada mereka yang prihatin membahas dan membincangkan dalam usaha membenteras dan menghalang agar situasi buruk itu tidak bertambah buruk, akhirnya keburukan yang telah berlaku diketahui umum dan terbuka untuk dinilai, di negara demokrasi tindakan ini bukanlah sesuatu yang pelik,luarbiasa atau dilarang.

Sebelumnya rakyat telah diperkenal dan dididik dengan BCA ( Bersih, Cekap dan Amanah ) oleh kerajaan sendiri dengan memaparkan slogan yang hebat, slogan ini hanya berjaya mengkaburkan mata rakyat buat sementara waktu sahaja, kelihatan ianya berusngguh-sunguh hendak merealisasikannya tetapi apa yang berlaku di sebaliknya adalah amalan rasuah berleluasa sehingga pagar sempadan pun dibolosi oleh rakyat asing, situasi ini pula memperlihatkan kerajaan sangat lemah dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan rakyat, semuanya adalah akibat dari gejala rasuah yang tidak dapat dibendung. Tiada contoh dan teladan yang boleh diikuti.

Sekian...wallahu aklam.

No comments: