Monday, August 8, 2011

Mengenal Ihsan melalui ibadat puasa.

Salam semua.

Pada pagi ini saya terpanggil untuk menulis sesuatu yang difikirkan baik untuk diri sendiri dan juga pembaca laman ini. Walaupun ianya ringkas t
etapi, mungkin akan memberi manfaat jua.

Hari ini adalah hari kedelapan bagi tahun ini ( 1432H ) kaum muslimin menjalani ibadat puasa, Dalam keadaan kita sedang berpuasa pemikiran akan lebih bersih dan suci serta kurang terpengaruh dengan nafsu, saya terfikir bahawa dalam keadaan kita berpuasalah terserlahnya sifat ihsan di dalam diri kita.Ceramah Us. K.H.Miftah Farid - Pengerusi Yayasan Dakwah Bandung.
Menambahkan ibadat ketika berpuasa.

Apakah yang dimaksud dengan ihsan itu?

IHSAN:
Ihsan adalah umpama suatu penambat dan ikatan erat dan kemas kepada segala amalan yang dibuat atau ditunaikan, ianya tidak akan terburai dan terlerai sekiranya amalan atau ibadat itu disertai dengan ihsan, teras ihsan ialah ikhlas, manakala ikhlas itu ialah beribadat semata-mata kerana Allah.maksud ikhlas ini perlu difahami secara istilahnya yang hakiki, kalau tidak ianya akan membawa maksud yang tidak menyentuh apa yang dimaksudkan oleh Rasulullah.s.a.w.

Ihsan yang diterangkan oleh Rasulullah s.a.w.melalui sabdanya yang bermaksud, " Apakah itu Ihsan?, Sesungguhnya kamu beribadat kepada Allah seumpama kamu melihat-Nya, jika kamu tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia melihat kamu"
( Hadith Riwayat Bukhari / Muslim ).

Segala ibadat yang kita lakukan akan menjadi lebih bermakna dan bernilai lagi serta tidak akan menjadi sia-sia sekiranya ibadat itu dibuat atau ditunaikan dengan ikhlas seperti disebutkan di atas, untuk mendapatkan ikhlas sepanjang tempoh melakukan amalan itu kita perlulah menyedari bahawa Allah sedang melihat kerjabuat kita itu, cara itu kita tidak akan memasukkan unsur lain ke dalam niat dan tujuan murni yang telah diqasadkan.Malah sepanjang hidup kita diperhatikan Allah tanpa sedikit pun terlalai dan leka, semuanya akan direkodkan-Nya di dalam buku amal manusia.

Merujuk kepada situasi kita berpuasa, terkadang terdapat juga hari-hari puasa kita itu , kita merasai terlalu lapar atau dahaga ataupun terlalu letih, situasi itu berlaku akibat kita menahan makan, dalam keadaan tersangat lapar itu kebetulan pula terdapat makanan yang paling lazat di hadapan atau di rumah, di mana ketika itu kita hanya berseorangan tetapi kita tetap menahan tidak makan atau tidak minum, kita tetap meneruskan puasa, pada hal situasi itu membolehkan kita makan dan minum dan berlakon meneruskan puasa kerana tiada siapa yang melihat perbuatan kita tetapi kita tidak bertindak demikian kerana kita merasai Allah sedang melihat kita dan menyedari bahawa kita berpuasa bukan kerana manusia.

Sekian...wallahu aklam.





No comments: